Malaysia Isytihar Perintah Kawalan Pergerakan 14 Hari Bendung Penularan Covid
2020.03.16
Kuala Lumpur, Malaysia

Perdana Menteri Malaysia pada Isnin telah mengisytiharkan yang negara itu berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula 18 Mac, bagi membendung penularan virus Covid-19 yang majoriti kesnya dikesan mempunyai hubungan dengan majlis keagamaan di sebuah masjid di ibunegara Kuala Lumpur pada akhir Februari lepas.
Muhyiddin Yassin membuat pengisytiharan itu, yang difahamkan adalah pertama kalinya bagi Malaysia, secara langsung disiarkan di kesemua stesen televisyen termasuk di laman-laman media sosial pada kira-kira pukul 10 malam.
Setakat ini, seramai 553 kes positif telah dikesan di seluruh negara dengan 338 daripadanya adalah individu yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur yang dianggarkan dihadiri lebih 16,000 peserta termasuk dari pelbagai negara, demikian menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Untuk itu, Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara. Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (APPPB) dan Akta Polis 1967," kata Muhyiddin, yang membuat pengumuman tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara mengenai Covid-19.
Dengan peningkatan jumlah yang mendadak itu sekaligus menjadikan Malaysia negara teratas dalam jangkitan kes virus Covid-19 di Asia Tenggara diikuti Singapura yang menurut Kementerian Kesihatan negara itu sebanyak 243 kes direkodkan.
KKM pada Isnin berkata Malaysia telah mencatatkan 125 kes baharu yang sekaligus menjadikan jumlah keseluruhannya 553 kes dengan 12 pesakit sedang di rawat di Unit Rawatan Rapi.
“Saya merayu kepada semua agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini. Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga, masyarakat dan negara kita,” kata Muhyiddin.
Di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, seorang menteri mempunyai kuasa untuk menetapkan langkah-langkah bagi mengawal atau mencegah penyakit berjangkit daripada merebak di sesuatu kawasan, dan sesiapa yang tidak mematuhi perintah berkenaan melakukan satu kesalahan di sisi undang-undang yang boleh dihukum penjara maksima dua tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya boleh dihukum dengan penjara maksima lima tahun serta boleh didenda.
Muhyiddin berkata keutamaan Kerajaan pada masa ini adalah untuk mencegah penularan baharu wabak yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat dan melalui itu satu tindakan drastik perlu diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin.
“Tindakan drastik diambil segera untuk menyekat penularan wabak dan mengehadkan pergerakan orang ramai bagi mengelakkan lebih ramai rakyat dijangkiti sehingga boleh meragut nyawa,” katanya.
Perdana Menteri semasa pengumuman tersebut turut menyenaraikan enam arahan dalam perintah berkenaan iaitu larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya; sekatan semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara dan sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.
“penutupan taska, sekolah, institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.
“penutupan premis kerajaan, swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan,” demikian kata Muhyiddin.
Menyedari tindakan diambil kerajaan menimbulkan kesulitan kepada kehidupan seharian rakyat, Perdana Menteri itu berkata, ia terpaksa diambil kerajaan dan ianya tidak boleh ditangguh lagi kerana boleh membawa kepada keadaan lebih meruncing dan kehilangan nyawa.
Peningkatan kes positif libat program tabligh
KKM juga memaklumkan yang pihak berkuasa kesihatan itu telah berjaya mengesan seramai 8,786 peserta kumpulan tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling dengan 3,439 daripadanya telah menjalani saringan.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah, kementerian itu juga sedang giat mengesan dengan membuat hebahan melalui media cetak dan elektronik, media sosial, serta khidmat pesanan ringkas yang disebarkan syarikat telekomunikasi.
Dalaam pada itu, pimpinan Jemaah Dakwah dan Tabligh Malaysia melalui satu kenyataan media pada Ahad juga telah mengeluarkan arahan kepada semua peserta program berkenaan untuk menghubungi pejabat kesihatan di daerah mereka untuk ujian dan rawatan kesihatan.
"Pucuk pimpinan Jemaah Dakwah dan Tabligh Malaysia, menekankan sekali lagi kepada semua 28 markaz (tempat syabguzari) seluruh negara supaya mematuhi dan mengambil tanggungjawab penuh dalam bekerjasama dengan pihak berkuasa.
“Semua mereka yang menghadiri Jor Qudama’ dan Ulama’ tempoh hari (Seri Petaling) hendaklah segera menghubungi pejabat kesihatan daerah masing-masing, atau CPRC hotline, untuk mendapatkan bimbingan dan rawatan perubatan. Semua aktiviti usaha kita yang boleh menimbulkan kerisauan dan penularan wabak tersebut hendaklah dihentikan serta-merta buat masa ini,” kata kenyataan itu.
Kerajaan minta jangan panik
Sementara itu, semasa membuat pengumuman tersebut Perdana Menteri Muhyiddin turut memberi jaminan yang kerajaan akan memastikan bekalan makanan dan keperluan mencukupi sepanjang tempoh arahan berkuatkuasa.
"Saya harap saudara-saudari dapat bersabar menghadapi dugaan ini. Jangan panik, jangan cemas, dan sentiasalah bertenang. Saya percaya dengan langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh Kerajaan, kita mampu menyekat penularan wabak ini dalam masa yang terdekat."
Pakar Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid semasa dihubungi BeritaBenar untuk mendapatkan ulasan pengumuman Perdana Menteri itu memuji langkah diambil pentadbiran Putrajaya meskipun mengakui akan impak yang bakal dihadapi ekonomi negara.
"Ia adalah langkah yang berani dan harus dipuji. Perintah kawalan mampu mengurangkan risiko penularan… Betul ia akan memberi impak pada ekonomi dalam jangka pendek, kerana aktiviti ekonomi tidak dapat beroperasi seperti normal," kata Afzanizam.
Bagi Pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania, Australia James Chin, beliau turut berkongsi pandangan sama dengan Afzanizam yang keputusan kerajaan itu adalah satu langkah yang betul.
"Langkah Putrajaya ini menunjukkan kepada umum bahawa kerajaan serius dalam menangani penularan wabak Covid-19 selepas berlaku peningkatan sejak beberapa hari lepas.
"Rakyat Malaysia adalah amat konservatif dalam hal berkaitan kesihatan, jadi majoriti akan mematuhi perintah ini. Mereka yang mungkin tidak akan patuh adalah warga asing tanpa izin,” kata Chin.
Farhan Embong, seorang peniaga di Pasar Borong Selayang berkata, pengumuman Perdana Menteri itu kelihatan bagus tetapi realitinya akan menyaksikan peningkatan permintaan produk yang amat besar daripada pengguna.
"Kita akan melihat harga dinaikkan oleh sesetengah pihak dan ini adalah sesuatu yang biasa berlaku, kerana ia berkait dengan permintaan dan bekalan. Pelanggan akan rugi dan berharap tidak akan berlarutan lama," katanya.
Pengusaha sebuah kedai percetakan di Kuala Lumpur, Fazli Saidin pula berpendapat langkah kerajaan itu adalah satu pengorbanan yang perlu dilakukan bagi kebaikan semua pihak.
"Sejujurnya, kami akan merasai impak (perintah kawalan) ini. Tetapi ia adalah pengorbanan yang perlu untuk kebaikan semua pihak. Perniagaan akan mengalami kerugian, kecuali jika kerajaan mahu menampung kerugian kami, tetapi tiada sesiapa pun yang meminta keadaan jadi begini. Ini adalah sebahagian daripada ujian Tuhan ke atas kita semua," katanya.
Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.