Pengarah dan produser filem Mentega Terbang didakwa di Mahkamah
2024.01.17
Kuala Lumpur

Mahkamah Malaysia pada Rabu mengheret dua pembikin filem bebas yang mengetengahkan kisah seorang gadis beragama Islam meneroka fahaman agama lain ke muka pengadilan atas kesalahan "melukakan perasaan agama lain", menjadikan mereka individu pertama di negara itu yang berdepan dengan pendakwaan jenayah.
Human Rights Watch (HRW) dan kumpulan lain serta pemerhati menyelar tindakan kerajaan Malaysia terhadap pengarah dan produser filem ‘Mentega Terbang’ itu.
“Perbuatan politik kasar” yang menyekat kebebasan bersuara adalah istilah yang digunakan oleh pemantau hak asasi global manakala pengkritik pula berkata Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini berusaha meraih undi puak konservatif yang sedang berkembang di negara majoriti Muslim itu.
Mohd Khairianwar Jailani dan Tan Meng Kheng didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan - yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali - kerana dikatakan telah menyinggung sentimen agama melalui kandungan filem mereka.
Mereka didakwa secara berasingan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim dan Majistret Aina Azahra Arifin, di mana mereka mengaku tidak bersalah.
Khairianwar dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM6,000 (AS$1,280) manakala Tan sebanyak RM6,500 (AS$1,385) sementara menunggu perbicaraan.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah melarang mereka membuat sebarang kenyataan umum mengenai kes tersebut.
"Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 298 kerana menulis skrip, mengarah dan mengeluarkan filem. Kami membantah larangan bersuara yang dikenakan kerana merasakan ia tidak betul dan akan membawa perkara ini ke Mahkamah Tinggi bagi mencabar perintah kerana ia sesuatu yang salah," kata Peguam N Surendran yang mewakili kedua-dua tertuduh ketika ditemui media di luar mahkamah.
"[Seksyen 298] adalah satu perundangan yang lapuk dan kita tidak boleh membenarkan ia digunakan lagi. Kami telah memaklumkan kedua-dua Majistret dan akan merujuk kes ke Mahkamah Tinggi bagi mengetepikan Seksyen 298 sebagai satu peruntukan yang tidak berperlembagaan. Sekiranya kami berjaya, pertuduhan ini juga akan diketepikan," katanya.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 14 Mac depan sebagai tarikh sebutan kes.
"Pendakwaan oleh Malaysia terhadap dua individu tersebut di bawah undang-undang yang kabur dan sewenang-wenangnya kerana dikatakan 'menyinggung perasaan agama' merupakan sesuatu yang melampau dan tidak boleh diterima dan menunjukkan dengan jelas bagaimana Anwar Ibrahim dan kerajaannya gagal melindungi kebebasan bersuara serta menggunakan dakwaan jenayah demi motif politik," kata Phil Robertson, Timbalan Pengarah Human Rights Watch Asia yang berpangkalan di New York.
"Tindakan memuaskan nafsu politik dengan mempertaruhkan hak asasi manusia seperti ini adalah perkara yang Anwar sendiri tuduh kerajaan terdahulu ketika beliau menjadi pembangkang. Tetapi kini beliau berubah menjadi hipokrit selepas mendapat kuasa dan menggunakan peruntukan yang sama," kata beliau kepada BenarNews.
Tangkapan skrin daripada treler filem “Mentega Terbang” yang menunjukkan protagonis, Aisyah berusia 15 tahun, sedang memasuki sebuah masjid. [Pengeluaran YouTube/Anomalist]
Sementara itu, beberapa kumpulan hak asasi manusia termasuk Article 19, Amnesty International Malaysia, Pusat Kewartawanan Bebas, dalam satu kenyataan bersama mengkritik pendakwaan ke atas pengarah dan produser Mentega Terbang itu.
"Seksyen 298 Kanun Keseksaan menjenayahkan perbuatan menghina mana-mana agama. Pemantauan ke atas pelanggaran hak asasi manusia mendapati peruntukan ini selalu digunakan terhadap mereka yang dikatakan menghina Islam.
