Peguam dan Bekas Pegawai Media Najib Razak di Dakwa di Mahkamah
2019.02.21
Kuala Lumpur, Malaysia

Mahkamah Malaysia mendakwa seorang peguam tempatan dan seorang warga British, di mana kedua-duanya merupakan pegawai undang-undang dan juga bekas penasihat media kepada Najib Razak, masing-masing atas dua pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram.
Mahkamah Syesen Kuala Lumpur pada Khamis telah mendakwa Mohd Hafarizam Harun, seorang lagi peguam kepada Najib Razak atas dua pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram, dengan menerima cek bernilai RM15 juta daripada bekas perdana menteri itu pada 2014 dan 2015 untuk dimasukkan ke dalam akaun firma guamannya.
Manakala mahkamah yang sama juga telah dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib bahawa pentadbiran Putrajaya telah membuat permohonan kepada Interpol untuk menahan warga British, Paul Stadlen, yang menjadi penasihat media Najib sejak 2009, bahawa kes terhadapnya telahpun didaftarkan di mahkamah secara ‘in absentia’, pada Rabu, bagi mendapatkan waran tangkap terhadap lelaki tersebut.
Mohd Hafarizam yang juga penasihat undang-undang kepada parti yang pernah diterajui Najib, UMNO, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azman Ahmad.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd Hafarizam, 47, didakwa melibatkan diri secara langsung dalam dua transaksi melibatkan hasil daripada aktiviti haram melalui dua keeping cek milik Najib yang berjumlah RM11,500,000, yang ditunaikan antara 16 April 2014 hingga 7 Nov 2014.
Wang itu kemudian dimasukkan ke dalam akaun firma guamannya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM), di CIMB Bank Berhad yang terletak di Menara Dato’ Onn, iaitu bangunan yang dimiliki UMNO dan menempatkan ibu pejabat parti itu.
Untuk pertuduhan kedua, Mohd Hafarizam didakwa melakukan kesalahan sama melalui sekeping cek bernilai RM3,500,00 milik Najib, yang dimasukkan ke dalam akaun firma guamannya di CIMB Bank Berhad pada 12 Feb 2015.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Beliau berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib menawarkan ikat jamin berjumlah RM500,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya Mohd Hafarizam menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Peguam Hasnal Rezua Merican, yang mengetuai barisan peguam mewakili Mohd Hafarizam, bersetuju dengan tawaran jaminan dan syarat tambahan itu.
"Mahkamah menawarkan ikat jamin berjumlah RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh pendengaran semula kes pada 25 Mac," kata Hakim Mahkamah Sesyen itu.
Mohd Hafarizam, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding itu, merupakan ahli UMNO selain menjadi peguam bagi Lembaga Disiplin UMNO.
Sejurus berakhirnya prosiding tersebut, Mohd Hafarizam memberitahu wartawan bahawa beliau tidak boleh mengulas mengenai kes yang dihadapinya.
“Saya enggan mengulas banyak sebab kes ini sudah dikemukakan di mahkamah dan boleh jadi subjudis. Peguam saya akan membuat pembelaan dan saya akan ambil peluang untuk membersihkan nama saya," jawabnya ringkas sambil memaklumkan yang beliau masih lagi peguam yang mewakili Najib.
Mohd Hafarizam adalah peguam kedua yang mewakili Najib yang dituduh dimahkamah.
“Saya masih mewakili Najib Razak dalam dua kes iaitu kes saman pegawai awam Tony Pua dan satu lagi kes berkaitan injuksi kes saman fitnah,” tambah beliau.
Seorang lagi peguam yang mewakili bekas perdana menteri itu ialah Muhammad Shafee Abdullah, yang terlibat dalam kes syarikat dana negara, 1Malaysia Development Berhad [1MDB] dan bekas anak syarikat kumpulan itu, SRC International.
Shafee yang turut didakwa melakukan empat kesalahan jenayah di Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 pada September 2018, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu.
Interpol
Sementara itu, Ahmad Akram memberitahu mahkamah “Sekiranya Paul Stadlen ditahan dan dituduh secara fizikal di mahkamah, kes ini akan dipohon untuk dibicarakan bersama-sama kes Mohd Hafarizam,”
Timbalan Pendakwa Raya itu kemudiannya memberitahu media bahawa langkah yang dilakukan untuk memburu Stadlen adalah mendaftarkan kes di mahkamah, mendapatkan waran tangkap dan menyerahkan waran tangkap tersebut kepada Interpol.
Menurut laporan agensi berita nasional Malaysia, Bernama, dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM15 juta telah difailkan ke atas Stadlen di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu.
Mengikut pertuduhan pertama, Stadlen didakwa telah mengarahkan pembayaran melalui 27 transaksi membabitkan hasil aktiviti pengubahan haram berjumlah RM8,111,322.43 dari akaun pelanggan firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak kepada beberapa individu dan syarikat di antara Jun hingga Disember 2014.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dituduh mengarahkan pembayaran melalui 16 transaksi hasil aktiviti pengubahan haram berjumlah RM6, 139,078.34 dari akaun pelanggan firma guaman sama kepada beberapa individu dan syarikat di antara Januari hingga Ogos 2015.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, peguam yang mewakili Stadlen pada Khamis telah membidas kerajaan Malaysia kerana memfailkan pertuduhan terhadap anak guamnya dan menyifatkan tindakan itu sebagai bermotifkan politik.
Firma guaman Mishcon de Reya yang berpejabat di London dalam kenyataannya itu mendakwa berkata bahawa anak guamnya tidak melakukan sebarang salah laku.
"Kami akan menentang pertuduhan ini kerana kes terhadap anak guam kami adalah bermotifkan politik dan tidak mengikut saluran keadilan yang betul," kata seorang daripada peguam firma itu, Kevin Gold.
"Kami terkejut dengan tindakan kerajaan Malaysia yang menggunakan media untuk membocorkan maklumat bahawa Paul Stadlen akan dituduh secara ‘in absentia’ walaupun tiada peruntukan sedemikian dalam undang-undang di Malaysia.
"Paul tidak bersembunyi. Kami telah pun menghubungi pihak berkuasa Malaysia namun tidak menerima sebarang maklum balas," kata firma berkenaan.
Sebelum ini, SPRM dalam satu kenyataan berkata bahawa Stadlen adalah saksi penting di dalam siasatan kes dana negara, 1MDB.
Media tempatan Malaysia melaporkan bahawa Stadlen telah meninggalkan Malaysia sejurus selepas Najib dan gabungan partinya tewas kepada Pakatan Harapan pada pilihan raya umum itu.