PKP Penuh Bermula, Putrajaya Umum Bantuan Tambahan
2021.06.01
Kuala Lumpur

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjurus kepada penutupan penuh selama dua minggu di Malaysia telah bermula pada Selasa, dengan Putrajaya mengumumkan pakej bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) berjumlah RM40 billion (AS$10 billion) untuk menyerap kesan keatas ekonomi susulan penutupan hampir keseluruhan sektor perniagaan.
Pengumuman pakej bantuan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan rangsangan ekonomi mencecah RM340 bilion (AS$82 bilion) dengan pakar ekonomi mengingatkan rakyat untuk bersikap realistik dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan memandangkan kemampuan fiskal yang sangat terhad.
“Sepertimana yang dijanjikan, saya ingin mengumumkan program bantuan PEMERKASA Tambahan atau PEMERKASA Plus sebagai inisiatif terbaharu Kerajaan untuk membantu meredakan cabaran yang dihadapi, terutamanya ekoran pelaksanaan PKP pada masa ini.
“Nilai keseluruhan program PEMERKASA Plus adalah berjumlah RM40 bilion, di mana suntikan langsung fiskal Kerajaan sebanyak RM5 bilion,” kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan turut berterus-terang mengatakan bahawa kerajaan mempunyai ruang fiskal yang amat terhad untuk berbelanja pada masa ini.
Pengumuman khas yang dibuatnya pada Isnin itu turut dilaksanakan berlandaskan tiga matlamat utama iaitu Mempertingkatkan Kapasiti Kesihatan Awam; Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat; dan Menyokong Kelangsungan Perniagaan.
“Semenjak COVID-19 melanda negara, Kerajaan telahpun melaksanakan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM340 bilion yang telah memanfaatkan lebih 20 juta ahli isi rumah serta lebih dari 2 juta perniagaan dengan suntikan ekonomi melebihi RM200 bilion.
“Justeru, terdapat lebih dari RM100 bilion lagi daripada nilai pakej rangsangan untuk disalurkan sepanjang tahun ini, dan sebagai tambahan, pakej tersebut dilengkapi oleh inisiatif Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion,” kata Muhyiddin dalam pengumuman tersebut.
Putrajaya kata Perdana Menteri akan membelanjakan RM1 bilion untuk meningkatkan keupayaan kesihatan awam, dengan RM450 juta dibelanjakan untuk menambah katil pesakit dan kapasiti ICU untuk pesakit COVID-19 di hospital awam, universiti, dan medan.
Sebanyak RM550 juta akan dibelanjakan untuk keperluan COVID-19 membabitkan beberapa agensi, termasuk antara lain menjalankan pusat kuarantin, tenaga kerja tambahan, dan ubat-ubatan.
Muhyiddin berkata, kerajaan juga bersetuju memberikan moratorium automatik selama tiga bulan kepada B40 yang kehilangan pekerjaan dan PKS yang tidak dibenar beroperasi sepanjang tempoh PKP.
“Oleh itu, mereka diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama 3 bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh 6 bulan,” katanya.
Muhyiddin berkata inisiatif ini akan dilaksanakan segera pada bulan Jun yang dijangka memanfaatkan lebih lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.
Derma gaji
Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kesemua Menteri Kabinet dan Timbalan Menteri akan menderma kesemua gaji mereka selama tiga bulan bermula Jun kepada Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.
Susulan dari itu pada Selasa, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali turut mengumumkan bahawa atas solidariti bersama, penjawat awam akan turut menyumbang kepada akaun tersebut melalui pemotongan gaji.
Negara dijangkakan akan menerima RM30 juta dari pemotongan gaji tersebut yang bermula dengan RM10 hingga 50 peratus dari gaji bergantung kepada jawatan mereka.
Dalam pada itu, pakar ekonomi dan professor dari Universiti Malaya, Nazari Ismail mengingatkan rakyat supaya bersikap realistik dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan memandangkan kemampuan fiskal yang sangat terhad.
“Ruang fiskal sangat terhad kecuali jika kerajaan tambah hutang lagi, tetapi jika hutang ditambah, dalam jangka panjang rakyat akan turut susah.
“Jadi rakyat perlu sedar yang kerajaan tidak boleh menyelesaikan semua masalah, dan mereka juga perlu bersikap realistik dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan,” katanya kepada BenarNews.
Kritikan
Pengumuman Muhyiddin itu bukan sahaja mengundang kritikan dari pihak pembangkang, malahan turut dikritik oleh rakan dalam parti komponen kerajaan dari parti UMNO.
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan pada Selasa menyifatkan pakej yang diumumkan oleh kerajaan adalah tidak memadai berbanding kerugian yang dijangka dialami Malaysia.
"Kerajaan Perikatan Nasional ini sepatutnya lebih berani berbelanja untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dan seterusnya menyelamatkan negara dari kancah kemelesetan.
"Suntikan tunai RM5 bilion sahaja langsung tidak memadai apabila PKP 3.0 dijangka mendatangkan kerugian RM2.4 bilion sehari, serupa PKP 1.0 dahulu,” ulas pimpinan PH dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, pimpinan PH menggariskan lima perkara yang perlu digerakkan antaranya adalah meningkatkan bantuan kebajikan bulanan ke RM1,000 termasuk bagi yang tidak bekerja untuk tempoh 7 bulan ke depan sehingga lengkapnya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menjelang 31 Disember 2021 dan perlanjutan moratorium bayaran pinjaman bank secara automatik, tanpa melibatkan kelompok T20 (kumpulan berpendapatan tinggi).
Kilang arak henti operasi
Pada hari pertama pelaksanaan PKP 3.0 menyaksikan Malaysia mengarahkan semua kilang minuman keras untuk menutup operasi serta-sermta sepanjang tempoh sekatan pergerakan fasa pertama.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media pada hari pertama PKP dilaksanakan mengumumkan Majlis Keselamatan Negara telah membuat keputusan itu kebenaran beroperasi hanya diberikan kepada kilang-kilang yang mengeluarkan makanan dan minuman asas dan ini tidak termasuk minuman keras.
“Kilang minuman keras tidak termasuk dalam kategori keperluan asas. Sehubungan itu, MKN hari ini bersetuju supaya semua kilang minuman keras di seluruh negara ditutup serta-merta," katanya.
Pengumuman itu dibuat berikutan persoalan yang ditimbulkan oleh Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki berhubung surat kebenaran beroperasi dalam tempoh PKP 3.0 yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kepada sebuah kilang di Selangor, yang tular di media sosial.
Malaysia pada Selasa mencatatkan 7,105 jangkitan baharu dan 71 kematian menjadikan jumlah kes COVID-19 sehingga kini kepada 579,462 dan kematian kepada 2,867.
Malaysia telah mengatasi negara India berdasarkan jangkitan baharu koronavirus untuk setiap satu juga penduduk bagi tempoh satu minggu, berdasarkan data dari laman statistik Our World In Data, seperti dilaporkan oleh The Washington Post.