Sokongan Masyarakat Melayu Terhadap Perdana Menteri Kekal Tinggi, kata Merdeka Center
2021.04.23
Kuala Lumpur

Sokongan rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kekal tinggi di sebalik kebimbangan mengenai kedudukan ekonomi, menurut tinjauan terbaharu yang dijalankan pada awal April oleh badan kajian tempatan Merdeka Centre seperti dilaporkan pada Jumaat.
Tinjauan itu mendapati populariti Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menunjukkan sedikit peningkatan sebanyak empat peratus kepada 67 peratus, berbanding 63 peratus yang dicatatkan ketika tinjuan yang dijalankan pada akhir Januari lalu.
Menerusi kenyataannya, Merdeka Centre berkata sokongan terhadap Perdana Menteri di kalangan pengundi Melayu kekal kukuh pada kadar 83 peratus berbanding 66 peratus di kalangan kaum India dan 30 peratus di kalangan responden dari masyarakat Cina.
Menurut Merdeka Centre, tinjauan mendapati sejumlah 74 peratus pengundi secara konsisten berpendapat bahawa kerajaan telah membantu rakyat yang memerlukan bantuan dalam tempoh pandemik berbanding dengan 25 peratus yang tidak berpuas hati.
“Tinjauan mendapati pemberian bantuan kewangan kepada isi rumah dan beberapa perniagaan yang terjejas oleh ekonomi, kesukaran yang disebabkan oleh wabak penyakit dan juga kelonggaran yang diberikan untuk mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meningkatkan persepsi masyarakat terhadap kerajaan,” menurut kenyataan tersebut.
Merdeka Centre berkata 70 peratus daripada pengundi menyatakan mereka berpuas hati dengan pendekatan yang diambil oleh kerajaan dalam pengurusan pandemik COVID-19.
"Ini menunjukkan peningkatan di mana sebelum ini mencatatkan 53 peratus yang direkodkan pada Januari 2021 (pada masa ketika jangkitan harian melebihi 4,000 kes)," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, Merdeka Centre mendapati bahawa pandangan masyarakat mengenai arah negara berbeza dengan 41 peratus menyatakan bahawa Malaysia bergerak ke arah yang benar, sementara 46 peratus beranggapan negara menuju ke arah yang salah.
"Pandangan ini menunjukkan perubahan yang ketara sejak Januari 2021, ketika 32 peratus merasakan negara ini menuju ke arah yang benar dan 54 peratus berpandangan Malaysia menuju ke arah yang salah.
"Mereka yang berpandangan bahawa negara menuju ke arah yang benar positif terhadap pentadbiran serta pengiktirafan bahawa kesejahteraan masyarakat dijaga.
"Manakala pengundi yang merasakan negara menuju ke arah yang salah berpendapat kebimbangan mengenai politik kestabilan dan keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan," kata kenyataan tersebut.
Tinjauan itu juga mendapati kebimbangan peribadi adalah masalah utama yang menjadi perhatian pengundi, kedudukan ekonomi juga kekal menjadi perhatian utama iaitu sebanyak 57 peratus diikuti oleh pandemik COVID-19 pada paras 16 peratus manakala kebimbangan mengenai isu politik berada pada tahap terendah di tangga ketiga dengan hanya 2.4 peratus dicatatkan semasa temubual dijalankan.
“Kebimbangan terhadap kedudukan ekonomi berkisar kepada keadaan kewangan peribadi pengundi di mana 57 peratus daripada mereka melaporkan keadaan mereka “lebih teruk” berbanding tahun lalu, sebelum kesan penuh daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Berkenaan dengan pandangan mereka mengenai ekonomi negara, 68 peratus berpendapat bahawa keadaan ekonomi negara adalah negatif berbanding tahun lepas.
Menurut Merdeka Centre, sentimen-sentimen ini amat mempengaruhi persepsi pengundi terhadap bagaimana kerajaan mengendalikan ekonomi.
“Tinjauan mendapati 51 peratus pengundi menyatakan mereka berpuas hati dengan ekonomi yang dilakukan kerajaan pada masa kini sementara 43 peratus tidak berpuas hati.
Selain itu, 56 peratus pengundi merasa puas bahawa pemerintah mempunyai visi yang jelas tentang apa yang diperlukan untuk memulihkan negara sementara 35 peratus tidak berpuas hati.
