Hakim: Perbicaraan Kes Pembunuhan Kim Jong Nam Disambung Semula Januari
2018.11.07
Kuala Lumpur, Malaysia

Fasa pembelaan pendakwaan terhadap dua wanita Asia yang berdepan dengan tuduhan membunuh Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un di Lapangan Terbang Kuala Lumpur akan bermula pada 7 Januari depan, demikian diputuskan oleh Hakim pada Rabu, bagi membolehkan seorang peguambela tertuduh sembuh selepas menjalani pembedahan.
Perbicaraan itu pada asalnya telah ditetapkan untuk disambung semula pada 1 November, tetapi ditangguhkan kerana Gooi Soon Seng, peguambela yang mengetuai pasukan peguambela bagi tertuduh warga Indonesia Siti Aisyah, menjalani pembedahan pankreas.
"Dia sedang pulih dengan baik," Hisyam Teh Pok Teik, peguam yang mewakili tertuduh kedua, Doan Thi Huong, rakyat Vietnam, memberitahu BeritaBenar diluar mahkamah pada Rabu.
Kedua-dua wanita itu yang kini sedang ditahan di Malaysia kerana dituduh membunuh Kim Jong Nam dalam satu serangan senjata kimia di Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada 13 Februari 2017
Pada 16 Ogos, selepas pihak pendakwa raya selesai dengan tugas mereka, Hakim Azmi Ariffin memerintah kedua-dua suspek untuk membela diri dan Hakim itu mendapati bahawa pihak pendakwa raya telah membentangkan bukti yang cukup untuk meneruskan perbicaraan.
Pada Rabu, Hakim itu turut membacakan tarikh baru bagi perbicaraan disambung semula.
"Tarikh-tarikh baru adalah pada Januari 7, 8, 9 dan 10, 2019, bermula jam 9 pagi," katanya.
Hakim Azim telah menetapkan empat hari tarikh perbicaraan pada Januari, dua pada Februari, diikuti lapan hari pada Mac dan enam pada April. Siti Aisyah diberikan 10 hari untuk membentangkan pembelaan dirinya dan 14 hari bagi Doan.
Siti Aisyah dan Doan kelihatan tenang semasa berada di mahkamah bagi mengikuti perbicaraan pendek pada Rabu.
Di samping itu, Hakim turut menetapkan 14 Disember depan sebagai tarikh untuk mendengar permintaan peguam Siti Aisyah berhubung kenyataan lapan orang saksi seperti yang diperolehi oleh pihak pendakwa raya.
Saksi-saksi itu termasuklah Dessy Meyrisinta dan Raisa Rinda Salma, rakan sebilik Siti Aisyah semasa beliau tinggal di Kuala Lumpur dan mungkin berada di situ semasa pihak polis menyerbu bilik mereka.
Satu lagi nama dalam senarai itu adalah Tomie Yoshio, warga Jepun yang juga rakan kepada abang tiri Kim Jong Un. Semasa perbicaraan kes, penyiasat utama telah memberitahu mahkamah bahawa Yoshio telah menyediakan pemandu peribadinya kepada Kim Jong Nam. Kim telah memaklumkan kepada Yoshio bahawa nyawanya dalam bahaya enam bulan sebelum beliau dibunuh.
Sementara itu, peguam Doan berkata beliau merancang untuk membawa enam individu - rakyat Malaysia dan warga asing sebagai saksi semasa perbicaraan untuk membela dirinya nanti.
"Kami ada satu atau dua saksi dari negara asing, tetapi mungkin agak sukar untuk memujuk mereka datang untuk memberi keterangan semasa perbicaraan. Kami sedang cuba meyakinkan mereka dan kami juga harap dapat membawa mereka ke sini, " kata Hisyam sambil menambah Doan merancang untuk memberi keterangan untuk membela dirinya.