Raja Melayu Mahu Rakyat Lindungi Perpaduan Negara Berbilang Bangsa, Agama


2017.10.10
Kuala Lumpur
171010-my-raja620.jpg Gambar yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia menunjukkan suasana di dalam Istana Negara semasa Majlis Pertabalan Yang Di-Pertuan Agung Sultan Muhammad V, di Istana Negara, Kuala Lumpur, 24 April, 2017.
[AFP/Jabatan Penerangan Malaysia/Bustam Mohamad]

Majlis Raja-Raja Melayu yang merupakan badan dan kuasa tertinggi dalam hal ehwal Islam di Malaysia mahu rakyat memahami dan melindungi perpaduan negara berikutan beberapa kejadian yang dilihat sebagai boleh menghancurkan keharmonian dalam masyarakat berbilang etnik dan pelbagai agama.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dan ditandatangani oleh  Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu Syed Danial Syed Ahmad pada Selasa, yang meminta rakyat menghormati prinsip utama yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara, yang digubal berasaskan persefahaman bahawa rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.

"Raja-Raja berpendirian bahawa isu keharmonian membawa implikasi yang lebih mendalam sekiranya sesuatu tindakan itu bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam. Imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan yang bersifat keterlaluan dan memisahkan rakyat," kata kenyataan itu dalam memberi peringatan.

Menurut kenyataan itu lagi, sejak kebelakangan ini, tindakan oleh individu tertentu yang bersifat keterlaluan dan yang membimbangkan boleh menjejaskan keharmonian rakyat daripada pelbagai kaum dan agama.

Perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama adalah komponen penting dalam memastikan kestabilan Malaysia, setelah 60 tahun mencapai kemerdekaan, amatlah penting untuk rakyat terus mengamalkan nilai-nilai bermasyarakat dan bernegara berpandukan prinsip yang termaktub dalam perlembangaan dan mendukung semangat yang terkandung dalam Rukun Negara.

Rukun Negara yang diisytiharkan sebagai ideologi kebangsaan oleh Yang Di-Pertuan Agong ke-empat pada 31 Ogos 1970 telah menggariskan lima cita-cita dan prinsip yang harus menjadi kompas pedoman oleh semua pihak, baik pemimpin, pentadbir dan rakyat keseluruhannya.

Peringatan raja-raja Melayu yang dinyatakan dalam kenyataan media khas pada Selasa itu, telah dilihat sebagai sesuatu yang cukup bersejarah kerana jarang sekali untuk Majlis Raja-Raja Melayu berbuat demikian.

'Sultan murka'

Baru-baru ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah bertitah supaya pemilik kedai dobi di Muar, Johor, yang menaikkan papan tanda ‘mesra muslim’ yang memaklumkan hanya pelanggan tertentu sahaja boleh menggunakan perkhidmatannya Johor sehingga mencetuskan kecaman di seluruh negara, supaya memohon maaf dan menukarkan dasarnya itu.

Pemilik kedai dobi berusia 40 tahun itu berkata beliau menjalankan kewajipannya sebagai seorang umat Islam, sambil menambah bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan perkhidmatan di dobi berdekatan yang dikenali sebagai kedai dobi yang mempunyai pelanggan  berbilang kaum dan agama.

Menurut media tempatan, hal berkenaan telah menimbulkan kontroversi sejak beberapa hari lepas dan menjadi hangat di laman media sosial.

Papan tanda di hadapan kedai tersebut tertulis perkataan "mesra-Muslim."

"Dobi ini hanya menerima pelanggan beragama Islam sahaja atas faktor kesucian. Segala kesulitan amat dikesali. Sila tinggalkan kasut diluar, " kata papan tanda itu.

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mengakhiri perkara itu pada Rabu apabila baginda bertindak mengeluarkan kenyatan keras terhadap pemilik kedai dobi itu kerana dasar pengecualiannya.

"Beta tidak boleh terima perkara mengarut seperti ini. Ini adalah negeri Johor, negeri milik Bangsa Johor dan milik semua rakyat tidak kira bangsa dan agama. Negeri ini adalah progresif, moden dan bersifat sederhana,” titah sultan kepada akhbar tempatan The Star.

"Ini bukan negara Taliban dan sebagai Ketua Agama Islam di Johor, beta merasakan tindakan ini sama sekali tidak boleh diterima dan bersifat ekstremis,"

Baginda juga memerintah pihak berkuasa hal ehwal Islam untuk menyiasat perkara tersebut.

"Beta mahu pemilik meminta maaf kepada beta dan rakyat Johor. Beliau (pemilik)  telah membuat warga Johor sangat marah dan malu kerana ini bukan Johor yang kita mahukan.

"Pemilik itu juga telah melanggar wawasan Johor untuk bersatu, hidup dalam harmoni, bersikap sederhana dan bertoleransi. Kalau dia mahu meneruskan juga perkhidmatan dobi Muslim itu, dia boleh keluar dari Johor. Beta cadangkan dia buka kedai di Afghanistan.

Pemikirannya sempit dan tidak seiring dengan apa yang diperjuangkan di Johor," titah baginda seperti dilaporkan oleh The Star.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.