"Penguatkuasaan peruntukan ini mempunyai impak tidak seimbang dan negatif terhadap komuniti minoriti, musuh politik, orang yang tidak percaya agama, pelawak, artis, tokoh agama serta mereka yang menyuarakan pandangan dan banyak kali ke atas kenyataan benar mengenai realiti kehidupan terutama sekali apabila ia membabitkan respons terhadap tindakan bermasalah oleh mereka yang berkuasa," menurut kenyataan itu.
Anna Har, Pengarah Freedom Film Network pula berkata kejadian itu sudah tentu akan menakutkan generasi baharu pembuat filem.
"Mentega Terbang tidak dibuat dengan niat untuk menyinggung perasaan sesiapa malah sebaliknya ia bertujuan untuk menggalakkan keharmonian serta dialog terbuka secara aman," kata Anna kepada BenarNews.
"Pembuat filem tidak patut dilayan sebagai penjenayah hanya kerana melakukan kerja mereka, kerana menghasilkan karya bagi menjadi inspirasi kepada orang lain dan memberikan perspektif berbeza, yang merupakan sesuatu yang diperlukan di Malaysia."
"Saya takut ia akan menghantar mesej yang menakutkan kepada pembuat filem lain terutama sekali mereka yang muda," kata beliau.
Bagaimanapun, pengkritik filem Mentega Terbang seperti penulis skrip Zabidi Mohamaed memuji tindakan kerajaan mengheret KhairiAnwar dan Tan ke mahkamah selain melabelkan filem mereka sebagai idea liberal serta kufur.
"Ini kes pertama dalam sejarah industri filem negara di mana sebuah filem yang melayan idea liberal yang menyinggung Islam didakwa di mahkamah.
"Sebagai seorang Islam, saya menurut kepercayaan bahawa kebenaran hanya ada dalam Islam dan saya berpegang kepada prinsip agama yang dibenarkan Allah iaitu hanya Islam," tulis beliau dalam hantaran di laman Facebook sehari sebelum prosiding mahkamah.
Filem Mentega Terbang diterbitkan pada 2021 dengan tayangan terhad namun ia mula meraih perhatian ramai pada Mac 2023 selepas mula distrim melalui platform Viu, yang kemudiannya dikeluarkan.
Ia pernah ditayangkan di Festival Filem Jogja-Netpac Indonesia 2021 dan menjadi filem penutup untuk Festival Filem Aceh 2022.
Tangkapan skrin daripada treler filem “Mentega Terbang” yang menunjukkan watak, Aisyah, sedang membaca Bible. [Pengeluaran YouTube/Anomalist]
Ia menceritakan kisah Aisyah, seorang gadis Melayu beragama Islam yang berdepan kehilangan ibunya yang sedang sakit tenat dan mula memikirkan mengenai kehidupan selepas mati dari sudut pandangan pelbagai agama.
Watak Aisyah tanpa berselindung meminta kebenaran untuk makan daging babi – perbuatan yang haram di sisi Islam manakala bapanya pula membenarkan Aisyah keluar daripada Islam bagi memeluk agama lain dan terdapat sedutan yang memaparkan adegan remaja itu membaca Bible.
Pembikinan filem itu telah menyebabkan Khairianwar dan Tan menerima ugutan bunuh serta menjadi subjek siasatan polis dan pelbagai pihak berkuasa agama. Ramai yang turut mempersoalkan bagaimana filem tersebut boleh ditayangkan kepada umum.
Pada bulan September, Kementerian Dalam Negeri telah mengeluarkan larangan ke atas filem itu kerana dikatakan melanggar kepentingan umum. Khairianwar dan Tan telah memfailkan kes di Mahkamah Tinggi bagi mencabar larangan tersebut.
Tindakan kerajaan mengeluarkan larangan sedemikian telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia dan kumpulan prohak asasi manusia ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang dikenali dengan imej progresif, berdepan kritikan kerana gagal mengambil tindakan dalam menangani isu sedemikian serta konservatisme.