Pengkritik: Malaysia Kurang Telus, Kekang Kebebasan Bersuara Walaupun Sudah 60 Tahun

Ray Sherman
2017.08.30
Kuala Lumpur
merdeka.jpeg Pelajar-pelajar sekolah Malaysia mengibarkan bendera kebangsaan semasa sambutan Hari Kemerdekaan di Kuala Lumpur, 31 Ogos, 2016.
[AFP]

Suasana yang semakin menindas kebebasan bersuara serta kurangnya ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam kerajaan akan mencemarkan Malaysia yang meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-60 pada Khamis, kata pejuang hak asasi dan pemerhati rasuah tempatan.

Negara itu yang mempunyai 30 juta penduduk terdiri daripada pelbagai etnik  telah berkembang menjadi satu daripada ekonomi Asia yang paling bertenaga sejak 31 Ogos 1957.

Namun, satu parti iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu telah menguasai politik tempatan sepanjang enam dekad yang lalu dan mengetatkan lagi cengkamannya sebagai ketua gabungan Barisan Nasional yang memerintah dengan menyekat kebebasan bersuara dan menangkap para pengkritik kerajaan, kata pemerhati.

"Kebebasan bersuara di Malaysia diawasi dengan amat melampau, dengan ia memihak kepada kepentingan orang yang berkuasa sambil melenyapkan suara pembela hak asasi manusia," kata Pengarah Eksekutif cawangan Amnesty International K. Shamini Darshni kepada BeritaBenar.

Keadaan menindas itu semakin mendalam sejak Perdana Menteri Najib Razak dibelenggui dakwaan rasuah yang berkaitan dengan skandal kewangan dikenali sebagai skandal 1MDB, menurut aktivis hak asasi.

Mereka menyatakan bahawa kerajaannya telah menggunakan pelbagai undang-undang untuk menahan orang yang membangkitkan persoalan mengenai tuduhan yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), atau menggesa Najib supaya meletak jawatan.

"Kerajaan Malaysia bertindak balas terhadap tuduhan rasuah dengan melontar jauh rasa hormatnya terhadap hak asasi," kata Phil Robertson, timbalan pengarah Asia Human Rights Watch (HRW), yang dalam laporan awal tahun ini menyatakan bahawa suasana bagi hak-hak di Malaysia telah merosot " dengan ketara "pada 2016 menerusi peningkatan penahanan pengkritik kerajaan, memperluaskan sekatan perhimpunan aman serta pelaksanaan langkah-langkah lain.

"Dengan mendakwa mereka yang menyuarakan pandangan berbentuk penentangan atau melakukan protes secara aman, kerajaan secara seriusnya  memandang rendah institusi demokrasi dan hak-hak semua warganegara Malaysia," katanya.

HRW berkata kerajaan Najib menggunakan undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) untuk menahan orang yang mengkritiknya berhubung skandal 1MDB, di mana berbilion dolar didakwa hilang daripada dana pelaburan negara itu yang ditubuhkan pada 2009 bagi merangsang pembangunan di Malaysia.

"Selagi kepimpinan politik korup, selagi itulah undang-undang dikenakan secara terpilih terhadap beberapa orang," kata Akhbar Satar, ketua Malaysia bagi Transparency International (TI), kepada BeritaBenar.

Undang-undang sejak zaman penjajah

Akta Hasutan, yang digubal oleh pemimpin penjajah British pada 1948 untuk memerangi komunis, telah dipinda oleh Malaysia berikutan rusuhan kaum pada 1969. Undang-undang itu mendefinisikan "hasutan" secara meluas dan mengenakan batasan terhadap kebebasan bersuara terutamanya mengenai isu-isu politik yang sensitif,  laporan oleh Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia.

Pada 2015, parlimen meminda akta itu sekali lagi dengan memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengenakan hukuman yang lebih ketat iaitu sehingga 20 tahun penjara bagi orang yang disabitkan dengan kesalahan menghasut.

Pindaan itu juga membenarkan pihak berkuasa negeri untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menapis penerbitan dan laman web yang dianggap mencetuskan kebencian di kalangan majoriti kumpulan etnik dan masyarakat agama.

