Tempoh Perkhidmatan Jawatan Perdana Menteri Dihadkan Dua Penggal, PM

Lex Radz
2018.10.18
Kuala Lumpur, Malaysia
181018-MY-Mahathir1000.jpg Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, dan Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Ismail, berdoa semasa sesi parlimen di Kuala Lumpur, 15 Oktober 2018.
AP

Malaysia mengambil langkah membuat perubahan dalam sistem politiknya dengan mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal, demikian kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Khamis.

Beliau berkata had untuk jawatan tertinggi negara dan 13 negeri lain di Malaysia adalah sebahagian daripada pembaharuan sistem politik kerajaan di bawah Pakatan Harapan [PH].

“Langkah segera untuk mereformasi sistem politik akan dilaksanakan. Tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal.” katanya semasa membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Mahathir, yang sebelum ini memegang jawatan perdana menteri selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003, juga berkata, “Perdana Menteri juga tidak akan memegang portfolio lain,” kata Mahathir yang berumur 93 tahun.

Semasa ditemui media, Mahathir berkata, langkah mengehadkan tempoh perkhidmatan itu melibatkan perubahan dalam perlembagaan, dan kerajaan perlu mendapatkan majoriti dua pertiga sebelum ianya diluluskan di Parlimen.

"Saya fikir kita dapat meyakinkan anggota parlimen. Ini untuk kepentingan mereka juga untuk menyokong (usul ini)," katanya kepada media di lobi Parlimen selepas pembentangan KSP RMK11 tersebut.

Pembaharuan itu datang lima bulan selepas PH menguasai kerajaan apabila berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara selama 60 tahun pada pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lepas.

Pembentangan pertama PH

Pembentangan KSP RMK11 hari ini adalah yang pertama bagi kerajaan baharu PH sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negara tetapi bukan yang pertama bagi perdana menteri ketujuh itu.

RMK-11 adalah rancangan pembangunan lima tahun (2016-2020) dan masih ada dua tahun lagi sebelum rancangan tersebut berakhir dalam menzahirkan matlamat Wawasan 2020.

Bertemakan, ‘Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’, KSP RMK11 itu berasaskan kepada enam tonggak iaitu mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam; memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat; menuju ke arah pembangunan wilayah yang seimbang.

Yang keempatnya ialah memperkasa modal insan; diikuti dengan mempertingkat kemampanan alam sekitar melalui pertumbuhan hijau manakala yang terakhir ialah memperkukuh pertumbuhan ekonomi.

Kajian pelan pembangunan itu akan mengandungi pelaksanaan dasar baharu serta dasar sedia ada yang ditambah baik dengan tumpuan utama diberikan kepada pembangunan infrastruktur.

Mahathir turut menyifatkan KSP RMK11 sebagai dokumen komprehensif dalam mereformasikan negara dan memastikan agenda pembangunan negara memastikanMalaysia mencapai status negara maju dan inklusif selaras dengan aspirasi Wawasan 2020 – wawasan yang dililhamkannya semasa membentangkan RMK6 pada 1991.

“Dokumen ini memperlihatkan anjakan pemikiran berkaitan pembangunan. Kita tidak lagi melihat pembangunan mengikut ukuran pertumbuhan ekonomi atau keluaran dalam negeri kasar (KDNK) semata-mata. Kita melihat pembangunan dari aspek peningkatan kuasa beli rakyat, dan pembangunan akan dinikmati oleh semua rakyat, tambah beliau.

Perdana Menteri itu berkata semua strategi yang dibentangkan adalah semata-mata untuk memperkukuh ekonomi, institusi awam dan tadbir urus kerajaan dengan harapan dapat menebus maruah negara dan dihormati dunia.

"Apa yang saya bentangkan adalah untuk rakyat. Untuk semua rakyat dari Perlis hingga ke Sabah. Untuk orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dan Orang Asli dan etnik-etnik lain yang semua bernaung di bawah langit Malaysia.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.