Malaysia Awet Mayat Kim Jong Nam Elak Reput
2017.03.14
Kuala Lumpur

Malaysia pada Selasa bekata, mayat Kim Jong Nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un telah melalui proses pengawetan bagi mengelak ianya menjadi reput, dan berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Ya, usaha pengawetan telah dilakukan kerana jika mayat itu disimpan di bilik mayat yang biasa ia dikhuatiri akan menjadi reput," kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa.
Tambahan beliau, proses pengawetan itu telah dilakukan di lokasi lain namun mayat itu kemudiannya dibawa kembali dan ditempatkan di Institusi Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur.
Setakat ini, tiada seorang waris yang tampil menuntut mayat Jong Nam, sehingga mencetuskan spekulasi bahawa isteri dan anak mangsa kini hidup dalam ketakutan kerana bimbang menerima nasib yang sama.
Menteri Kesihatan Malaysia pada Isnin berkata, kerajaan negara berkenaan memberikan keluarga Jong Nam maksimum selama tiga minggu untuk tampil ke hadapan dan menuntut mayat abang tiri pemimpin Korea Utara itu.
Pencabulan hak asasi
Dalam pada itu, anggota penyiasat pencabulan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Korea Utara menggesa siasatan bebas diadakan bagi merungkai kes pembunuhan Jong Nam.
Gesaan itu dibuat oleh anggota penyiasat PBB, Tomas Ojea Quintana pada mesyuarat Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva yang turut menyifatkan pembunuhan Jong Nam mempunyai kaitan dengan isu hak asasi manusia.
“Saya menggesa semua pihak terlibat bekerjasama dalam menjalankan siasatan yang telus, bebas dan tidak berat sebelah serta mematuhi garis panduan mengenai perlindungan saksi.
“Sekiranya siasatan mengesahkan penglibatan ejen Korea Utara, Jong Nam dilihat sebagai mangsa pembunuhan yang melanggar undang-undang dan langkah-langkah perlu diambil untuk melindungi mangsa lain daripada pembunuhan terancang ini,” jelas Quintana seperti dilaporkan akhbar The New York Times.
Akhbar itu melaporkan, pegawai Korea Utara enggan bertemu dengan Quintana dan turut memulaukan pembentangan usul itu di mesyuarat berkenaan kerana menyifatkan siasatan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan PBB adalah tidak berasas.
Pada sidang akhbar di ibu pejabat PBB di New York, Duta Korea Utara, Kim In Ryong memberi maklum balas terhadap dakwaan Quintana dengan terus menafikan penglibatan negaranya dalam pembunuhan itu.
In Ryong turut menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan mendalangi pembunuhan tersebut dan mendakwa ejen saraf VX yang digunakan dalam kes itu dibekalkan dari dua negara berkenaan.
“AS telah mengumpul banyak stok senjata kimia di Korea Selatan. Terdapat kemungkinan bahawa bahan kimia tersebut mungkin datang dari Korea Selatan, kerana ejen saraf VX hanya boleh dibuat di beberapa negara, termasuk AS.
“Pembunuhan tersebut juga adalah hasil tindakan melulu pihak berkuasa AS dan Korea Selatan bertujuan memenuhi tujuan politik yang berbahaya untuk memburukkan dan menjatuhkan sistem sosial Korea Utara,” katanya.
Hantar pulang
Dalam pada itu, agensi berita nasional Malaysia [Bernama] melaporkan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Malaysia akan menghantar pulang ke Pyongyang 50 pekerja Korea Utara yang bekerja di Sarawak dan telah tamat tempoh permit kerja masing-masing.
Menurut beliau, semua pekerja itu kini ditahan di depoh tahanan sementara di Sarawak selepas pendakwaan dilakukan terhadap mereka kerana berada di negara ini walaupun telah tamat permit kerja.
Kesemua mereka akan dihantar pulang sebaik sahaja proses dokumentasi selesai dilakukan. Oleh sebab Akta Imigresen di Sarawak berbeza daripada Akta Imigresen yang sedia ada, saya telah adakan perbincangan dengan Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg dan keputusan ini akan saya sampaikan secara rasmi kepada beliau (Abang Johari) hari ini," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen seperti dilaporkan oleh agensi berita itu pada Selasa.
Menurut Ahmad Zahid, pada masa ini terdapat 315 warga Korea Utara di Malaysia dan bagi mereka yang mempunyai visa dan permit kerja yang sah, mereka masih dibenarkan berada di negara itu.
Pada 13 Feb lepas, Kim Jong Nam dibunuh melalui serangan racun ejen saraf yang diharamkan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2, menurut Polis Malaysia, sehingga menggegarkan hubungan dua hala sejak tahun 1973 lagi.
Pihak berkuasa Malaysia telah menahan dan mendakwa dua wanita Asia Tenggara dalam pembunuhan itu termasuk mengenal pasti sekurang-kurangnya tujuh warga Korea Utara sebagai suspek.
Ketegangan diplomatik dua hala meningkat apabila Malaysia enggan melepaskan mayat Kim tanpa keluarga terdekat tampil ke hadapan untuk menuntut mayat serta memberi DNA yang diperlukan untuk mengenal pasti dengan positif.
Berikutan itu, kedua-dua negara mengusir keluar duta besar yang ditempatkan di negara satu sama lain. Pada awal Selasa lalu, Pyongyang menghalang warganegara Malaysia daripada meninggalkan Korea Utara sementara Malaysia membalas tindakan itu dengan mengenakan larangan sama terhadap rakyat Korea Utara di Malaysia.
Kedua-dua negara itu telahpun mempunyai hubungan diplomatik sejak sekian lama sehingga kes pembunuhan itu tercetus. Malaysia merupakan antara segelintir negara yang masih mengekalkan hubungan dengan Pyongyang, walaupun negara itu berada di bawah sekatan antarabangsa berhubung program senjata nuklearnya
Menteri Luar, Anifah Aman berkata rundingan rasmi akan dijalankan dengan kerajaan Korea Utara untuk menyelesaikan pelbagai urusan diplomatik, termasuk membawa pulang sembilan rakyat Malaysia dari Pyongyang.
"Ini merupakan isu sensitif. Oleh itu, kerajaan telah memutuskan bahawa semua rundingan dan perbincangan akan dijalankan secara tertutup, "kata Perdana Menteri Najib Razak dalam blognya pada Rabu lepas.