"Akta Hasutan bukan hanya untuk umat Islam; ia adalah untuk melindungi semua rakyat Malaysia. Ia bertujuan menghalang mana-mana orang yang menggalakkan perasaan permusuhan di antara orang atau kumpulan berdasarkan agama - sama ada agama yang diserang itu adalah Kristian, Hindu, Islam atau mana-mana agama lain yang terdapat di Malaysia, "kata Najib semasa mewajarkan pindaan kepada undang-undang itu pada April 2015.

"Kita tidak akan dan tidak boleh menerima perbuatan menghasut konflik perkauman atau antara etnik. Kita sepatutnya mengelak  perbuatan yang menjejaskan kemajuan yang telah kita capai. Dan sebab itulah  kerajaan memutuskan untuk mengekalkan Akta Hasutan dan memindanya untuk menjadikan ia undang-undang yang lebih baik dan lebih sesuai, " kata beliau.

Pada masa itu, kerajaan Najib dikritik pihak luar dan dalam negara kerana menahan ramai ahli politik pembangkang, wartawan dan aktivis yang disyaki melakukan ucapan menghasut.

Pada malam sebelum sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 negaranya, Perdana Menteri menyeru rakyat supaya bersatu padu dan menyokong kerajaannya dalam menghadapi pilihan raya umum, yang dijangkakan seawalnya pada Jun 2018.

"Dengan semangat kemerdekaan, sekarang bukanlah masanya untuk berpecah belah," kata Najib, lapor Channel NewsAsia.

"Dalam era pentadbiran kerajaan ini, tidak ada hadiah yang lebih besar untuk rakyat, dalam makna sebenar kemerdekaan, daripada kerajaan yang mempunyai keupayaan untuk menunaikan janji-janjinya," tambah beliau.

'Bagi banyak lagi sambutan Hari Merdeka'

Perdana Menteri telah dikritik berhubung laporan bahawa hampir AS$700 juta, yang dikaitkan dengan dana pelaburan negara 1MDB, telah didepositkan ke dalam akaun bank miliknya semasa pilihan raya umum pada 2013.

Beliau telah menafikan sebarang salah laku berhubung perkara itu, dan berkata bahawa sejumlah besar wang tunai itu adalah derma daripada kerajaan Arab Saudi dan tidak digunakan untuk kepentingan peribadi.

Bagaimanapun, perdana menteri telah memecat seorang peguam negara yang sedang meneliti dakwaan rasuah dan salah pengurusan kewangan berkaitan 1MDB, serta seorang timbalan perdana menteri yang mengkritiknya secara terbuka mengenai perkara itu.

Pada minggu lalu, mahkamah tinggi menolak permohonan pemimpin pembangkang, Rafizi Ramli, yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat, untuk membatalkan sabitan dan hukuman 18 bulan di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana membocorkan sebahagian daripada laporan sulit juruaudit mengenai 1MDB.

"Sejak OSA berkuat kuasa 45 tahun lalu, kita telah menyaksikan bagaimana undang-undang ini digunakan sebagai cara yang berkesan untuk memastikan maklumat mengenai kerajaan disimpan secara sulit," kata Cynthia Gabriel, pengarah eksekutif NGO Malaysia, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

Beliau menggesa supaya ketelusan dan kebertanggungjawaban yang lebih besar dilaksanakan dalam kerajaan Malaysia pada tahun-tahun akan datang, serta memberhentikan pegawai-pegawai yang disyaki rasuah, kerana ini penting jika Malaysia mahu mencapai status sebagai sebuah negara maju.

Semasa menyuarakan harapannya bersempena Hari Kemerdekaan, Darshni, yang juga ketua piagam Malaysia bagi Amnesty berkata: "Malaysia mesti menunjukkan keinginan politik yang kuat dalam memastikan (manfaat) hak-hak asasi manusia dan bertahan bagi mendapatkan keadilan dan kebenaran untuk lebih banyak lagi generasi,  lebih banyak lagi sambutan Hari  Merdeka pada masa akan datang. "

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.