Mahathir Letak Jawatan Sebagai Perdana Menteri Malaysia
2020.02.24
Kuala Lumpur, Malaysia

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad meletak jawatan pada Isnin, demikian menurut Pejabat Perdana Menteri dalam satu pengumuman yang mengejutkan susulan beberapa pertemuan politik yang dijangka membawa kepada pembentukan sebuah kerajaan campuran baru.
Kenyataan dua perenggan itu menyatakan bahawa pemimpin berusia 94 tahun itu telah memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi negara majoriti muslim itu mengenai peletakan jawatannya pada jam 1 tengah hari waktu Kuala Lumpur.
Ia menyusuli beberapa perbincangan tertutup yang diadakan pada hujung minggu lalu melibatkan sekumpulan pemimpin parti pemerintah, yang menurut laporan tempatan, bertujuan menafikan peluang Anwar Ibrahim untuk menggantikan beliau.
“Mahathir Mohamad telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kepada Istana Negara hari ini,” kata kenyataan itu.
Berikutan keputusan Mahathir, parti pimpinannya, Bersatu, turut menarik diri daripada gabungan pemerintah Pakatan Harapan.
BeritaBenar tidak dapat mengesahkan sama ada Mahathir menerima sokongan mencukupi daripada pihak lain untuk membentuk kerajaan yang baru, tetapi media tempatan yang memetik angka tidak rasmi, menyatakan bahawa beliau telah memperoleh sokongan sekurang-kurangnya 130 Anggota Parlimen untuk melengkapkan penggal lima tahunnya.
Mahathir hanya memerlukan sokongan majoriti mudah 112 Ahli Parlimen, daripada sejumlah 222 wakil rakyat, untuk terus memegang tampuk kuasa.