Amerika Syarikat, Malaysia Tuduh Korea Utara Bunuh Kim Jong Nam
2017.03.08
Kuala Lumpur

Amerika Syarikat pada Rabu menyertai Malaysia dan Korea Selatan dalam menyalahkan Korea Utara bagi pembunuhan abang tiri pemimpin Pyongyang Kim Jong Un di lapangan terbang Kuala Lumpur, bulan lepas.
Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik AS Daniel Russel, yang bakal melepaskan jawatan itu, secara terbuka mengutuk Pyongyang bagi pembunuhan Kim Jong Nam, sehari selepas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menjadi pegawai pertama kerajaannya yang menuduh secara terbuka bahawa Korea Utara merupakan dalang kepada pembunuhan itu yang menggunakan agen saraf yang diharamkan.
'Kuasa asing yang menggunakan wilayah sebuah negara bagi tujuan pembunuhan-untuk tujuan pembunuhan politik adalah perbuatan yang amat hina, "kata Russel pada Rabu semasa panggilan persidangan perpisahan dari Washington dengan para pemberita di Asia, yang merujuk kepada pembunuhan Kim.
Sebelum wawancara melalui telefon itu, tidak ada pegawai Amerika Syarikat yang membuat tuduhan sedemikian yang dirakamkan itu. Russel turut memuji pihak berkuasa Malaysia di atas "profesionalisme" mereka dalam menjalankan "siasatan yang mengagumkan" bagi kes itu, di mana ketegangan diplomatik di antara Malaysia dan Korea Utara telah meningkat dengan mendadak sejak beberapa hari lalu.
“Kita tidak mengambil sebarang tindakan negatif terhadap Korea Utara. Apa yang kita sedang hadapi ini timbul akibat daripada tindakan mereka membunuh rakyat mereka sendiri di Malaysia, di bumi Malaysia, dengan menggunakan senjata kimia yang diharam penggunaannya,” lapor perkhidmatan berita negara dikendalikan Malaysia, Bernama, yang memetik Perdana Menteri Najib sebagai memberitahu pemberita di Jakarta pada Selasa.
Polis Malaysia telah mendakwa dua wanita Asia Tenggara dengan pembunuhan Kim dan mengenal pasti sekurang-kurangnya tujuh rakyat Korea Utara sebagai suspek dalam pembunuhan itu, termasuk setiausaha kedua yang ditempatkan di kedutaan Pyongyang di Kuala Lumpur.
Najib berkata demikian sebelum beliau pulang ke Kuala Lumpur untuk mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara Malaysia berhubung krisis diplomatik yang semakin meningkat dengan Korea Utara.
Di tengah-tengah ketegangan diplomatik berikutan kes itu, kedua-dua negara mengusir keluar duta yang ditempatkan di negara satu sama lain dan, pada awal Selasa, Pyongyang menghalang warganegara Malaysia daripada meninggalkan Korea Utara. Malaysia membalas tindakan itu dengan mengenakan larangan sama terhadap rakyat Korea Utara di Malaysia.
Pada Rabu, seramai 11 rakyat Malaysia dikatakan masih terperangkap di Korea Utara, manakala para pegawai di negeri Malaysia Timur, Sarawak, mengumumkan bahawa sehari sebelum itu, pegawai imigresen telah menahan 140 pendatang asing Korea Utara kerana permit kerja mereka sudah tamat tempoh. Pendatang asing itu bekerja dalam industri perlombongan arang batu dan pembinaan tempatan.
Kesemua 11 rakyat Malaysia di Korea Utara pula adalah "selamat dan dapat menjalan kehidupan harian mereka seperti biasa,” kata Najib dalam catatan blog di laman web beliau pada Rabu. Beliau berjanji bahawa kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk membawa mereka pulang ke tanah air dengan selamat.
Keluarga mangsa bersembunyi?
Pertelingkahan diplomatik di antara kedua-dua negara Asia itu, yang telah menjalinkan hubungan diplomatik selama 44 tahun, berpunca daripada keengganan Malaysia untuk menyerahkan mayat Kim kecuali ahli keluarga terdekatnya tampil ke hadapan untuk menuntut mayat dan memberi sampel DNA yang diperlukan kepada penyiasat bagi melakukan proses mengenal pasti yang positif.
Setakat ini, tiada ahli keluarga terdekatnya yang tampil ke hadapan, menurut pegawai-pegawai Malaysia. Najib berkata Rabu bahawa "tiada siapa yang tampil ke hadapan, mungkin kerana takut," lapor Bernama.
Tetapi pada hari yang sama, video seorang pemuda yang mengaku dirinya Kim Han Sol, anak lelaki mangsa, muncul apabila satu kumpulan Korea Selatan memuat naiknya dalam talian. Kim Jong Nam, abang tiri Kim Jong Un, hidup dalam buangan bersama-sama keluarganya di Macau.
"Nama saya Kim Han Sol dari Korea Utara, sebahagian daripada keluarga Kim yang ... Bapa saya telah dibunuh beberapa hari lalu. Saya kini dengan ibu saya dan adik saya, dan kami amat berterima kasih ... Kami berharap keadaan ini menjadi lebih baik tidak lama lagi, "kata pemuda itu dalam klip video tidak bertarikh, yang telah disunting di bahagian tertentu dan semasa beliau menunjukkan pasportnya.
Cheollima Civil Defense, kumpulan yang menyiarkan video tersebut, mendakwa menjaga rakyat Korea Utara yang mahu mendapatkan perlindungan. Kumpulan itu berkata dalam laman web bahawa ia telah menerima "permintaan kecemasan oleh ahli keluarga Kim Jong Nam yang selamat bagi melepaskan diri dan perlindungan."
"Ketiga-tiga ahli keluarga itu ditemui dengan segera dan dipindahkan dengan selamat,” kata kumpulan itu.
Ia juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Netherlands, China, Amerika Syarikat dan negara keempat yang tidak dikenali untuk membantu menyediakan keluarga Kim dengan "bantuan kemanusiaan kecemasan."
Seorang pegawai Perkhidmatan Risikan Nasional Korea Selatan - yang, sejurus selepas pembunuhan Kim, mendakwa bahawa agen Korea Utara telah meracunnya hingga maut - mengesahkan kepada agensi berita Reuters bahawa pemuda dalam video itu adalah Kim Han Sol.
Pada Rabu, BeritaBenar menghubungi kedutaan Netherlands, China dan AS di Kuala Lumpur tetapi jurucakap mereka enggan mengulas mengenai video itu.
Dennis Wong di Kuching turut menyumbang kepada laporan ini.