Tokoh Pembangkang Malaysia Ditangkap Atas Tuduhan Rasuah
2016.06.29
Pulau Pinang

Seorang pemimpin pembangkang terkemuka Malaysia dan pengkritik lantang Perdana Menteri Najib Razak berhubung dakwaan tentang penglibatannya dalam skandal rasuah, telah ditangkap pada Rabu kerana tuduhan rasuah.
Lim Guan Eng, ketua menteri negeri utara Pulau Pinang dan setiausaha agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) pembangkang, akan dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan rasuah pada Khamis, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan.
Lim dan seorang ahli perniagaan wanita ditahan berikutan arahan daripada pejabat Peguam Negara "untuk mendakwa mereka di mahkamah esok," kata suruhanjaya itu.
Antara pertuduhan itu adalah pembelian sebuah banglo oleh Lim tahun lepas, dengan pengadu mendakwa ia dibeli pada harga di bawah pasaran iaitu RM2.8 juta ($693,000), kata pegawai parti itu.
Rumah itu bernilai dua kali ganda lebih daripada harga pembelian itu, kata beberapa Ahli Parlimen dari parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pimpinan Najib.
Bulan lalu, SPRM mengumumkan bahawa ia telah menyelesaikan siasatan berhubung kes pembelian banglo itu dan menyerahkan kertas siasatan kepada Peguam Negara Mohamed Apandi Ali.
Lim, yang menafikan sebarang dakwaan salah laku, berkata dalam satu kenyataan sebelum ini bahawa pembelian itu merupakan 'satu urus niaga tulus di antara saya dan penjual berdasarkan kepada kerelaan pembeli dan kerelaan penjual. "
Beliau, yang boleh dikenakan hukuman penjara jika disabitkan dengan pertuduhan itu, telah memperkenalkan tender terbuka bagi kontrak dan secara terbuka mengisytiharkan harta peribadinya apabila parti itu mengambil alih pemerintahan kerajaan Pulau Pinang pada 2008, dengan berikrar menjadi kerajaan yang bersih.
Lim, yang bapanya Lim Kit Siang adalah pemimpin pembangkang veteran, menerajui satu daripada tiga negeri yang diperintah pembangkang. Beliau telah menyerang Najib berhubung dakwaan penglibatannya dengan skandal kewangan besar yang berkaitan dengan dana pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sejak Julai 2015, Najib berdepan dengan gesaan supaya meletakkan jawatannya berikutan dakwaan hampir RM2.6 bilion [AS$700 juta] yang berkaitan dengan 1MDB dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya. Perdana menteri itu enggan berundur, dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil apa-apa wang untuk kepentingan peribadi.
1MDB dan Najib telah menjadi sasaran siasatan selepas Wall Street Journal (WSJ) melaporkan pada Julai lalu bahawa hampir $681 juta telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. Sejak itu, akhbar itu melaporkan bahawa Najib telah membelanjakan berjuta-juta dolar wang yang dikaitkan dengan 1MDB untuk membiayai gaya hidup yang mewah.
Peguam Negara Malaysia telah membersihkan Najib daripada semua dakwaan salah laku itu.
'Serangan habis-habisan' terhadap pembangkang
Sebelum dihadapkan ke mahkamah pada Khamis, Lim meminta penyokongnya di negeri itu "supaya terus tabah menghadapi krisis politik ini," kata Ketua DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan.
"DAP Pulau Pinang percaya dakwaan ini bermotifkan politik untuk membunuh kerjaya politik [Lim]," katanya.
Kira-kira 300 orang termasuk ahli DAP dan penyokong pembangkang menghadiri satu perhimpunan nyalaan lilin di pejabat SPRM Pulau Pinang sebagai tanda sokongan kepada Guan Eng.
Mereka melaungkan "Bebas Guan Eng" dan "Tangkap Perdana Menteri," menurut wartawan BeritaBenar yang membuat liputan di lokasi.
Seorang menteri di pejabat Najib, Abdul Rahman Dahlan, yang membangkitkan tentang pembelian banglo itu oleh Lim pada Mac tahun ini, berkata dalam satu kenyataan pada Rabu bahawa "terdapat salah laku dalam urus niaga itu dan rakyat Pulau Pinang berhak untuk mengetahui perkara sebenarnya."
"Jelas sekali, slogan DAP sebagai parti politik yang paling bersih di Malaysia tidak boleh dipertahankan lagi, selepas Lim Guan Eng ditangkap oleh SPRM hari ini," katanya.
Tetapi, Ahli Parlimen pembangkang Charles Santiago menyifatkan penangkapan itu sebagai "tindakan ugutan dan penderaan," lapor Associated Press.
Seorang lagi Ahli Parlimen, Tian Chua, berkata ia boleh menjadi "permulaan kepada serangan habis-habisan terhadap kesemua pembangkang."