Menteri Kewangan Gesa SPRM Siasat Projek Saluran Paip Gas China

Hadi Azmi & Alfian Z.M. Tahir
2018.06.05
Kuala Lumpur, Malaysia
180605-MY-Corruption1000.jpg Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak, tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya, Malaysia untuk diambil keterangannya sebagai sebahagian daripada siasatan berkaitan skandal kewangan 1MDB, 5 Jun, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Menteri Kewangan Malaysia yang baru pada Selasa meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat pembayaran yang "amat mencurigakan" berjumlah AS$ 2 bilion kepada sebuah firma Cina walaupun hanya 15 peratus sahaja kerja pembinaan saluran paip gas telah dilaksanakan di Malaysia.

Urus niaga bernilai RM8.25 bilion itu mewakili hampir 88 peratus daripada kos dua projek pembinaan saluran paip gas itu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa mengumumkan pendedahan terbaru mengenai kemungkinan kerajaan sebelum ini melakukan salah laku.

Projek-projek itu dijalankan oleh sebuah syarikat Malaysia dengan memperoleh pembiayaan China dan dibina oleh China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB), katanya dalam kenyataan.

“Kami terkejut mendapati sebanyak RM4.71 bilion dan RM3.54 bilion telah dikeluarkan dan dibayar kepada CPBB," kata Lim sambil memberitahu bahawa Malaysia mungkin meminta bantuan daripada kerajaan China untuk menyiasat kemungkinan berlakunya pengubahan wang haram.

"Berdasarkan urus niaga yang sangat mencurigakan itu, saya telah mengarahkan pegawai saya untuk memfailkan laporan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia minggu lepas."

Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) merupakan firma yang dimiliki sepenuhnya dan ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan sebelum ini pada dua tahun lalu untuk melaksanakan projek-projek saluran paip itu, telah memperoleh sebahagian besar dana daripada Export-Import Bank of China, kata Lim.

SSER adalah "cabang yang diwujudkan oleh orang yang sama di belakang SRC International," kata Lim, yang merujuk kepada anak syarikat dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibelenggui skandal, yang kini sedang disiasat oleh kerajaan baru negara susulan dakwaan rasuah besar-besaran membabitkannya.

Pada November 2016, kerajaan Perdana Menteri ketika itu Najib Razak, yang turut menyandang jawatan menteri kewangan, telah memberikan kontrak kepada CPPB untuk membina dua projek saluran paip itu, kata Lim. Najib telah didakwa terlibat dengan rasuah berkaitan 1MDB tetapi beliau menafikan sebarang salah laku jenayah berkaitan dengan dana pelaburan negara itu, yang diasaskannya  pada 2009.

"Kontrak itu telah dirundingkan oleh Jabatan Perdana Menteri tanpa melibatkan pegawai Perbendaharaan," kata Lim. "Jabatan Peguam Negara juga mengesahkan bahawa kontrak-kontrak itu ditandatangani walaupun terdapat banyak persoalan yang tidak dijawab dan menimbulkan pelbagai tanda tanya."

Presiden SSER, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, juga merupakan anggota lembaga pengarahnya selain menjadi pengarah Putrajaya Perdana Sdn Bhd, kata menteri kewangan baru itu. Firma Putrajaya Perdana Sdn Bhd, kata Lim, "mempunyai hubungan langsung dengan Low Taek Jho," seorang hartawan Malaysia yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Jho Low menjadi tumpuan siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berhubung dakwaan pengubahan wang haram berjumlah berbilion ringgit yang dikatakan diselewengkan daripada 1MDB dan digunakan untuk membeli hartanah berharga tinggi, karya seni dan barangan berharga yang lain.

Najib: 'Undang-undang dipatuhi'

Pada lewat Selasa, Najib, yang gabungan parti Barisan Nasional pimpinannya kalah teruk pada pilihan raya umum bulan lalu, memberi reaksi kepada kenyataan Lim yang meminta penjelasan tentang "bagaimana beliau boleh meluluskan urus niaga tersebut."

