Waris MH370 Minta Kerajaan Batal Status Klasifikasi Terhadap Lima Dokumen

Hadi Azmi
2018.07.27
Kuala Lumpur, Malaysia
180727-MY-MH370620.jpg Waris penumpang dari China pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang berkumpul di luar pejabat Perdana Menteri Malaysia Najib Razak di Putrajaya, 18 Februari 2015.
AFP

Ahli keluarga mangsa Penerbangan Malaysia MH370 telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di sebuah mahkamah tinggi di Kuala Lumpur dengan memohon perintah supaya beberapa dokumen mengenai tragedi itu yang sebelum ini diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi [OSA] dibatalkan.

Permohonan itu dibuat pada Selasa oleh lima waris keluarga mangsa MH370 untuk membatalkan lima dokumen penting yang merekodkan saat terakhir penerbangan itu yang kini diletakkan dibawah OSA dan mendakwa usaha kerajaan untuk mengeluarkan laporan penuh pada 30 Julai nanti tidak lengkap tanpa akses kepada dokumen rahsia tersebut.

Pesawat MH370 milik syarikat Penerbangan Malaysia MAS, hilang dari radar pada 8 Mac 2014 dan pencarian pesawat berkenaan terus menjadi misteri walaupun pelbagai usaha secara besar-besaran telah dilakukan untuk mencari pesawat tersebut di kawasan seluas 23,000 batu persegi di perairan Lautan India Selatan.

Bercakap kepada BeritaBenar, peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili lima ahli keluarga mangsa MH370 berkata, tanpa lima dokumen di bawah OSA itu, usaha kerajaan untuk mengeluarkan laporan penuh itu pada Isnin ini boleh dianggap sebagai tidak lengkap dan tidak konklusif.

Menurut Sangeet, pihaknya sudahpun menulis kepada Kementerian Pengangkutan pada 7 Jun lalu, untuk meminta penjelasan berkenaan perkara tersebut dan jika kementerian berhasrat untuk membatalkan status OSA bagi dokumen-dokumen tersebut.

“Tapi kami tidak menerima sebarang jawapan dan atas sebab itu kami memfailkan di mahkamah untuk mencabar keputusan menteri yang bertanggungjawab,” kata Sangeet.

Menurut Sangeet antara permintaan yang dibuat kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke adalah untuk membatalkan klasifikasi OSA bagi kesemua dokumen,  termasuk rakaman dan transkrip perbualan di dalam pesawat MH370.

“Ia termasuklah surat perjanjian untuk mengesan dan menyelamat di antara Singapura, Thailand dan Indonesia, minit mesyuarat yang dilaksanakan diantara agensi, memo dalaman dan serta laporan kejadian operasi mengesan dan menyelamat MH370,” kata Sangeet.

Beliau berkata, mahkamah telah menetapkan 14 Ogos depan sebagai tarikh sebutan kes di mahkamah.

Sumber yang berpengetahuan tentang siasatan MH370 memberitahu  BeritaBenar bahawa rakaman percakapan di antara pusat kawalan penerbangan terdapat dalam senarai dokumen yang disimpan di bawah OSA.

Rakaman itu termasuk komunikasi terakhir dari juruterbang MH370 dengan Pusat Kawalan Penerbangan Kuala Lumpur sebelum pemantauan penerbangan diserahkan kepada Pusat Kawalan Penerbangan Ho Chi Minh di Vietnam.

Dalam permohonan pada Selasa, mereka menamakan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Ketua Setiausaha Kementerian dan juga kerajaan Malaysia sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Kelima-lima pemohon merupakan anak dan ibu bapa kepada penumpang Tan Ah Meng, 46, isterinya Chuang Hsiu Ling @ Cindy Chuang, 45, dan anak sulung mereka Tan Wei Chew, 19.

Deklarasi hak keatas dokumen

Mereka memohon antara lainnya suatu perintah untuk responden mendedahkan dokumen-dokumen tersebut dan deklarasi bahawa mereka mempunyai hak keatas dokumen tersebut.

Loke dalam respon beliau kepada BeritaBenar berkata beliau akan membiarkan mahkamah untuk membuat keputusan samada perlu atau tidak dokumen-dokumen tersebut yang telah diklasifikasikan di bawah OSA boleh dibatalkan.

“Apapun perkara yang relevan untuk dilaporkan akan ada dalam laporan Isnin nanti,” kata Loke.

Menteri itu sebelum ini memberitahu media bahawa laporan yang akan dikeluarkan nanti akan mengandungi segala elemen dalam kes MH370.

“Saya jamin laporan penuh yang akan dikeluarkan nanti akan diberikan secara menyeluruh. Tidak akan ada sebarang ubahsuai atau apa-apa perkara terselindung,” kata Menteri Pengangkutan dari kerajaan Pakatan Harapan itu.

Calvin Shim, suami kepada mangsa MH370, pramugari Tan Ser Kuin ketika dihubungi BeritaBenar berkata dokumen rahsia itu mengundang keraguan tentang laporan penuh yang akan dikeluarkan oleh kementerian.

Dia walaubagaimanapun percaya, impak dari dokumen tersebut tidaklah begitu besar.

“Kita sudah bersetuju untuk menunggu laporan penuh nanti , jadi kita akan ambil tindakan dari situ,” kata Shim.

Shim turut berkata bahawa kementerian pengangkutan sudahpun menyatakan komitmen mereka untuk merungkai misteri kehilangan pesawat tersebut dalam mesyuarat di antara ahli keluarga dan juga kementerian pada 6 April lepas.

Keputusan untuk mengeluarkan laporan penuh itu dibuat setelah usaha pencarian yang dijalankan oleh syarikat Ocean Infinity yang berpengkalan di Amerika Syarikat ditamatkan pada 27 Mac kerana gagal di dalam usahanya untuk mencari pesawat tersebut.

Syarikat itu yang menandatangani kontrak “no cure no fee”(syarat tanpa bayaran sekiranya tiada sebarang keputusan) dalam tempoh 90 hari dengan kerajaan Malaysia untuk mengenalpasti kedudukan serpihan kapal terbang ataupun menemui rakaman suara dari kokpit dan juga data rakaman penerbangan.

Pesawat penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan krew hilang dari radar dalam perjalanan ke Beijing, China.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.