"Pada pandangan kami, tinjauan yang melibatkan pengundi di Semenanjung Malaysia menunjukkan beberapa tanda optimis setelah pembukaan semula ekonomi seiring dengan permulaan program vaksinasi.
"Ia dilihat dalam sokongan kepada Perdana Menteri yang masih kukuh dan keyakinan dalam menangani wabak Covid-19 serta ekonomi,' demikian menurut Merdeka Centre dalam kenyataannya itu.
Kajian terbaharu oleh pusat berkenan dijalankan bermula 31 Mac hingga 12 April lalu melibatkan 2,111 responden dengan pengundi berdaftar berusia 21 tahun ke atas di seluruh Semenanjung Malaysia dengan menemuramah mereka melalui panggilan talian tetap dan telefon bimbit.
Para responden yang ditemubual terdiri daripada 64 peratus etnik Melayu, 28 peratus Cina, lapan peratus India yang dipilih secara rawak mengikut kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan pilihan raya negeri.
Sokongan hasil bantuan kepada rakyat
Dalam respon segera kepada hasil tinjauan Merdeka Centre itu, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata sokongan rakyat kepada Perdana Menteri kekal tinggi kerana Muhyiddin disifatkan pemimpin yang membela nasib serta keperluan mereka secara berterusan.
Ujarnya, hasil kajian itu juga secara langsung memberi indikasi jelas yang rakyat menolak mereka yang hanya mahu meraih populariti politik untuk kepentingan peribadi.
"Peratusan sokongan adalah tinggi dalam kalangan orang Melayu (83 peratus) manakala bukan Melayu rendah sedikit dan ini adalah indikasi bahawa Perikatan Nasional (PN) perlu mempertingkat usaha menerangkan kepada rakyat bukan Melayu mengenai langkah yang sudah dan akan diambil bagi memastikan kemakmuran negara dikongsi secara saksama dengan semua, tanpa mengira kaum serta agama," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Wan Saiful berkata rakyat adalah hakim terbaik terhadap sesebuah kerajaan dan kini mereka sudah bersuara kerana mahukan pemimpin kompeten dan bersih seperti Muhyiddin yang agendanya hanya prihatin rakyat.
"Rakyat tidak mahu pemimpin rasuah, kleptokrat atau yang kerjanya menuntut jawatan, malah tidak habis-habis membantah kerajaan dan hanya tahu merungut," katanya lagi.
Hasil tinjauan bukan realiti sebenar
Bagaimanapun, penganalisa politik Awang Azman Awang Pawi mempunyai pandangan berbeza dengan menyatakan hasil dapatan tinjauan Merdeka Centre tidak memberi gambaran realiti sebenar.
Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya itu berkata, ini kerana jumlah responden tidaklah terlalu besar manakala sentimen kalangan literasi politik pula sebenarnya lebih kritis termasuk orang Melayu.
“Jika diadakan in depth interview (temubual lebih mendalam) bersemuka misalnya, mungkin akan memberikan jawapan lebih tepat misalnya mengenai status kerajaan PN yang dibentuk susulan Sheraton Move (Langkah Sheraton).
“Sekiranya benar populariti Perdana Menteri berada pada para tinggi sebanyak 83 peratus dalam kalangan kaum Melayu dan 67 peratus di peringkat nasional, maka Pilihan Raya Umum wajar diadakan seawal bulan September depan dengan SOP yang ketat kerana sudah ada jaminan yang Perdana Menteri, Bersatu dan PN mampu menang besar jika PRU diadakan pada waktu terdekat,” ujarnya.
Justeru, Awang Azman berpandangan persoalan mengenai populariti sebenar Perdana Menteri dan kerajaan PN hanya akan terjawab melalui medan pilihan raya umum dan bukan berdasarkan tinjauan umum semata-mata.
Pandangan beliau turut dikongsi oleh seorang lagi penganalisis politik Mohd Azizuddin Mohd Sani.
Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata dapatan oleh Merdeka Centre itu adalah tinjauan umum biasa yang tidak memberi impak yang ketara.
“Ia (tinjauan Merdeka Centre) sekadar memberi gambaran sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri dan pelaksanaan Perintah Darurat memberi kesan yang positif, tetapi tidak kurang pentingnya kita juga ingin tahu pihak yang telah menaja tinjauan ini,” katanya kepada BenarNews.