"Berdasarkan kepada ingatan saya, saya yakin semua prosedur dan proses perundangan yang perlu telah dipatuhi dalam rundingan dan pelaksanaan kedua-dua projek paip yang dibangkitkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini," kata Najib dalam catatannya di Facebook, sambil memberitahu bahawa dua projek itu telah dirundingkan secara "kerajaan ke kerajaan dengan Republik Rakyat China."

"Walaupun saya mengalu-alukan siasatan terbuka dan telus terhadap kedua-dua projek itu, saya percaya kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu dakwaan bermotif politik  yang melibatkan syarikat-syarikat milik negara asing kerana ia mungkin memberi kesan negatif terhadap hubungan luar dan perdagangan antarabangsa," kata Najib.

Pada pagi Selasa pula, isteri Najib, Rosmah Mansor, pergi ke ibu pejabat SPRM untuk memberi kenyataan tentang bagaimana wang sebanyak RM42 juta ($10.5 juta) dari SRC International berakhir dalam akaun bank persendirian suaminya.

Sumber-sumber SPRM memberitahu BeritaBenar bahawa Rosmah bukan suspek dalam kes itu tetapi kehadirannya di ibu pejabat SPRM adalah sebagai saksi.

Rosmah, 66, menaiki kereta Mercedes-Benz berwarna perak ketika tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya. Beliau keluar dari bangunan agensi itu pada jam 3.44 petang tetapi tidak bercakap dengan pemberita.

Peguam-peguam yang mengiringinya berkata anak guamnya itu memberi kerjasama penuh kepada suruhanjaya itu semasa disoal siasat selama tiga jam.

Rosmah hadir di ibu pejabat SPRM itu dua minggu selepas agensi itu menyoal siasat Najib sebanyak dua kali berhubung kes sama.

Selepas Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya umum, kerajaan baru telah melarang Najib dan Rosmah daripada meninggalkan negara. Selain itu, polis Malaysia telah melakukan serbuan di rumah, pejabat yang pernah digunakannya serta unit kediaman yang dikaitkan dengan Najib susulan siasatan terhadap skandal 1MDB.

Semasa serbuan itu, polis berkata, mereka merampas beberapa beg pakaian yang mengandungi hampir $29 juta wang tunai dan barangan mahal bersama-sama dengan 284 kotak yang mengandungi beg tangan berjenama mewah.

Peguam Najib berhenti


Dalam perkembangan berkaitan, ahli pasukan perundangan Najib termasuk Yusof Zainal Abideen dan M. Puravalen memutuskan untuk tidak lagi mewakilinya kerana mereka gagal mencapai persetujuan bersama dengan anak guam mereka itu berhubung beberapa isu, menurut portal berita Insight Malaysia.

Mereka menarik diri daripada mewakili Najib beberapa hari selepas media Malaysia melaporkan bahawa Najib telah mengupah firma yang diketuai bekas Peguam Negara AS John Ashcroft untuk mewakilinya.

Mengikut dokumen yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman AS di bawah Akta Pendaftaran Ejen Asing Amerika Syarikat (FARA), dan pernah dilihat oleh BeritaBenar, Najib  mengekalkan khidmat Firma Guaman Ashcroft awal tahun ini ketika beliau menjadi perdana menteri.

Sementara itu, laporan menyebut bahawa gabenor bank negara itu, Muhammad Ibrahim, telah menawarkan diri untuk meletakkan jawatan selepas Menteri Kewangan Lim membangkitkan persoalan mengenai pembelian tanah bernilai $520 juta daripada kerajaan Najib sebagai satu cara bagi bekas pentadbiran lama negara itu untuk membayar beberapa hutang terkumpul 1MDB.

Bank pusat dan pejabat perdana menteri tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan tentang status gabenor itu, tetapi sumber yang biasa dengan proses itu pada Selasa memberitahu bahawa Muhammad telah pun mengemukakan peletakan jawatannya pada sehari sebelumnya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.