Malaysia Tetapkan Peraturan Baru Tangani Rasuah Bagi Penjawat Awam
2019.05.14
Putrajaya, Malaysia

Semua penjawat awam termasuk Menteri, Timbalan Menteri serta Setiausaha Politik kepada Menteri di Malaysia hanya boleh menerima hadiah tidak melebihi 500 ringgit [AS$119.90] demikian menurut peraturan baru yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Selasa dalam usaha membenteras rasuah.
Peraturan baru itu termaktub dalam pematuhan dasar panduan kerja awam - MyPORTFOLIO yang dilancarkan oleh Perdana Menteri berusia 93 tahun pada Selasa di mana semua penjawat awam termasuk lantikan politik di negara itu perlu mematuhinya.
“Semua menteri harus menandatangani akujanji mengeluarkan arahan dan memastikan pelaksanaan dasar berhubung penerimaan hadiah ini dilaksanakan,” kata beliau pada sidang media selepas majlis pelancaran panduan itu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan Jun tahun lalu, Mahathir mengumumkan yang pentadbirannya akan mengamalkan dasar tanpa hadiah untuk mengelakkan ketirisan dan mencegah rasuah di kalangan penjawat awam.
"Sesiapa hendak bagi hadiah kepada saya, saya tidak akan terima tapi boleh bagi bunga, makanan dan buah, tapi tidak lebih daripada itu,” tambahnya lagi.
Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun daripada tahun 1981 hingga 2003 turut berkata beliau tidak lagi menerima banyak hadiah seperti dahulu dan dasar beliau itu menyebabkan ada yang memberi hadiah dengan cara kreatif seperti menghantar satu tan dodol ke rumahnya yang turut dipenuhi dengan bunga-bungaan.
“Sekarang ini makanan dan bunga banyak di rumah saya. Mereka mahu hantar kepada saya satu tan dodol. Mereka hantar banyak sangat jadi saya terpaksa agihkan semula. Saya tidak tahu sama ada ini rasuah atau tidak,” kata beliau dengan nada bergurau.
“Saya tidak lagi dapat banyak hadiah sekarang ini, dahulu semasa saya jadi perdana menteri kali pertama, saya terima 26 buah kereta tetapi saya pulangkan dan ada antaranya saya letakkan di muzium (Galeri Perdana) di Langkawi,” katanya lagi.
Pengisytiharan harta
Pada sidang media yang sama Mahathir turut mengumumkan yang pengisytiharan harta akan dimasukkan dalam petunjuk prestasi utama (KPI) sebagai salah satu skop Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) kendalian Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC).
GIACC ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 bagi menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan banteras rasuah di negara itu dengan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] Abu Kassim Mohamed dilantik menerajuinya.
Antara tugas awal GIACC termasuk memastikan 21 janji kerajaan dalam membanteras rasuah seperti terkandung dalam manifesto PH yang memberi tumpuan khusus terhadap perlaksanaan fasa-fasa tertentu.
Ia merupakan kesinambungan daripada manifesto Pakatan Harapan untuk membersihkan negara daripada rasuah yang diumumkan pertama kali pada Oktober 2017 sebelum memenangi pilihan raya umum hampir setahun selepas itu.
Perdana Menteri itu juga meminta semua menteri dan anggota pentadbiran di bawah kementerian masing-masing mengisytiharkan harta kepada SPRM.
Mahathir juga mahu anggota parlimen pembangkang mengisytiharkan harta kerana mereka juga mempunyai kuasa tertentu antaranya kuasa mengkritik kerajaan.
"Kita akan panjangkan kepada semua anggota parlimen walaupun mereka dalam parti lawan. Pembangkang mempunyai sedikit kuasa, umpamanya mereka mempunyai kuasa untuk mengkritik kerajaan, ia bayaran untuk itu. Mereka juga perlu isytiharkan aset,” katanya yang mahu pihak pembangkang turut mengisytiharkan harta mereka sebagai balasan mengkritik kerajaan.
Kerajaan PH sebelum ini mewajibkan, semua anggota Kabinet dan Anggota Parlimen termasuk isteri dan anak mereka untuk membuat perisytiharan harta selepas membentuk kerajaan baru, tahun lalu.
Dokumen perisytiharan harta itu perlu diserahkan kepada SPRM untuk dipaparkan dalam sebuah portal khas, MyDeclaration yang diwujudkan untuk tatapan umum dan sejak Oktober lepas, Anggota Parlimen dan pentadbiran mula mengisytiharkan harta mereka.
Terbaru pada Mac lepas, Presiden Parti Keadilan Rakyat [PKR] yang juga Anggota Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim telah mengisyiharkan hartanya dengan nilai keseluruhan sebanyak 10.74 juta ringgita [AS$2.57 juta].
Semakan terkini oleh BeritaBenar mendapati seramai lima Anggota Parlimen masih tidak membuat perisytiharan harta dan lima lagi anggota pentadbiran dipercayai Setiausaha Politik juga masih belum berbuat demikian.
Menduduki senarai teratas yang mempunyai nilai aset tertinggi adalah Ahli Parlimen Segamat, R Santhara Kumar [132.1 juta ringgit], diikuti Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham [77 juta ringgit]; Perdana Menteri, Mahathir Mohamad [32.3 juta ringgit]; Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir [25.1 juta ringgit] dan Ahli Parlimen Alor Gajah, Mohd Redzuan Yusof [23 juta ringgit].