Mahkamah Benarkan Penerbitan Kristian Malaysia Guna Kalimah ‘Allah’ Untuk Tuhan

Keputusan sedemikian adalah bertentangan dengan penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 2014 yang membenarkan larangan penggunaan perkataan Arab dalam bahan pendidikan Kristian.
Staf BeritaBenar
2021.03.10
Kuala Lumpur
Mahkamah Benarkan Penerbitan Kristian Malaysia Guna Kalimah ‘Allah’ Untuk Tuhan Masyarakat Islam mengadakan tunjuk perasaan di luar Mahkamah Rayuan Malaysia di Putrajaya, yang terletak di pinggir Kuala Lumpur, 14 Oktober 2013.
[Reuters]

Penganut Kristian Malaysia dibenarkan menggunakan kalimah "Allah" bagi merujuk kepada Tuhan dalam penerbitan bahan pendidikan agama itu, menurut keputusan sebuah Mahkamah Tinggi pada Rabu yang menamatkan larangan sejak beberapa dekad lalu, dengan mahkamah itu menganggapnya sebagai tidak berperlembagaan kerana menyekat kebebasan beragama.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut memutuskan bahawa arahan pada 1986 oleh Kementerian Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan Kristian adalah tidak sah dan tidak rasional kerana penganut Kristian Melayu telah menggunakan perkataan itu sejak lebih daripada 400 tahun, lapor agensi Berita dikendalikan kerajaan, Bernama, mengenai keputusan itu.

"Penggunaan perkataan itu tidak akan mengganggu ketenteraman awam," kata Hakim Nor Bee Ariffin dalam penghakimannya yang membenarkan penerbitan Kristian menggunakan kalimah "Allah serta tiga perkataan lain iaitu “Baitullah", "Kaabah" dan "solat".

BeritaBenar tidak memperoleh salinan penghakiman Mahkamah Tinggi itu atau dapat menghubungi peguam kedua-dua pihak dalam kes itu.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu adalah bertentangan dengan penghakiman Mahkamah Persekutuan 2014 – dalam kes berasingan - yang menurut laporan Associated Press membenarkan larangan kerajaan bagi penggunaan "Allah" oleh penerbitan Kristian, dengan isu itu menjadi amat emosional bagi penganut minoriti Kristian dan majoriti Muslim di negara itu.

Sementara itu, peguam yang mewakili kerajaan bagi kes itu memberitahu Bernama bahawa penerbitan Kristian yang menggunakan perkataan itu perlu memastikan bahawa bahan pendidikan tersebut adalah untuk kegunaan penganut Kristian sahaja.

"Bagaimanapun, penerbitan yang mengandungi keempat-empat perkataan itu perlu disertakan dengan penafian bahawa ia adalah ‘hanya untuk penganut Kristian’ dan juga lambing salib," kata Penasihat Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, kepada Bernama.

Kerajaan digesa kemuka rayuan

Sejak berdekad-dekad lalu, ramai umat Islam Malaysia yang konservatif menyatakan bahawa orang Melayu bukan Islam yang menggunakan perkataan seperti Allah boleh menggunakannya untuk "mengelirukan" dan kononnya memurtadkan umat Islam kepada agama lain.

Beberapa bulan menjelang penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 2014 dan beberapa keputusan mahkamah sebelum ini berhubung isu itu, menyaksikan masyarakat Islam mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran dengan mereka membawa sepanduk tertera petikan seperti "Allah hanya untuk umat Islam."

Pada malam Rabu, gabungan parti-parti Muafakat Nasional telah menyuarakan keprihatinan amat serius mengenai penghakiman Mahkamah Tinggi itu. Muafakat Nasional dianggotai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) - parti tertua di Malaysia dan rakan dalam gabungan kerajaan - serta Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang konservatif.

“Muafakat Nasional ingin menyatakan keprihatinan amat serius berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh orang bukan Islam dalam penerbitan masing-masing. Berikutan itu, mesyuarat MN malam ini menggesa kerajaan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan, ”kata gabungan itu dalam satu kenyataan di laman web UMNO.

Ada juga yang bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Seorang pengguna Twitter yang memperkenalkan dirinya sebagai warganegara Malaysia menyatakan bahawa larangan menggunakan kalimah "Allah" oleh orang bukan Islam adalah suatu bentuk diskriminasi.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya bingung dan saya malu bagaimana orang Melayu Islam boleh melakukan amalan diskriminasi sebegini. Generasi saya melihat ini sebagai semakan semula yang tidak masuk akal sehingga menjadi tidak terkawal, ”kata individu itu.

