Seorang Lagi Juruteknik Pesawat Didakwa Beri Sokongan Kepada Pengganas IS
2016.06.17

Seorang lagi kapal terbang berhadapan dengan hukuman penjara seumur hidup selepas didakwa atas kesalahan memberi sokongan kepada kumpulan militan Negara Islam (IS) melalui akaun laman sosial Facebook, dua tahun lepas.
Tertuduh, Shaiful Bahari Ahmad, 49 didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, mengikut Seksyen 130(J)(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda, dan boleh dilucut hak ke atas mana-mana harta yang digunakan bagi melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Pada 8 Jun lalu, seorang juruteknik kapal terbang dituduh di Mahkamah yang sama atas kesalahan menggalakkan keanggotaan dalam kumpulan pengganas IS dan membenarkan perjumpaan diadakan di rumahnya bagi menyokong aktiviti kumpulan itu.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Shaiful Bahari, setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin pada Jumaat.
Bapa kepada dua anak itu, dituduh memberikan sokongan dan galakan kepada kumpulan pengganas menerusi akaun Facebook miliknya, menggunakan namanya sendiri, di No 2, SkuadronVVIP, Pangkalan Udara Subang dekat Shah Alam kira-kira 7.33 malam 12 Jun 2014.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Selangor, Timbalan Pendakwa Raya Roslan Mat Nor manakala tertuduh diwakili peguam Halem Mohamad Husin.
Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana terikat dengan Seksyen 13 Akta Kesalahan-Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Majistret Siti Norshakirah kemudiannya menetapkan 19 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu.
Shaiful Bahari adalah antara 14 orang yang ditahan di beberapa negeri kerana memberi sokongan kepada IS pada Mei lepas
‘Dua lagi didakwa’
Dalam pada itu, seorang wanita dan seorang juruaudio di hadapkan di dua Mahkamah Majistret berasingan iaitu Kuala Lumpur dan Petaling Jaya pada Khamis lepas atas tuduhan berkaitan dengan pengganas.
Nor Izatul Farahirah bt Ismail, 35, seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas kesalahan memakai ikatan kepala berwarna hitam yang menunjukkan kaitannya dengan kumpulan pengganas Negara Islam.
Manakala Muhammad Nazrul Nooh, 37, seorang juruaudio didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas pertuduhan mengendalikan harta pengganas milik Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin, 37 yang berada di Syria, melalui akaun sebuah bank tempatan.
Nor Izatul didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana aset berkaitan.
Wanita itu melakukan kesalahan di kediamannya di sebuah flat di Desa Pandan, Kuala Lumpur pada 19 Mei lepas.
Jika sabit kesalahan, Nor Izatul boleh menghadapi sehingga tujuh tahun penjara. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zuhair Rosli.
Sementara itu, Nor Izatul mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan di dua lagi Mahkamah [Majistret dan Sesyen] Kuala Lumpur atas tuduhan memiliki dua keping kad pengenalan Malaysia milik Aisyah Marcella Lee Abdullah dan Calysta Ying, tanpa kuasa sah daripada pemilik-pemilik kad tersebut.
Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Peraturan 25(i)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya di hadapan Majistret Mohd Rehan Mohd Aris.
Pada masa yang sama juga, Nor Izatul dihadapkan dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Zaman Mohd. Noor atas pertuduhan memalsukan dua kad pengenalan milik individu yang sama dengan niat untuk menggunakan dokumen tersebut sebagai dokumen tulen.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.
Pendakwaan kesemua kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. Kesemua mahkamah menetapkan 5 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu Muhammad Nazrul didakwa mengikut Seksyen 130Q(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana harta tersebut.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya mengemukakan pertuduhan keatas tertuduh, yang diwakili peguam, Swinder Singh.
Majistret Salamiah Salleh menetapkan 20 Julai ini untuk sebutan semula kes tersebut.
Kementerian Dalam Negeri,memetik sumber perisikan, mendakwa lebih 130 rakyat Malaysia telah cuba menyertai IS di Iraq atau Syria. Sekurang-kurangnya 19 rakyat Malaysia terbunuh semasa berlawan untuk IS di Timur Tengah, menurut Ketua Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Bukit Aman Ayub Khan Mydin Pitchay.
Sejak tahun 2013, Polis Malaysia telah menahan 193 suspek keganasan IS dengan 64 daripada mereka didakwa di mahkamah, mengikut statistik polis.
Fahirul N. Ramli turut menyumbang kepada laporan ini.