Polis Malaysia Tahan Tujuh Pengawal Keselamatan Dipercayai Anggota Abu Sayyaf

Ray Sherman
2017.09.21
Kuala Lumpur
170921-my-ASGtahan620.jpg Pasukan khas unit anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia menahan suspek yang dipercayai anggota Kumpulan Abu Sayyaf di satu lokasi yang tidak diketahui, 14 September 2017.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Pihak berkuasa Malaysia pada Khamis berkata mereka telah menangkap tujuh lelaki, dipercayai anggota kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di beberapa kawasan di sekitar dan berhampiran Kuala Lumpur minggu lepas.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan media berkata penangkapan kesemua lelaki yang berusia antara 22 dan 38 tahun itu dibuat susulan tangkapan anggota sel ASG yang merancang untuk melancarkan serangan keganasan semasa penutupan Sukan Asia Tenggara [SEA] dan sambutan Hari Kebangsaan di Kuala Lumpur bulan lepas.

Kesemua lelaki ditahan oleh pegawai polis daripada bahagian anti- keganasan pada 14 September di beberapa lokasi di Selangor dan Kuala Lumpur, kata Mohamad Fuzi.

"Operasi itu dilakukan berikutan tangkapan pada 30 Ogos, di mana sel Abu Sayyaf telah merancang untuk melancarkan serangan semasa majlis penutupan Sukan SEA ke-29 di Bukit Jalil, serta perarakan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka," kata ketua polis yang baru dilantik itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada tangkapan Ogos lepas, pihak berkuasa Malaysia telah menahan dua rakyat Filipina yang dipercayai dari sel ASG, bersama enam lagi rakyat tempatan selepas melancarkan serbuan "menggagalkan plot keganasan" dalam usaha mereka untuk mengganggu kedua-dua acara yang berlangsung di Malaysia.

Dalam pada itu, bagi tangkapan kali ini, pihak polis bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai individu yang ditahan itu, cuma memaklumkan yang mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan di syarikat swasta - kecuali seorang suspek.

"Salah seorang suspek berusia 22 tahun merupakan anggota aktif ASG yang pernah terlibat dalam pertempuran dengan tentera Filipina dan turut terlibat dalam aktiviti penculikan di selatan Filipina,” kata Mohamad Fuzi.

Menurut beliau, kesemua tujuh suspek itu telah menyusup masuk ke Malaysia melalui bandar Sandakan, di negeri Sabah, pada September 2015, sebelum menuju ke Kuala Lumpur dengan menggunakan dokumen perjalanan palsu.

Sandakan adalah sebuah bandar pesisir terletak di Sabah yang mempunyai perkhidmatan feri ke selatan Filipina.

Pada Jun lepas, pegawai Malaysia berkata dua warga Indonesia dan seorang rakyat Malaysia disyaki merancang perjalanan untuk menyeberang laut Sulu yang memisahkan Malaysia dan Filipina untuk menyertai pejuang yang mempunyai kaitan dengan militan Negara Islam yang sedang berperang dengan pasukan tentera Filipina di bandar Marawi di selatan Filipina.

Mohamad Fuzi berkata, para pegawai anti-keganasan akan terus menjalani operasi menentang pengganas di negara itu.

"Polis akan terus melancarkan operasi untuk memusnahkan elemen pengganas yang cuba menyelinap masuk ke negara ini - sama ada mencari perlindungan, mengumpul dana, melancarkan serangan atau menjadikan negara ini sebagai transit untuk merancang serangan keatas negara lain," katanya.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini, 41 rakyat asing, yang diklasifikasikan sebagai 'pengganas asing', telah ditangkap di Malaysia.

IS berjaya melakukan serangan pengganas pertama ke atas Malaysia, yang melibatkan letupan bom tangan ke atas sebuah kelab malam berhampiran Kuala Lumpur pada Jun tahun lepas sehingga menyebabkan lapan orang cedera.

Pihak berkuasa Malaysia juga berjaya menangkap pemimpin Abu Sayyaf yang dikenali sebagai Hajar Abdul Mubin, 25, (alias Abu Asrie), di mana para pegawai menggambarkan beliau sebagai dalang di dalam plot tersebut.

Fuzi berkata, Abu Asrie ketika itu, terlibat dalam penculikan dan pertempuran dengan tentera di selatan Filipina sebelum dia menyelinap masuk ke Malaysia melalui Sandakan dan menuju ke Kuala Lumpur pada Disember 2015.

Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan seramai 339 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, di mana 66 daripada mereka telah dibebaskan, menurut maklumat kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.