Mahathir Saman Najib, Enam Anggota Panel RCI dan Kerajaan
2017.12.19
Kuala Lumpur

Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad pada Selasa memfailkan saman permulaan terhadap Perdana Menteri, Najib Razak, kabinetnya serta enam anggota Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) yang kerugian pertukaran asing pada tahun 1990-an, dengan menuntut laporan akhir siasatan itu sebagai tidak sah dan terbatal.
Saman permulaan itu yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa menamakan enam anggota suruhanjaya itu iaitu pengerusi RCI Mohd Sidek Hassan dan lima lagi anggotanya iaitu Kamaludin Md Said, Tajuddin Atan, Saw Choon Boon, K Pushpanathan dan Yusof Ismail.
Selain panel RCI, turut dinamakan sebagai defendan ketujuh, lapan dan sembilan adalah Najib, kabinetnya dan kerajaan Malaysia. Saman itu difailkan melalui firma undang-undang Haniff Khatri bagi pihak Mahathir.
Pengerusi Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang memohon deklarasi bahawa laporan RCI pada 13 Oktober tahun ini tidak sah dan tidak terpakai di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.
Laporan tidak lengkap
Hanif yang ditemui selepas memfailkan saman pemula itu memberitahu bahawa saman itu difailkan kerana kegagalan, kecuaian dan kegagalan panel memasukkan perkara-perkara asas ke dalam laporan suruhanjaya itu.
“Ini adalah keseluruhan nota prosiding berkaitan keterangan lisan saksi-saksi yang dipanggil memberi keterangan dan dirakam di dalam prosiding RCI, samada melalui transkripsi ataupun secara rakaman video,” katanya.
Katanya, pihak RCI juga gagal untuk memasukkan keseluruhan hujah dari pelbagai pihak samada melalui hujah bertulis mahupun lisan.
Mahathir, katanya, memohon kos saman ditanggung oleh defendan.
Sebelum ini, Mahathir dalam surat tuntutannya mengenai laporan akhir RCI itu pada 4 Disember lalu mendakwa bahawa laporan setebal 495 muka surat itu tidak memasukkan transkrip semua saksi, hujahan dan bukti-bukti.
Mahathir juga memberikan RCI tarikh akhir 8 Disember untuk memasukkan semua itu dalam laporannya.
Siasat Mahathir dan Anwar
Suruhanjaya pada 30 November lepas telah menghantar laporan kepada Parlimen di mana ia mengesyorkan supaya pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dua pemimpin pembangkang - Mahathir Mohamad dan bekas timbalannya Anwar Ibrahim - berkaitan dengan kerugian berbilion dolar bank pusat pada 1990-an.
Syor itu terkandung dalam laporan RCI, beberapa hari selepas timbalan perdana menteri berkata bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada separuh kedua Februari 2018.
"Suruhanjaya berpendapat bahawa Menteri Kewangan ketika itu telah dengan sengaja menyembunyikan fakta dan maklumat serta membuat kenyataan yang mengelirukan kepada Kabinet," kata laporan itu, yang merujuk kepada Anwar, yang juga menteri kewangan ketika bank pusat itu menanggung kerugian RM31.5 bilion (AS $ 7.7 bilion) dalam dagangan wang asing di antara 1992 dan 1994.
"Suruhanjaya ini juga berpendapat bahawa Perdana Menteri ketika itu telah mengizinkan perbuatan Menteri Kewangan," menurut laporan setebal 524 muka surat oleh suruhanjaya itu, yang tidak menamakan Mahathir dan Anwar, yang kini menjalani hukuman penjara atas sabitan liwat.
Laporan itu menunjukkan bahawa buat pertama kalinya Mahathir, 92, dan Anwar, 70, didakwa secara rasmi terhadap potensi salah laku jenayah berkaitan dengan kerugian bank pusat itu, yang secara rasmi dikenali sebagai Bank Negara Malaysia (BNM), lebih daripada 20 tahun yang lalu.
Ia menyatakan bahawa ramai pegawai kerajaan, termasuk perdana menteri dan menteri kewangan, mungkin melakukan jenayah pecah amanah atau menipu, dengan melakukan transaksi spekulasi forex dan kemudian menyembunyikan kerugian itu.
Polis Malaysia telah menubuhkan pasukan khas yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Amar Singh Ishar Singh sejurus laporan itu dikeluarkan.
Ketua Polis Negara Mohammad Fuzi Harun sebelum ini berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan beliau meramalkan ia mungkin akan mengambil masa yang lama.
Mahathir dan Anwar, yang sebelum ini bermusuhan, baru-baru ini bergabung untuk memimpin pakatan pembangkang yang baru, Pakatan Harapan, dalam menentang Perdana Menteri Najib Razak dan partinya, Pertubuhan Melayu Kebangsaan (UMNO), yang menguasai politik Malaysia di seluruh negara sepanjang 60 tahun dahulu.
Mahathir merupakan antara pengkritik Najib yag paling lantang, dengan mengetuai gesaan supaya beliau meletak jawatannya sebagai perdana menteri berikutan dakwaan yang membabitkannya dalam skandal rasuah berkaitan dana negara 1MDB. Najib menafikan sebarang salah laku dalam urusan 1MDB.