Malaysia Meterai MoU Bersama Empat Negara Untuk Dakwa Dalang MH17
2017.09.21
Washington DC

Malaysia bersama empat lagi negara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) memberi Sokongan Politik untuk Mendakwa Dalang yang Menembak pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 pada 14 Julai 2014.
Empat negara yang memeterai MoU itu adalah Ukraine, Belgium, Australia dan Belanda dan majlis itu berlangsung di Kediaman Rasmi Wakil Tetap Belanda ke Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York pada Rabu.
Kementerian Luar Negara Malaysia dalam satu kenyataan medianya berkata Menteri Luar Anifah Aman menandatangani MoU itu bagi pihak kerajaan Malaysia bersama rakan sejawatnya dari keempat-empat negara tersebut selaku negara yang menubuhkan Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) bagi menyelaras siasatan jenayah berkaitan tragedi MH17.
Anifah berada di New York kerana menghadiri Perhimpunan Agung ke-72 Pertubuhan Bangsa Bersatu yang sedang berlangsung sekarang hingga 26 September ini.
"Malaysia memberi komitmen penuh untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam serangan terhadap MH17 dan memastikan mangsa serta keluarga yang terbabit mendapat keadilan sewajarnya.
"Malaysia juga berpuas hati dengan siasatan JIT setakat ini, yang diterajui Belanda. Kita yakin pendakwaan di bawah undang-undang Belanda menjadi pilihan terbaik untuk menghadapkan mereka yang terbabit ke muka pengadilan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Wisma Putra berkata, Malaysia juga berharap langkah pertama ke arah mendakwa pelaku insiden akan memberi sedikit kelegaan dan harapan kepada keluarga dan waris mangsa yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi berkenaan.
Anggota JIT dari Australia, Belgium, Belanda, Malaysia dan Ukraine telah menetapkan bahawa pesawat itu ditembak oleh peluru berpandu BUK buatan Russia yang dilancarkan oleh pemisah pro-Rusia yang melawan kerajaan Ukraine. Pada September 2016, JIT mengeluarkan laporan interim yang menyimpulkan bahawa peluru berpandu telah dibawa dari Rusia.
Pegawai Rusia mengisytiharkan tidak bersalah dan menyalahkan tentera Ukraine terlibat dalam tragedi itu.
JIT cuba menubuhkan mahkamah antarabangsa tetapi Rusia menyekat draf resolusi penubuhan mahkamah itu pada 2015 melalui penggunaan kuasa vetonya di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menyekat resolusi untuk mewujudkan sebuah tribunal antarabangsa bagi MH17, dengan mengatakan bahawa tindakan itu akan menjadinya tidak produktif.
Pesawat MH17 itu ditembak jatuh pada 17 Julai, 2014, di ruang udara Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal terdiri daripada 17 negara di lima benua berlainanan yang menaiki pesawat malang itu.