Penjawat Awam Dan Media Malaysia Tolak Cadangan Peguam Negara
2016.02.09

Peguam Negara Malaysia Apandi Ali yang mencadangkan untuk meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dengan mengenakan hukuman lebih berat iaitu penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan mendapat bantahan ramai termasuk penjawat awam dan media di negara itu.
Timbalan Presiden 1 Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS),Zainal Ismail, mahu Apandi melupakan hasratnya itu dengan menegaskan pindaan tersebut tidak akan memberi kesan kepada usaha untuk menghalang seseorang individu membocorkan rahsia negara.
“Berhenti menghukum penjawat awam. Yang paling penting adalah mengadakan perbincangan dan rundingan dengan CUEPACS dalam menyelesaikan masalah bagaimana perkara ini (pembocoran maklumat negara) dapat dibendung di kalangan penjawat-penjawat awam.
“CUEPACS juga berpendapat, setegas mana sesuatu undang-undang ia tidak akan dapat menghalang seseorang itu membocorkan rahsia kerajaan…,” katanya yang mewakili 1.6 juta kakitangan awam di Malaysia semasa dihubungi BeritaBenar pada Selasa.
Pada Sabtu lalu, dalam temu bual eksklusif dengan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, di Putrajaya, Apandi berkata, Malaysia sedang menimbang untuk meminda Akta Rahsia Rasmi itu dengan membayangkan kemungkinan akan mengenakan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan dengan rotan terhadap pihak yang didapati bersalah membocorkan rahsia negara atau melaporkan berita mengenainya.
"Di negara-negara tertentu, membocorkan rahsia rasmi adalah kesalahan yang sangat serius. Di China, misalnya, perbuatan itu boleh membawa hukuman mati. Cadangan kajian semula mengenai hukuman OSA di Malaysia adalah kerana ia melibatkan keselamatan negara, dan pembocoran rahsia rasmi yang boleh menjatuhkan kerajaan,” kata Apandi seperti yang dilaporkan oleh akhbar berkenaan.
‘Tidak adil’
Sementara itu seorang penjawat awam yang ditemui BeritaBenar berkata, cadangan Peguam Negara itu mungkin satu langkah pencegahan tetapi masalah yang perlu diberi perhatian adalah pembocoran rahsia bukannya hukuman yang lebih berat.
“Memang ada banyak undang-undang tapi penguatkuasaan kurang. Lihatlah pada akar permasalahan dalam mengelakkan pembocoran (rahsia), bukannya meminda undang-undang, ini tidak adil,” katanya yang enggan dikenali.
Cadangan meminda Akta Rahsia Rasmi itu timbul tidak lama selepas Apandi menutup siasatan terhadap Perdana Menteri Najib Razak dari kesalahan melakukan rasuah membabitkan hampir AS$700 juta yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya, dan skandal kewangan melibatkan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Selain mengumumkan penamatan siasatan peringkat nasional terhadap skandal yang membelenggu Najib sejak enam bulan lalu, Peguam Negara itu turut mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan salah laku kewangan oleh SRC International, sebuah syarikat milik kerajaan yang berkaitan dengan 1MDB.
Pada temubual ekslusif itu Apandi juga berkata, jika OSA dipinda, wartawan yang enggan mendedahkan sumber bagi sesuatu berita berhubung rahsia kerajaan dan negara, juga boleh didakwa.
"Saya tidak bergurau. Jika saya mempunyai 90 peratus bukti, saya akan dakwa wartawan, pengarang, penolong pengarang dan ketua pengarang. Saya serius, bukan main-main. Ada terlalu banyak pembocoran rahsia di Malaysia," tegas beliau.
Apandi juga berpendapat tindakan wartawan yang berpegang kepada etika profesional dan melindungi sumber dengan menolak untuk mendedahkan sumber mereka itu, adalah sama dengan perbuatan bersekongkol serta mengancam dan menggugat keselamatan negara.
‘Sumber dilindungi’
Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Malaysia yang mengulas mengenai cadangan Peguam Negara itu turut membantah dengan menegaskan ia bercanggah dengan etika kewartawanan yang wajib melindungi sumber maklumat yang diperolehi untuk sesuatu laporan berita.
Setiausaha Agung Schave Jerome De Rozario menyifatkan pemindaan yang dicadangkan itu adalah satu kezaliman kerana tugas wartawan adalah untuk melaporkan kebenaran dan bukan sebaliknya dan setiap rakyat Malaysia wajib mengetahui kebenaran yang ada kaitannya dengan agama, bangsa dan negara.
