Perbicaraan Dua Wanita Kes Kim Jong Nam Mungkin Berlarutan Sehingga Pertengahan 2018 - Peguam

Hareez Lee & N. Nantha
2017.11.20
Kuala Lumpur
171120-my-kjn620.jpeg Rakyat Indonesia, Siti Aisyah, duduk di kerusi roda semasa sesi khas mahkamah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 dalam perbicaraannya bagi pertuduhan bahawa dia dan seorang wanita lain membunuh Kim Jong Nam di ruang berlepas lapangan terbang itu, 24 Okt, 2017.
(Hadi Azmi/BeritaBenar)

Perbicaraan dua wanita Asia Tenggara, yang dituduh membunuh abang tiri pemimpin diktator Korea Utara di sebuah lapangan terbang Malaysia, boleh berlarutan sehingga 2018, kata peguam bagi  seorang daripada tertuduh itu.

Sejak perbicaraan rakyat Indonesia Siti Aisyah, 25, dan Doan Thi Huong, 28, dari Vietnam bermula pada awal Oktober lalu, pihak pendakwaan telah memanggil 18 saksi yang memberi keterangan sepanjang 19 hari perbicaraan.

Pendakwa raya memberitahu  bahawa mereka akan memanggil sekurang-kurangnya 20 orang lagi untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu, yang mungkin mengambil masa berbelas-belas hari lagi, di mana hakim telah menetapkan tarikh perbicaraan pada Januari, Februari dan Mac depan.

Dan peguam bela kemudian akan membuat pembentangan kes mereka, bergantung kepada sama ada Hakim Azmi Ariffin memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah menampilkan kes yang kukuh terhadap tertuduh, bagi meneruskan fasa pembelaan atau  membebaskan mereka, kata Hisyam Teh Poh Teik, peguam yang mewakili Doan.

"Ia mungkin berlarutan sehingga pertengahan tahun depan kerana pihak pendakwaan akan membuat penghujahan dan kami pula akan membentangkan kes kami," kata Hisyam kepada BeritaBenar.

"Kemudian, hakim perlu membuat keputusan dan ia akan mengambil sedikit masa untuknya berbuat demikian."

Kedua-dua wanita itu dituduh bersubahat dengan empat lelaki Korea Utara, yang kemudian melarikan diri dari negara ini, dalam pembunuhan Kim Jong Nam pada 13 Feb lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

Pegawai-pegawai kerajaan dari Malaysia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat [AS] telah menuduh ejen-ejen rejim pemimpin Korea Utara Kim Jong Un terbabit dalam mendalangi serangan itu, di mana abang tiri pemimpin itu telah diracun sehingga mati dengan agen saraf yang diharamkan, menurut polis Malaysia.

Pada Isnin di Washington, Presiden AS, Donald Trump telah membangkitkan pembunuhan Kim Jong Nam apabila beliau mengumumkan bahawa Amerika Syarikat "menamakan Korea Utara sebagai negara penaja keganasan."

"Selain daripada mengancam dunia dengan kehancuran nuklear, Korea Utara telah berulang kali menyokong perbuatan keganasan antarabangsa, termasuk pembunuhan di negara asing," kata Trump sebelum beliau mengadakan pertemuan Kabinet, sambil memberitahu bahawa tindakan itu akan membawa kepada "sekatan dan hukuman lebih lanjut terhadap Korea Utara dan orang yang berkaitan," menurut satu transkrip dari White House.

Pada awal November, Penasihat Keselamatan Negara AS H.R McMaster menuduh Kim Jong Un sebagai dalang pembunuhan abang tirinya di Malaysia, dan beliau memberi amaran bahawa "tindakan keganasan" itu boleh mengakibatkan Korea Utara disenaraikan semula oleh Amerika Syarikat sebagai negara penaja keganasan.

Siapa bunuh KJN?

Wan Shaharuddin Wan Ladin, seorang peguam bagi pihak pendakwaan dalam perbicaraan Malaysia terhadap Doan dan Siti Aisyah, berkata, tumpuan kes itu adalah untuk membuktikan siapa yang membunuh Kim Jong Nam berbanding dengan ‘’mencari sesuatu yang tiada’’.

"Kes pendakwaan setakat ini, begitu baik. Kami memberikan tekanan terhadap pihak pembelaan dan kami masih menunggu mereka untuk mendedahkan pembelaan mereka,"katanya kepada BeritaBenar.

Wan Shaharuddin turut menjawab soalan tentang bagaimana, melalui pemeriksaan balas, pasukan pembelaan menyerang keterangan yang diberikan oleh saksi utama pendakwaan, Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, yang mengetuai siasatan polis terhadap pembunuhan itu.

"Cara pengendalian siasatan, bagi kami, tidak begitu penting. Kami memberi tumpuan kepada siapa yang membunuh KJN, yang menyebabkan kematiannya. Selain itu, tidak ada kes di mana siasatan dilakukan dengan sempurna, "katanya. "Kami tidak mencari sesuatu yang tidak ada."

Selepas pihak pendakwaan selesai membentangkan kesnya, hakim boleh menentukan jika tiada kes terhadap kedua-dua wanita itu, yang bermaksud beliau boleh memerintahkan mereka dibebaskan. Sekiranya tidak, pihak pembelaan perlu meluangkan masa beberapa bulan lagi untuk membentangkan kes dan memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan, kata peguam bela Hisyam Teh Poh Teik.

Kedua-dua wanita itu, yang menghadapi hukuman mati jika disabitkan kesalahan, mengaku tidak bersalah dan mendakwa bahawa mereka beranggapan yang mereka mengambil bahagian dalam aksi guarauan bagi rancangan TV realiti. Mereka dituduh menyerang Kim dengan menyapu agen saraf VX yang membawa maut pada mukanya di terminal berlepas lapangan terbang itu.

"Pelaku sebenar kesalahan itu adalah empat rakyat Korea Utara yang telah dinamakan di mahkamah. Anak guam saya dan anak guam Gooi telah dijadikan ‘kambing hitam’," kata Hisyam.

Beliau memberitahu bahawa pihak pendakwaan telah melakukan yang terbaik untuk meletakkan Siti Aisyah dan Doan berada di tempat kejadian dengan menyediakan rakaman televisyen litar tertutup dan membuktikan bahawa VX digunakan untuk membunuh Kim Jong Nam.

"Tetapi, itu semua adalah keterangan mengikut keadaan. Mereka cuba meletakkan kesalahan membunuh itu terhadap kedua-dua tertuduh dengan semua bukti ini. Itu sahaja bukti terbaik yang mereka ada," kata Hisyam.

Pihak pendakwaan perlu membuktikan bahawa kedua-dua wanita itu tahu bahawa cecair yang ada pada tangan mereka adalah toksik dan bahawa mereka mahu membunuh Kim Jong Nam, katanya.

"Dalam sesi perbicaraan terdahulu, saya telah bertanya kepada pakar senjata kimia mengenainya," kata peguam bela itu. "Sekiranya seseorang yang tidak mempunyai pengetahuan tentang VX, tetapi mempunyai cecair itu dalam tangannya, ia tidak mempunyai bau atau rasa, adakah dia tahu yang ia adalah VX?"

"Jawapannya adalah tidak."


Fadzil Aziz di Shah Alam turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.