Mahathir, Duterte Bincang Tentang IS, Hubungan Keselamatan
2018.07.16
Kuala Lumpur, Malaysia

Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, pada Isnin bersetuju untuk memperkukuhkan hubungan keselamatan dua hala semasa mereka berbincang tentang Negara Islam (IS) dan berjanji untuk mengekang penyebaran ekstremisme dan keganasan di rantau Asia Tenggara, kata sumber dan kenyataan rasmi.
Mahathir menerima kunjungan Duterte di pejabatnya di Putrajaya, pusat pentadbiran negara tu, selepas pemimpin Malaysia berusia 93 tahun itu mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen bersama-sama ahli lain di Parlimen.
"Kedua-dua pemimpin itu gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh kedua-dua negara dalam mengekang penyebaran ekstremisme dan keganasan di rantau ini," menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Mahathir. Malaysia juga menyatakan sokongan terhadap keamanan dan pembangunan di wilayah Mindanao, selatan Filipina."
Dalam mesej teks ringkas, seorang pegawai Mahathir memberitahu BeritaBenar bahawa kedua-dua pemimpin itu ada membincangkan tentang kumpulan pengganas IS pada pertemuan mereka.
"Ya, mereka bercakap tentang IS, antara isu-isu lain yang dibincangkan" kata sumber itu, tanpa mengulas lanjut.
Duterte mengadakan lawatan peribadinya ke Malaysia – dengan pertama kalinya bertemu Mahathir. Beliau bertemu rakan sejawatannya dari Malaysia itu pada malam Sabtu semasa perlawanan antara peninju Filipina, Manny "Pacman" Pacquiao, dan peninju Argentina, Lucas Matthysse, dengan pertarungan itu digelar sebagai pertandingan tinju terbesar di negara itu sejak pertembungan kelas heavyweight di antara Muhammad Ali dan Joe Bugner dari Australia pada 1975.
Mahathir tiba di perlawanan itu semasa pusingan keenam, yang memberikannya peluang untuk menyaksikan hanya satu pusingan pertarungan sebelum ikon Filipina itu meraih kemenangan sebagai juara welterweight Persatuan Tinju Dunia selepas melakukan pukulan kalah mati (KO) pada pusingan ketujuh.
Kenyataan daripada pejabat Duterte di Manila, yang dikeluarkan selepas pertemuan pada Isnin, menyatakan bahawa pemimpin Filipina itu "menegaskan tentang perlunya menangani keganasan dan ekstremisme ganas, serta jenayah merentas sempadan seperti cetak rompak dan rompakan bersenjata di laut serta perdagangan dadah haram.
"Presiden Duterte menzahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan Malaysia dalam usaha untuk mencapai keamanan dan pembangunan yang adil dan berkekalan di Mindanao," kata kenyataan itu, yang merujuk kepada pulau selatan Filipina yang menjadi tempat operasi militan yang pro-IS.
Tahun lepas, militan yang diketuai oleh pemimpin wilayah IS yang diiktiraf, Isnilon Hapilon, telah mengepung kota Marawi di Mindanao. Pasukan keselamatan dapat mengakhiri pengepungan Marawi dengan membunuh Hapilon selepas lima bulan pertempuran bersenjata yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang, dengan kebanyakannya adalah militan.
Pasukan Hapilon, yang disokong oleh militan Asia Tenggara dan pejuang-pejuang asing lain termasuk rakyat Indonesia dan rakyat Malaysia, melaksanakan rancangan yang mengejutkan kerajaan Filipina itu.
Dua rakyat Malaysia yang didakwa membantu merancang pengepungan Marawi, Mahmud Ahmad dan Amin Baco, dipercayai terbunuh ketika tentera Filipina menyerang pihak militan. Mayat mereka tidak ditemui dan pihak berkuasa di negeri Sabah baru-baru ini memasukkan nama mereka dalam senarai militan yang dikehendaki.
