PM Malaysia Akan Letak Jawatan – Menteri Kabinet

Muhyiddin Yassin telah memaklumkan para pegawai dalam partinya bahawa beliau berhasrat untuk berundur.
Hadi Azmi & Noah Lee
2021.08.15
Kuala Lumpur
PM Malaysia Akan Letak Jawatan – Menteri Kabinet Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin bercakap pada satu sidang akhbar di Putrajaya, 11 Mac 2020.
[Reuters]

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin dijangka menyerahkan surat peletakan jawatan beliau kepada Yang di-Pertuan Agong pada Isnin, kata seorang menteri Kabinet, selepas parti politik pembangkang menolak tawaran pemimpin itu untuk berdamai sekali gus membantu beliau memperbaiki kedudukan kerajaan pimpinannya yang terumbang-ambing di Parlimen.

Muhyiddin akan ke Istana Negara menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet terakhirnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata Muhyiddin mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) di Kuala Lumpur pada Ahad pagi.

“Beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong esok dan menyerahkan surat peletakan jawatannya. Beliau kata beliau tidak lagi memiliki majoriti. Nantikan pengumuman itu,” kata Redzuan kepada BenarNews ketika dihubungi.

Pada Sabtu, seorang pegawai tinggi kerajaan berkata PM telah membuat keputusan dan akan meletak jawatan.

“Beliau perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk berbuat demikian secara rasmi,” kata pegawai itu, yang meminta identitinya dirahsiakan kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk bercakap dengan wartawan, kepada BenarNews.

Sejak kebelakangan ini, Perdana Menteri berusia 74 tahun itu berdepan desakan bertubi-tubi daripada pembangkang dan beberapa pihak dalam blok gabungan parti pemerintah agar segera berundur.

Beliau telah memimpin kerajaan yang tidak dipilih melalui pilihan raya sejak 15 bulan lepas, iaitu semasa penularan COVID-19 yang telah melumpuhkan ekonomi dan menyebabkan Muhyiddin menasihati Yang di-Pertuan Agong pada Januari lepas untuk mengisytiharkan darurat yang berakhir pada 1 Ogos.

Pengkritiknya mendakwa beliau telah menggunakan proklamasi darurat dan penggantungan sidang parlimen sebagai helah untuk melengah-lengahkan undi percaya kepada kerajaannya seperti yang dituntut pelbagai pihak.

Bagaimanapun, lebih banyak ketidaktentuan politik dijangka berlaku jika Yang di-Pertuan Agong menerima peletakan jawatan Muhyiddin kerana pelbagai pihak dan parti politik dilihat bersungguh-sungguh melobi untuk mendapatkan kuasa serta cuba membentuk gabungan meskipun negara sedang berdepan gelombang peningkatan kes-kes koronavirus terburuk pernah dialami, menurut beberapa laporan.

Juga masih tidak begitu jelas sama ada terdapat seorang Ahli Parlimen atau sebuah parti politik yang memiliki kerusi mencukupi bagi memperoleh majoriti di Parlimen, seperti dinyatakan oleh Muhyiddin dalam satu ucapan yang disiarkan secara langsung pada Jumaat.

Menerusi ucapan itu, beliau mengaku memerlukan sokongan pembangkang untuk membolehkan kerajaan pimpinannya terus memerintah.

“Pilihan saya yang paling mudah ialah meletakkan jawatan. Jika saya membuat pilihan ini, tugas saya selesai dan terpulanglah kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk memilih seorang perdana menteri yang baharu,” kata Muhyiddin ketika berucap pada Jumaat.

“Bagaimanapun, sehingga kini, tiada Ahli Parlimen yang boleh membuktikan bahawa beliau memiliki majoriti bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik seorang perdana menteri yang baharu.”

Mohd Redzuan, seorang menteri Kabinet, telah memberitahu portal berita bebas Malaysiakini bahawa Muhyiddin sudah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan kerajaan pimpinannya namun gagal.

