Bekas Pengerusi MARA Inc Didakwa 22 Pertuduhan Rasuah, Pengubahan Wang Haram

Mohammad Lan Allani, bekas Pengerusi Mara Inc. didakwa menerima rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM20.45 juta berkaitan pembelian hartanah di Australia.
Nisha David & Ray Sherman
2021.02.05
Kuala Lumpur
Bekas Pengerusi MARA Inc Didakwa 22 Pertuduhan Rasuah, Pengubahan Wang Haram Pelajar Malaysia sedang berjalan sebuah bangunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), sebuah pusat pengajian tinggi yang hanya menerima pelajar Melayu dan Bumiputera dan ditubuhkan sejak 1971, di Shah Alam, Selangor, 23 Ogos 2008.
[Reuters]

Seorang bekas pengerusi sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan bagi membantu etnik Melayu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas 22 pertuduhan rasuah berjumlah RM20.45 juta (AS$5 million) dan pengubahan wang haram berkaitan pembelian aset di Australia.

Mohammad Lan Allani, 65, bekas Pengerusi Mara Inc. mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob.

"Bagi pertuduhan pertama hingga ke-14, anda, Mohammad Lan Allani didakwa menerima rasuah iaitu wang berjumlah RM7.45 juta daripada Pengarah Syarikat Optimus Capital Sdn Bhd, Mazrul Haizad Marof melalui cek Malayan Banking Berhad (Maybank) yang dibayar ke dalam akaun CIMB Investment Bank Berhad di mana anda mempunyai kepentingan.

"Ia sebagai upah membantu meluluskan kertas cadangan bertajuk "Proposed Acquisition of a Student Accommodation Building and a Commercial Retails Block known as Dudley International House, 7-14 Dudley Street, Caulfield East, Victoria 3145, Melbourne, Australia"," kata jurubahasa ketika membacakan pertuduhan di mahkamah pada Jumaat.

Bekas pengerusi itu dituduh melakukan semua kesalahan itu di Maybank cawangan Mont Kiara, Jalan Solaris 1, Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur antara Mac dan Julai 2013.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000(AS$2,456), mengikut mana lebih tinggi.

Mohammad Lan turut didakwa atas tiga tuduhan cuba memperoleh dan memperoleh daripada pemilik Syarikat Marinn Property Pte Ltd dan Carlton Gardens Pte Ltd, Ding Pei Chai iaitu suapan untuk diri sendiri berjumlah keseluruhan RM3 juta sebagai dorongan mempercepatkan pembayaran baki pertama sebanyak 10 peratus dan baki kedua 30 peratus daripada jumlah nilai pembelian saham kedua-dua syarikat di antara Pei Chai dan MARA Inc.

Mohammad Lan dituduh melakukan kesalahan itu di beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur antara Mei dan 27 Jun 2013 dan didakwa Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Tiga lagi pertuduhan lain adalah bersetuju menerima suapan wang berjumlah keseluruhan RM10 juta(AS$2.45 juta) daripada Mazrul Haizad sebagai upah membantu meluluskan kertas cadangan bertajuk "Proposed Acquisition of Commercial Building Comprises281 Units of Student Accomidation known as, 746, Swanston Street, Carlton, Vic 3053 Australia".

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Solaris dan Maybank Mont Kiara, Kuala Lumpur antara September dan 4 Disember 2012 serta didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, di hadapan Hakim Rozina, Mohammad Lan turut didakwa atas dua tuduhan pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang berjumlah keseluruhan RM10 juta(AS$2.45 juta) daripada akaun Private Banking Portfolio CIMB Bank ke akaun semasa CIMB Bank miliknya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank, Jalan Sagunting, Central Building, Kota Kinabalu, Sabah, pada 10 Disember 2012 dan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib menawarkan jaminan RM400,000 (AS$98,268) dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Mohammad Lan dalam rayuannya menerusi peguam Hisyam Teh Poh Teik memohon wang ikat jamin dibayar secara ansuran dua kali iaitu RM200,000 (AS$49,134) hari ini dan selebihnya sebelum 16 Februari 2021.

"Tertuduh tidak dapat menyediakan RM400,000 pagi ini selain tidak mempunyai risiko melarikan diri, selain menghidap masalah sakit jantung dan tulang belakang," kata peguam belanya.

Kemudiannya, hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkmah.

Mahkamah turut membenarkan ikat jamin dibayar secara ansuran dan menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula kes.

Pada 2015, sayap pelaburan Mara itu terbabit dengan kontroversi berikutan pendedahan akhbar Australia, The Sydney Morning Herald yang mendakwa ia membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli sebuah blok pangsapuri lima tingkat, Dudley International House, di Melbourne dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran.

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' telah terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri di bandar raya itu pada 2013, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli oleh MARA, perbadanan yang menyediakan biasiswa untuk pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bangunan setinggi lima tingkat di subbandar East Caulfield menempatkan 115 pelajar tajaan MARA yang melanjutkan pengajian di Monash University.

MARA merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang ditubuhkan pada 1 Mac 1966, di bawah Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun.

Fungi MARA adalah untuk membantu dan menggalakkan serta memudahkan perjalanan pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan kaum bumiputera terutamanya di kawasan luar bandar.

Selain Dudley House, MARA Inc juga memiliki bangunan 12 tingkat di Swanston Street, Melbourne dan bangunan lain di Exhibition Street, dengan anggaran nilai RM300 juta (US $ 73 juta).

Pada 9 Julai tahun lalu, pihak berkuasa Australia menuduh pemaju hartanah tempatan Dennis Teen Boon Lye, dengan memberi rasuah kepada seorang pegawai Malaysia untuk menjamin penjualan bangunan tersebut.

Mohammad Lan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mara Inc, Abd Halim Rahim digantung tugas sementara menunggu siasatan ketika perjanjian yang tidak masuk akal menjadi tajuk utama pada tahun 2015.

Pada tahun berikutnya, diumumkan bahawa kedua-duanya tidak lagi bersama agensi tersebut.

Selain kes rasuah melibatkan MARA, pada Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta kepada Mohd Isa Abdul Samad, mantan ketua Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), sebuah agensi yang ditubuhkan untuk membasmi kemiskinan di kalangan Melayu luar bandar.

Bekas anggota Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang berusia 71 tahun itu disabitkan dengan tiga pertuduhan menerima rasuah untuk dirinya sendiri dengan beliau didakwa menerima wang bernilai RM3.09 juta daripada anggota Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, melalui Muhammad Zahid Md Arip.

Habuan berkenaan diberi kepada Mohd Isa sebagai imbuhan atas bantuannya meluluskan Hotel Merdeka Palace & Suites di Kuching, Sarawak itu dibeli oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) dengan harga RM160 juta(AS$39.3 juta).

Beliau dibebaskan dengan jaminan RM1.5 juta (AS$ 370,000) sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.