Lima Jemaah Wanita Malaysia Maut Dalam Kejadian Kren Tumbang

Staf BeritaBenar
2015.09.14
150914-MY-MAKKAH620 Beberapa pekerja berdiri di sebelah kren yang runtuh di Masjidil Haram, bandar suci Makkah, Arab Saudi. 12 Sept 2015.
AFP

Tabung Haji (TH), agensi Malaysia yang mengendalikan jemaah haji negara itu, mengesahkan bahawa lima jemaah wanitanya maut dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Mekah pada Jumaat lalu.

Mereka adalah antara lapan jemaah dari Malaysia yang didapati hilang selepas pemeriksaan dari bilik ke bilik dilakukan pihak TH selepas tragedi itu.

Mayat pertama yang dikenal pasti ialah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak diikuti tiga lagi mayat jemaah yang kesemuanya dari Kelantan iaitu Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai; dan Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku serta Zainun Taha, 69, dari Ampang, Selangor.

Kerajaan Arab Saudi menempatkan kesemua jenazah itu di rumah mayat Muaissem yang terletak berdekatan dengan Mina.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom berkata, jenazah mereka akan disolatkan di Masjidil Haram sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Ma'ala di Mekah yang khusus disediakan untuk jemaah haji yang meninggal dunia di sana.

TH juga telah menghubungi keluarga waris untuk memaklumkan berita sedih itu, lapor agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Isnin.

“Pengesahan jenazah itu dibuat oleh pasukan TH di Mekah melalui 108 keping gambar yang dipaparkan pihak berkuasa Arab Saudi," kata Jamil Khir pada sidang media di Kelana Jaya, dekat ibu negara Kuala Lumpur.

Proses pengecaman

Beliau berkata ini adalah kali pertama pasukan TH dibenarkan membuat proses pengecaman jenazah melalui gambar yang dipaparkan.

Pasukan perubatan TH hanya dibenarkan masuk ke bilik jenazah untuk proses pengecaman pada 10.30 pagi waktu Arab Saudi (3.30 petang waktu Malaysia) pada Isnin.

Selain itu, katanya, proses pengecaman dilakukan melalui buku rekod kesihatan, pas dan gelang pengenalan diri jemaah dan ujian DNA jika perlu.

“TH akan terus mencari mangsa-mangsa di hospital berdekatan serta memastikan semua proses pengecaman diselesaikan secepat mungkin,” kata Jamil Khir.

Beliau berkata TH turut menemui semula jemaah Malaysia, Abdul Muluk Ishak, 71, dari Pantai Remis, Perak, yang sebelum ini dilaporkan antara lapan jemaah yang hilang dalam kejadian itu.

Abdul Muluk dilaporkan telah pergi ke kawasan penginapan jemaah Thailand pada hari kejadian, dan beliau berada dalam keadaan sihat.

Sehingga kini, dua lagi jemaah Malaysia yang masih hilang ialah Abdul Habib Lahman, 68, dari Sik, Kedah dan Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah.

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia di Mekah, Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, seramai 10 jemaah Malaysia cedera dalam tragedi itu dengan lima daripada mereka sudah dibenarkan pulang ke maktab masing-masing.

Lima lagi masih dirawat di hospital iaitu seorang di Hospital Raja Abdul Aziz, seorang di Hospital Raja Faizal, seorang di Hospital An Nur dan dua orang di Pusat Rawatan Tabung Haji.

Kesemua jemaah yang cedera itu disahkan dapat menunaikan wuquf pada 23 Sept ini (9 Zulhijjah, bulan Islam).

Pada Jumaat , pihak Pertahanan Awam Arab Saudi mengumumkan bahawa 107 orang jemaah terkorban manakala 238 orang lagi cedera dalam tragedi itu.

Mereka adalah antara beratus-ratus ribu jemaah dari pelbagai negara di seluruh dunia yang mula membanjiri Mekah bagi menunaikan ibadah haji, iaitu rukun Islam kelima yang wajib dilakukan oleh umat Islam yang berkemampuan.

Pada Jumaat, sebuah kren tumbang dalam kejadian ribut pasir dan hujan lebat selepas umat Islam selesai menunaikan solat Asar di Masjidil Haram. Kren itu menghempap kawasan Saie dan sebahagian kawasan tawaf.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Najib Razak pada Isnin meminta semua rakyat Malaysia berdoa supaya dua orang lagi jemaah yang masih hilang iaitu Abdul Habib dan Shahidan, dapat ditemui segera.

"Hari ini lima jenazah jemaah haji Malaysia telah dikenal pasti. Semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan ditempatkan nanti di jannah.

“Teruskan berdoa agar dua lagi jemaah Malaysia dijumpai segera," katanya di dalam catatan terbarunya melalui Facebook dan Twitter rasmi beliau.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.