Wang Kelian: Dua Warga Myanmar Dipenjara Tiga Tahun Seludup Pendatang

S. Adie Zul
2016.08.19
Kangar, Perlis
160819-my-mahkamah-myanmar1-620.JPG Tertuduh Shahidullah @ Syahidullah (kiri) and Momotin @ Dus Mohamad dibawa anggota polis keluar dari Mahkamah Tinggi Kangar di Perlis selepas mengaku bersalah menyeludup seorang pendatang Myanmar antara tahun 2014 dan 2015, 19 Ogos, 2016.
[S. Adie Zul/BeritaBenar]

Sebuah mahkamah tinggi Malaysia pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun terhadap dua lelaki warga Myanmar atas kesalahan memperdagangkan rakyat asing di kawasan di mana 136 kubur haram dijumpai di sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis, pada Mei tahun lepas.

Mahkamah Tinggi Kangar, Perlis, telah menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh Shahidullah @ Syahidullah and Momotin @ Dus Mohamad, masing-masing berusia 18 tahun, mengaku bersalah menyeludup seorang pendatang Myanmar yang dikenali sebagai Mohd Belai.

Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar memerintahkan hukuman bermula dari tarikh mereka ditangkap oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) pada 2 Mei lepas.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah atas pertuduhan menyeludup Mohd Belai di Bukit Wang Burma antara Ogos 2014 and March 2015 dan didakwa mengikut Akta Anti-Penyeludupan Migran dan Anti-Pemerdangangan Manusia (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Abu Bakar berkata, penyeludupan migran telah menarik perhatian dunia dan hanya hukuman yang setimpal wajar walaupun Shahidullah dan Momotin masih di bawah umur semasa melakukan kesalahan itu.

Shahidullah dan Momotin adalah individu kedua dan ketiga yang dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Malaysia selepas mahkamah tinggi yang sama pada Jun lalu telah menjatuhkan hukuman penjara selama sepuluh tahun ke atas seorang lelaki Bangladesh, Nurul Islam, 32, setelah dia mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan menyeludup dan memperdagangkan manusia.

Nurul Islam mendakwa dia dipaksa melakukan kesalahan itu oleh seorang ejen sindiket penyeludupan, yang akan memukulnya jika beliau enggan mengikut  arahan. Beliau turut memberitahu mahkamah yang beliau hanya dibayar gaji  RM 1,800 (AS$445) sebulan.

Turut dipaksa menjadi ejen

Dalam rayuannya, Syahidullah yang berbaju T- hijau dan kain sarung biru, meminta mahkamah menjatuhi hukuman ringan kerana dia hanya bertindak sebagai ejen dan telah dipaksa melakukan kerja itu untuk mengelakkan daripada dipukul.

Seorang lagi tertuduh, Dus yang berbaju T- putih dan jeans turut memaklumkan mahkamah bahawa dia tidak berniat untuk melakukan kerja-kerja berkenaan tetapi terpaksa akur atas paksaan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, Mohamad Abazafree Mohd Abbas dan Nadia Zulkefli.

Dalam hujahnya, Afzainizam meminta makamah memberi hukuman setimpal kepada kedua-dua tertuduh sebagai pengajaran kepada mereka dan pihak lain.

Ujarnya, walaupun kedua-dua tertuduh mendakwa mereka hanya bertindak sebagai ejen, tindakan mereka telah meninggalkan kesan negatif kepada mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Bersama 700 migran lain

Mohd Belai pada mulanya dijanjikan pekerjaan di Malaysia oleh kedua-dua ejen itu yang bersetuju menguruskan perjalanannya ke Malaysia dengan bot kecil ke Jasikala, Myanmar yang mengambil masa lapan jam, menurut fakta kes.

Mohd Belai yang tidak mempunyai dokumen perjalanan bersama 700 pendatang asing lain dibawa dengan bot besar dari Jasikala yang belayar selama satu bulan untuk sampai ke Pulau Phuket, Thailand.

Beliau bersama 100 pendatang asing kemudian menaiki bot kecil melalui sungai dan juga pikap ke Palu, Thailand. Kemudian mereka berjalan kaki selama 13 jam dengan membawa 10 kilogram beras ke sebuah kem di Bukit Wang Burma, Padang Besar.

Dalam fakta kes itu, Mohd Belai mendakwa ejen Rohingya memberitahu hanya pendatang asing yang membayar RM7, 000 sahaja akan dibawa memasuki Malaysia dan yang tidak mampu bayar akan terus tinggal di kem.

Beliau juga memaklumkan bahawa sepanjang berada di kem tersebut antara Ogos 2014 hingga 10 Mac 2015, beliau melihat beberapa pendatang asing mati akibat sakit atau dipukul.

Pendatang asing yang mati ditanam di kawasan kem tersebut yang dikawal oleh ejen-ejen Myanmar dan Thailand termasuk kedua-dua tertuduh.

Kem itu diserbu oleh polis Malaysia pada 10 Mac tahun lalu namun pengawal sindiket telah berjaya melarikan diri dan meninggalkan 90 pendatang asing. Manakala, Mohd Belai dan enam pendatang lain berjaya melepaskan diri.

Mereka bagaimanapun ditangkap pada pagi 11 Mac oleh polis di Kampung Guar Musang, Padang Besar semasa menaiki dua kereta ejen tempatan menuju Alor Setar.

Pada Mei tahun lepas, polis telah menjumpai 139 kubur haram dan 106 mayat yang dipercayai etnik Rohingya dan Bangladesh, dari kem tahanan haram di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma, terletak hanya beberapa ratus meter dari sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian.

Awal bulan yang sama, sebuah kubur besar yang mengandungi sekurang-kurangnya 36 mayat dijumpai di sempadan sebelah Thailand, yang membawa kepada hukuman keras ke atas penyeludup manusia oleh Thailand, yang mengakibatkan  tercetusnya krisis kemanusiaan dengan kebanjiran hampir 3,000 pendatang Rohingya dan Bangladesh ke Malaysia dan Indonesia.

Sembilan puluh dua orang termasuk seorang jeneral sedang didakwa atas kesalahan pemerdagangan manusia di Thailand, selepas hukuman keras dikenakan oleh pemerintah negara berkenaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.