“Ahli-Ahli NUJ seramai 1,300 orang sebulat suara menentang cadangan yang dibuat oleh Peguam Negara dan melihatnya sebagai anti demokratik dan berunsur mengongkong wartawan daripada menjalankan tugas mereka,’’ kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Pengarah National Oversight & Whistleblowers (NOW), Akmal Nasir pula berpendapat merahsiakan urusan kerajaan dan undang-undang Akta Rahsia Rasmi tidak lagi relevan sejajar dengan peredaran zaman dan perkembangan teknologi.
Akmal memberitahu BeritaBenar, undang-undang dan penguatkuasaan sepatutnya menumpukan kepada usaha untuk mengangkat tatakelola yang baik, keterbukaan, ketelusan dan integriti dalam pentadbiran kerajaan.
“Masalah pembocoran maklumat akan terhenti apabila penyelewengan tidak berlaku kerana tiada keperluan untuk pemberi maklumat mengambil risiko membuat pendedahan salah laku apabila siasatan dijalankan dan tindakan yang tegas diambil terhadap mereka yang pecah amanah dan salah guna kuasa dilakukan,’’ katanya.
Sambil menambah, hukuman yang lebih berat sepatutnya dikenakan terhadap mereka yang pecah amanah, pesalah rasuah, mahupun yang salah guna kuasa, manakala pemberi maklumat wajar dilindungi.
Mohamed Haniff Khatri Abdulla, seorang peguam berpengalaman di Malaysia semasa ditemui BeritaBenar berpendapat pindaan itu mengarut serta menyifatkan tindakan Apandi itu tidak mengejutkan dengan menambah, “Itulah cara yang terbaik bagi seseorang yang suka mengampu untuk menyembunyikan jenayah yang dilakukan oleh orang atasan.”
‘Beza pendapat’
Pada November tahun lepas, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Razali Ibrahim memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan mengkaji semula cadangan untuk meminda OSA.
Dalam jawapan bertulis itu, beliau dilaporkan berkata bahawa pindaan akta itu bertujuan menegakkan integriti kerajaan.
"Sesetengah dokumen tidak sepatutnya didedahkan kepada umum, terutamanya yang masih dalam perbincangan. Perbuatan membocorkan maklumat sulit akan memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan dan mungkin menimbulkan ancaman kepada keselamatan dan ekonomi negara," beliau dipetik sebagai berkata.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan sesetengah pihak yang cuba mempolitikkan keputusan peguam negara untuk mengkaji semula hukuman OSA.
Beliau berkata keputusan Apandi tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak termasuk pembangkang kerana ia berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak pula berkata, cadangan meminda OSA merupakan bukti bahawa pembocoran maklumat rahsia kerajaan kini semakin serius dan cadangan itu membuktikan kerajaan tegas untuk menangani masalah berkenaan.
"Kita bertanggungjawab menentukan amanah diberikan kepada kita, dan seharusnya disimpan baik-baik kerana perbuatan membocorkan maklumat rahsia kerajaan boleh menjejaskan keselamatan negara," katanya seperti yang dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Isnin.
Lain pula maklum balas daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low yang beranggapan bahawa pemberi maklumat perlu dilindungi.
Low, menteri yang bertanggungjawab menjaga tadbir urus yang baik dan ketelusan berkata, sekiranya maklumat dibocorkan dengan tujuan untuk mendedahkan salah laku, pihak yang membuat pendedahan itu patut diberikan perlindungan kerajaan.
"Terdapat kes di mana mungkin ada penyalahgunaan kuasa. Jadi, jika ada penipuan dan rasuah, kakitangan awam sepatutnya boleh menyampaikan maklumat melalui saluran yang dipercayai, seperti SPRM atau Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
"Pada masa ini, di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, pemberi maklumat tidak boleh mendedahkan maklumat di bawah OSA.
"Oleh itu, kerajaan perlu beri pengecualian: walaupun ia di bawah OSA. Jika maklumat yang bocor berkaitan dengan rasuah, penyalahgunaan dan penipuan, maka OSA perlu membenarkan pemberi maklumat ini dilindungi," Low dipetik sebagai berkata dalam laporan Malaysian Insider pada Isnin.
Low juga tidak bersetuju dengan cadangan Apandi untuk mengenakan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan terhadap pesalah OSA.