Pejuang-pejuang Malaysia yang mempunyai kaitan dengan IS, bersama-sama dengan beberapa rakyat Indonesia, telah membawa ancaman serius terhadap keselamatan Filipina kerana dipercayai berada di kawasan berhampiran Marawi, kata penganalisis keselamatan dan pegawai tentera kepada BeritaBenar sebeum ini.
Reputasi
Mahathir dikenali sebagai seorang yang amat tegas berikutan reputasinya dalam mengendalikan hak asasi manusia semasa beliau menerajui Malaysia, negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam itu, selama 22 tahun bermula pada 1981. Tetapi, penganalisis percaya beliau telah mengendurkan ketegasannya itu sejak pakatan pembangkangnya dapat menumbangkan gabungan parti pemerintah pada pilihan raya umum 9 Mei.
Sementara itu, Duterte tetap menjadi tumpuan kritikan antarabangsa apabila kumpulan hak asasi mendakwa bahawa seramai 12,000 orang telah terbunuh dalam perang dadah semasa di bawah pentadbirannya. Angka rasmi menunjukkan kira-kira 4,000 kematian sahaja dan pihak berkuasa memberitahu bahawa ia berlaku dalam kejadian tembak-menembak dengan anggota polis.
Kenyataan dari Manila itu menyatakan bahawa Duterte dan Mahathir "turut memperbaharui dan memperakui persaudaraan dan persahabatan yang sejak sekian lama erjalin di antara Filipina dan Malaysia."
Kedua-dua pihak tidak memberikan butiran terperinci tentang apa yang dibangkitkan semasa perbincangan itu. Sumber BeritaBenar di pejabat Mahathir berkata, Manila telah meminta agar butiran pertemuan itu tidak didedahkan.
Sebelum pertemuan itu, jurucakap Duterte, Harry Roque berkata, pemimpin Filipina berkenaan merancang untuk membangkitkan tentang pemberontakan dan IS.
Serangan lanun ke atas kapal-kapal di perairan rantau ini masih menjadi isu bagi Asia Tenggara, yang sejak kebelakangan ini telah menjadi sarang bagi militan yang mempunyai kaitan dengan IS, kata penganalisis.
Malaysia membantu proses damai Mindanao
Pada 2016, Malaysia telah mempermudahkan rundingan damai antara kerajaan Filipina dan pemberontak Islam di selatan Mindanao. Peranan Malaysia diperluaskan termasuklah dalam memantau kesepakatan gencatan senjata sementara oleh kedua-dua pihak itu kira-kira dua dekad yang lalu.
Proses damai itu melibatkan usaha merangka Undang-undang Asas Bangsamoro, iaitu undang-undang yang akan membolehkan penubuhan Wilayah Autonomi Bangsamoro yang mempunyai majoriti penduduk Islam di Mindanao sebagai satu entiti politik di Filipina yang mempunyai majoriti penduduk beragama Katolik.
BBL memperincikan kawasan autonomi yang dicadangkan di wilayah selatan itu dengan menyatakan tentang ruang lingkup dan kuasanya. Laluannya dijangka membawa keamanan di Mindanao, wilayah ketiga negara itu yang kaya dengan mineral di mana banyak kawasan masih terperangkap dalam kemiskinan akibat pemberontakan itu.
Barisan Pembebasan Islam Moro yang mempunyai 12,000 anggota terpaksa melepaskan hasratnya menjadi sebuah wilayah pentadbiran sendiri setelah bersetuju memperluaskan kuasa autonominya selepas menandatangani perjanjian damai dengan Manila empat tahun lalu.
Senat dan Dewan Perwakilan Filipina pada Jun lalu meluluskan rang undang-undang masing-masing tetapi para penggubal undang-undang dikritik kerana didakwa telah mengecilkan peruntukan tertentu. Duterte dijangka menandatangani rang undang-undang berkenaan pada 23 Julai sebelum menyampaikan ucapan negara pada satu Kongres bersama.