“Meletakkan jawatan adalah pilihan terakhir beliau dan ia merupakan tindakan yang tepat serta bermaruah berdasarkan Perlembagaan. Selepas ini terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada menerima peletakan jawatan itu atau sebaliknya,” kata Mohd Redzuan.

Tawaran damai

Muhyiddin berucap kepada rakyat sehari selepas kerajaan pimpinannya menetapkan 7 September sebagai tarikh menjalankan undi percaya di Parlimen meskipun Yang di-Pertuan Agong telah mendesak beliau agar mempercepatkan undi itu pada 16 Ogos.

Dalam ucapannya pada Jumaat malam, Muhyiddin telah menawarkan untuk mengadakan kerjasama politik kepada pembangkang dengan harapan lawannya akan bersetuju membenarkan beliau terus memimpin negara sehingga pilihan raya berlangsung pada selewat-lewatnya Julai 2022.

Muhyiddin berkata beliau memerlukan sokongan bipartisan bagi membolehkann kerajaan sedia ada berfungsi untuk menguruskan krisis kesihatan dan ekonomi yang berlaku akibat pandemik.

Sebagai balasan, Muhyiddin berkata beliau sedia menawarkan beberapa insentif kepada parti terbabit termasuk melaksanakan pembaharuan politik yang dituntut oleh pembangkang seperti mengehadkan tempoh perdana menteri memegang jawatan dan membenarkan golongan berusia 18 tahun mengundi.

Bagaimanapun, pembangkang menolak tawaran yang dikemukakan oleh Perdana Menteri itu. Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan beberapa tokoh veteran politik menyifatkan tindakan Muhyiddin itu sebagai satu pengakuan “bahawa beliau sudah kehilangan sokongan majoriti.”

Apa yang akan berlaku seterusnya?

Jika Yang di-Pertuan Agong menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin, maka terpulang kepada baginda untuk menentukan apa yang akan berlaku seterusnya, kata Awang Azman Awang Pawi, seorang profesor dalam bidang sains politik dari Universiti Malaya.

Pada Mac 2020, Seri Paduka Baginda telah melantik Muyhiddin sebagai ketua negara selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang apabila Perdana Menteri Mahathir Mohamad meletak jawatan.

“Yang di-Pertuan Agong akan membuat keputusan siapa yang bakal menjadi perdana menteri sementara.”

Individu itu boleh jadi sesiapa sahaja yang dirasakan layak oleh Seri Paduka Baginda serta memiliki sokongan majoriti, kata Awang Azman kepada BenarNews. Beliau berkata mungkin juga Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Perdana Menteri ketika ini yang merupakan ahli Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

“Bagaimanapun, presiden parti itu perlu menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri. Beliau memerlukan sokongan presiden partinya dan juga parti politik lain untuk menjadi perdana menteri sementara,” kata Awang Azman.

UMNO merupakan rakan kerjasama dalam blok parti pemerintah namun pada Julai, presiden parti itu berkata 15 Ahli Parlimen UMNO telah menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin.

Selain melantik seorang perdana menteri sementara, Yang di-Pertuan Agong boleh juga melantik seorang perdana menteri baharu – seperti dalam kes Muhyiddin 15 bulan lepas – atau Muhyiddin boleh menasihati baginda untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya awal, demikian menurut agensi berita Reuters.

“Kerajaan gabungan pimpinan beliau telah hilang kredibiliti. Besar kemungkinan Muhyiddin akan meletak jawatan namun masih tidak jelas siapa yang akan menggantikan beliau dan bila,” kata Bridget Welsh, seorang penganalisis politik di Universiti Nottingham-Malaysia kepada Associated Press.

Parlimen Malaysia mempunyai 222 kerusi dengan dua daripadanya kosong selepas kematian Ahli Parlimen bagi kawasan terbabit. Hanya 112 kerusi diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah dan membentuk kerajaan baharu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.