Banci Malaysia 2010 menunjukkan 61.3 peratus rakyat Malaysia menganuti agama Islam, hampir 20 peratus menganuti agama Buddha dan 6.3 peratus lagi menganuti agama Kristian, menurut Laporan Kebebasan Beragama Antarabangsa 2019 yang diterbitkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.

James Masing, timbalan ketua menteri Sarawak di Malaysia, dengan negeri itu mempunyai majoriti penganut Kristian, berkata keputusan Mahkamah Tinggi itu pada Rabu menunjukkan bahawa kebebasan beragama masih ada di negara berkenaan.

"Keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan larangan kalimah" Allah " digunakan oleh orang Kristian menunjukkan bahawa kebebasan beragama masih utuh dan baik di Malaysia. Negara ini mempunyai kekuatan undang-undang, ”kata Masing kepada The Borneo Post.

Sebuah kumpulan antara agama terkemuka di Malaysia menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dengan membenarkan orang Kristian menggunakan kalimah "Allah" kerana setiap orang mempunyai hak untuk bebas beragama.

Rakyat Malaysia perlu menghormati keputusan itu, kata R.S. Mohan Shan, presiden Majlis Perundingan Malaysia mengenai Buddhisme, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme, kepada penerbitan The Malaysian Insight.

Kes berlanjutan selama 13 tahun

Penghakiman pada Rabu adalah mengenai permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Jill Ireland Lawrence Bill, seorang penganut Kristian Sarawak, pada 13 tahun lalu.

Pihak berkuasa telah merampas lapan CD agama dengan judul berbahasa Melayu yang merangkumi kalimah "Allah" daripada Ireland pada Mei 2008 ketika dia pulang dari luar negara.

Ireland mengemukakan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar rampasan itu dan bagi mendapatkan pengisytiharan mengenai hak perlembagaannya untuk menggunakan kalimah "Allah" dalam penerbitan Kristian.

Pada 2014, Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa rampasan itu salah tetapi tidak memutuskan isu perlembagaan yang dikemukakan oleh Ireland.

Setahun kemudian, Mahkamah Rayuan memerintahkan Kementerian Dalam Negeri supaya mengembalikan CD tersebut kepada Ireland, tetapi memerintahkan Mahkamah Tinggi supaya mendengar kes itu dari sudut perlembagaan kes tersebut.

Mahkamah Tinggi dijadualkan membuat keputusan mengenai kes itu pada 2018 tetapi menangguhkan penghakiman tersebut.

Pada Rabu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Ireland diberi jaminan perlindungan daripada diskriminasi agama.

"Tidak dapat dipertikaikan bahawa Bahasa Malaysia telah menjadi bahasa orang di Sabah dan Sarawak," kata Hakim Nor Bee.

"Seperti yang dilihat daripada afidavit oleh pemohon dan beberapa afidavit lain, yang kesemuanya tidak dibantah, tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah "Allah "dalam Bahasa Malaysia bagi mengamalkan agama mereka sejak berabad-abad lalu."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

Mohd Azrul Isyam bin Ab Rawi
Mar 14, 2021 10:58 AM

apa dalil yg mengatakan agama Kristian dari telunjuk Bible mengatakan Allah dipergunakan dlm keyakinan pegangan agama mereka..

ini cara salah satu utk cara mengelirukan pegangan agama ...

esok lusa LGBR Marina Mahadir pulak masuk senarai memohon...

Hujung2 Malaysia dgn pemimpin yg minum arak bersongkok inilah ...kayu api neraka jahanam..

PERTAHANKAN ALLAH ...Biar nyawa saya dipertaruhkan

Siti Aishah binti aminordin
Mar 18, 2021 08:13 AM

Saya tidak faham betul dimana datang idea penggunaan nama Allah dlm bible ni.
Pada pandangan saya tiada reason yang logic utk berbuat begitu.
Ape lah susah wahai pastor pastor kristian nak sangat guna nama Allah convert sahaja kpd Agama islam.
Knp perlu ambil nama sahaja? Apakah makna nama allah itu kepada kamu?
Tidak keterlaluan saya katakan niat mereka mahu mendatangkan kekeliruan dan seterusnya menyesatkan.