Penganjur BERSIH 4.0 Didakwa Di Mahkamah

Staf BeritaBenar
2015.11.03
151103-MY-MARIACHIN620 Maria Chin Abdullah, pengerusi Bersih - gabungan NGO dan kumpulan aktivis Malaysia - semasa bercakap pada wartawan selepas memberi kenyataan mengenai BERSIH 4.0 yang diadakan besar 29 Ogos, di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. 2 September 2015
AFP

Maria Chin Abdullah, penganjur perhimpunan BERSIH 4.0 yang diadakan pada 29 Ogos lalu dengan penyertaan kira-kira 200,000 orang yang mendesak Perdana Menteri Malaysia Najib Razak meletak jawatan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa.

Bagaimanapun, Maria mengaku tidak bersalah, terhadap pertuduhan yang mendakwa beliau gagal memberi notis dalam tempoh yang ditetapkan sebelum menganjurkan perhimpunan BERSIH 4.0, selepas dibacakan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Maria, 59, yang juga Pengerusi Bersih 2.0 didakwa gagal memberikan notis untuk mengadakan perhimpunan selama 34 jam dari 29 hingga 30 Ogos lalu kepada Polis Daerah Brickfields di Kuala Lumpur , iaitu 10 hari sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan kompleks beli-belah NU Sentral, Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini antara 2 petang hingga 3 petang, 29 Ogos lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman (PAA) dan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 di bawah Seksyen 9(5) akta sama, jika sabit kesalahan.

Hakim Mat Ghani membenarkan Maria diikat jamin RM5,000 tanpa deposit selepas diminta Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Mat Ghani menetapkan tarikh perbicaraan kes Maria pada 11 Disember depan, lapor agensi Berita Nasional Malaysia, Bernama, pada Selasa.

Peguam Honey Tan Lay Ean, yang mewakili Maria sebagai 'orang yang disaman', memohon mahkamah tidak mengenakan jaminan atas alasan anak guamnya sentiasa memberi kerjasama dan tidak akan melarikan diri kerana pekerjaannya di negara ini.

Seorang lagi peguamnya, Ambiga Sreenevasan juga bersetuju bahawa Maria tidak perlu diikat jamin kerana beliau tidak mungkin keluar dari negara itu.

"Maria tidak ada rancangan untuk pergi ke mana-mana dan beliau akan terus berada di sini untuk memperjuangkan perkara ini.

"Soal jaminan tidak sepatutnya timbul dalam kes ini dan saya minta tiada ikat jamin dikenakan kerana tidak ada alasan untuknya," kata Ambiga seperti yang dilaporkan portal berita The Malaysian Insider.

Perhimpunan BERSIH 4.0, yang diadakan di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, merupakan bantahan terbesar rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional yang diterajui Najib. Mereka menuntut pilihan raya yang bersih, kerajaan bebas rasuah, hak untuk membantah, mengukuhkan demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi.

Selain di Malaysia, Bersih 4.0 turut diadakan di 50 bandar di dunia termasuk New York, Washington, San Francisco, Montreal, London, Paris, Geneva, Auckland, Melbourne, Shanghai, dan Hong Kong.

Penganjuran BERSIH 4.0 mendapat kecaman hebat daripada pelbagai golongan masyarakat kerana tarikhnya bertembung dengan persiapan menyambut ulangtahun Hari Kebangsaan Malaysia yang disambut pada 31 Ogos.

"Jika mahu berhimpun sekalipun, pilihlah masa dan kawasan yang tidak mencetuskan satu provokasi. Walau apapun perbezaan pendapat atau fahaman di antara kita, hari kebangsaan tidak seharusnya dijadikan pentas perselisihan politik," kata Najib,  sehari sebelum BERSIH 4.0 diadakan.

Tuduhan digugurkan

Sementara itu, Maria memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa pertuduhan terhadapnya harus digugurkan kerana BERSIH 4.0 diadakan selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan dalam kes pemimpin PKR Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa keperluan notis 10 hari terbatal.

"Pertuduhan ini sebenarnya tidak mengikut Perlembagaan. Keputusan (Mahkamah Rayuan) itu masih sah kerana Mahkamah Rayuan memutuskan notis 10 hari itu batal dan tidak sah.

“Keputusan itu seharusnya ditegakkan kerana kami mengadakan perhimpunan BERSIH 4.0 pada ketika itu iaitu apabila notis 10 hari itu diisytiharkan batal dan tidak sah," kata Maria seperti yang dilaporkan The Malaysian Insider.

Sebelum ini, Nik Nazmi dibebaskan daripada tuduhan sama selepas keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan ketika itu menyatakan bahawa seksyen yang memperuntukkan tempoh notis 10 hari sebelum sebarang perhimpunan awam, tidak mengikut perlembagaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.