Polis Kekurangan Maklumat Untuk Tahan Empat Lelaki Dalam Kes Pembunuhan Kim

Hareez Lee, Fadzil Aziz & Hadi Azmi
2017.10.25
Shah Alam, Selangor
171025-kjn1025-Indon-620.jpg Anggota polis Malaysia mengiringi rakyat Indonesia Siti Aisyah ke kompleks mahkamah Shah Alam berhampiran Kuala Lumpur, 25 Okt 2017.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Pihak berkuasa Malaysia kekurangan maklumat yang mencukupi untuk menahan empat lelaki sebagai suspek dalam pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di sebuah lapangan terbang Kuala Lumpur pada 13 Feb, kata pegawai penyiasat kes ketika memberi keterangan di mahkamah pada Rabu.

Kim Jong Nam, anak sulung bekas diktator Korea Utara Kim Jong Il, telah diserang dengan agen saraf VX ketika bersiap sedia untuk menaiki satu penerbangan ke Macau, di mana beliau tinggal. Pembunuhannya, yang menjadikan hubungan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Pyongyang tegang, telah dirakam oleh beberapa kamera keselamatan yang terdapat di lapangan terbang itu.

Empat suspek lelaki yang ditunjukkan dalam rakaman visual video telah dikenal pasti oleh Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, pegawai penyiasat kes, ketika memberi keterangan pada 12 Okt, sebagai Encik Chang, Encik Y, James dan Hanamori (alias Datuk atau Pakcik).

Ketika memberi keterangan pada Rabu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, berhampiran Kuala Lumpur, Wan Azirul disoal oleh pendakwaan mengapa keempat-empat suspek yang didakwa bersama-sama kedua-dua tertuduh wanita itu tidak diberkas.

“Keempat-empat suspek belum ditahan kerana polis kekurangan maklumat mengenai mereka,” kata Wan Azirul. “Berdasarkan siasatan yang telah saya jalankan, saya hanya memperoleh nama gelaran mereka, dan tiada butiran lanjut seperti nombor pasport atau nombor telefon mereka.”

Wan Azirul berkata agensi penguatkuasaan undang-undang Malaysia telah cuba mengesan keempat-empat lelaki dengan kerjasama Interpol.

Keempat-empat lelaki itu, yang masih bebas, dipercayai rakyat Korea Utara. Nama ganti dan nama gelaran mereka tertera dalam kertas pertuduhan sebagai tertuduh bersama-sama seorang wanita rakyat Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan seorang wanita rakyat Vietnam, Doan Thi Huong, 28.

Empat lelaki itu telah dikesan melalui video keselamatan di lapangan terbang terbabit dan dikenal pasti selepas para penyiasat menyoal kedua-dua wanita, kata Wan Azirul dalam keterangannya sebelum ini.

Kedua-dua wanita Asia Tenggara itu mengaku tidak bersalah melakukan pembunuhan itu, dan mendakwa mereka diperdaya untuk menyerang Kim dan menyangka mereka sekadar melakukan satu gurauan untuk sebuah rancangan TV realiti. Mereka berdepan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz (kiri), pegawai penyiasat dalam kes bunuh Kim Jong Nam, meninggalkan Mahkamah Tinggi Shah Alam, berhampiran Kuala Lumpur, selepas memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan pada hari ke-10 perbicaraan dua wanita Asia Tenggara yang didakwa melakukan pembunuhan itu di lapangan terbang, 25 Okt 2017. [HadiAzmi/BeritaBenar]

Pendakwaan akan kemuka video dua suspek lelaki

Video pengawasan yang dikemukakan di mahkamah sebelum ini oleh pendakwaan menunjukkan kedua-dua wanita secara berasingan bertemu dua lelaki yang memakai topi besbol di lapangan terbang itu sebelum serangan ke atas Kim dilakukan di terminal pelepasan Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 yang penuh sesak.

Pendakwaan menuduh keempat-empat lelaki berniat untuk membunuh Kim, bersama-sama dua wanita yang dilihat dengan dua lelaki yang didakwa menuangkan cecair ke atas tangan kedua-dua tertuduh sebelum Kim diserang.

Peguam pula mendakwa kedua-dua wanita Asia Tenggara itu adalah kambing hitma dan mangsa helah licik yang membabitkan keempat-empat lelaki. Pendakwaan berhujah tingkah laku kedua-dua wanita seperti yang terdapat dalam video pengawasan menunjukkan mereka tahu cecair yang mereka lumurkan ke muka Kim adalah sejenis bahan kimia berbahaya.

Muhammad Iskandar Ahmad, yang mengetuai pendakwaan, memaklumkan pemberita pada Rabu bahawa pihaknya akan mengemukakan beberapa video keselamatan yang menunjukkan dua lagi suspek lelaki pada Khamis.

“Mungkin esok, kami akan tunjukkan kepada Mahkamah siapa dua lelaki itu. Malah, jika anda mengikuti kes ini, kami telah menunjukkan Y (Encik Y) dan Chang (Encik Chang). Jadi mungkin esok kami akan tunjukkan dua lagi suspek lelaki yang masih bebas,” katanya.

Kes pendakwaan tidak akan terjejas tanpa kehadiran keempat-empat lelaki dalam perbicaraan itu, kata beliau.

“Ia tidak akan menjejaskan kes kami,” katanya sambil menjelaskan bahawa keempat-empat lelaki dibicarakan tanpa kehadiran dan didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama mengikut prinsip perundangan.

Tiada rakaman CCTV untuk menyokong dakwaan sekadar gurauan

Wan Azirul turut memberi keterangan pada Rabu bahawa tiada rakaman CCTV untuk menyokong kenyataan kedua-dua wanita yang mereka melakukan latihan di lima kawasan berhampiran lapangan terbang itu.

Rakaman visual itu mampu menyokong dakwaan kedua-dua wanita bahawa mereka diperdaya untuk melakukan apa yang mereka sangka sekadar gurauan untuk satu rancangan TV dengan kamera tersembunyi.

Peguam Gooi Soon Seng memberitahu pemberita sebelum perbicaraan itu bahawa anak guamnya, Siti Aisyah, telah direkrut pada awal Januari oleh seorang lelaki rakyat Korea Utara yang hanya dikenali sebagai James untuk berlakon dalam saggu rancangan berbentuk gurauan dengan kamera tersembunyi.

Beliau berkata James dan Siti Aisyah telah pergi ke beberapa pusat membeli-belah, hotel dan lapangan terbang di mana wanita itu akan melumurkan minyak atau sos lada kepada orang yang tidak dikenali. James membuat rakaman video mengenai perkara itu dengan telefonnya dan membayar Aisyah antara $100 dan $200 setiap kali, katanya.

“Pemeriksaan ke atas rakaman CCTV di tiga lokasi terbabit tidak menemui sebarang visual wanita terbabit, polis juga gagal memperoleh visual dari dua lokasi lagi kerana ia hanya menyimpan data selama tujuh hari, manakala satu lagi tidak memiliki rakaman pada hari yang dikatakan kerana ketika itu sistem CCTV mereka ditambah baik.

Dua lokasi itu ialah hotel di Kuala Lumpur, satu di kompleks beli-belah KLCC, dan dua lagi di stesen keretapi Sentral Kuala Lumpur, katanya.

Perbicaraan dijadualkan bersambung pada Khamis. Mahkamah setakat ini telah mendengar keterangan 13 saksi pendakwaan, termasuk ahli patologi forensik, ahli kimia dan jurufoto polis.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.