Perdana Menteri Malaysia Enggan Letak Jawatan, Adakan Undi Percaya Bulan Depan

Muzliza Mustafa & Ray Sherman
2021.08.04
Kuala Lumpur
Perdana Menteri Malaysia Enggan Letak Jawatan, Adakan Undi Percaya Bulan Depan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melambaikan tangan ketika meninggalkan Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah, di Kuala Lumpur, 4 Ogos 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin pada Rabu menolak desakan untuk melepaskan jawatan, sambil mengumumkan yang beliau akan membuktikan masih menguasai sokongan majoriti pada sesi Parlimen bulan depan.

Muhyiddin berkata Yang di-Petuan Agong – yang memanggilnya menghadap – bersetuju dengan cadangannya, namun parti-parti pembangkang menegaskan Perdana Menteri itu mesti segera mengadakan persidangan khas Parlimen atau meletakkan jawatan bersama Jemaah Menterinya.

“Namun, saya juga sedar bahawa kedudukan saya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan. Maka, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen,” katanya dalam perutusan khas ke seluruh negara yang disiarkan secara langsung pada jam 12.30 tengahari.

Parti-parti pembangkang mendesak supaya Perada Menteri segera memanggil persidangan khas parlimen atau meletakkan jawatan berserta dengan Jemaah Menteri beliau.

Sebelum perutusan khasnya, para penggubal undang-undang dilihat memasuki dan meninggalkan kediaman Muhyiddin pada Selasa dan Rabu. Spekulasi terus memuncak apabila ketua-ketua cabang tentera dan polis dilihat memasuki pejabat Perdana Menteri itu pada awal Rabu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah mengutuskan surat kepada Muhyiddin pada lewat Selasa susulan tindakan parti terbesar dalam kerajaan pemerintah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) mendakwa ‘bilangan mencukupi’ para penggubal undang-undangnya telah menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri itu dan pihak istana telah disembah maklum berkenaan perkembangan tersebut.

Muhyiddin memaklumkan bahawa satu undi percaya akan dibentangkan di Parlimen apabila sesi sidang bersambung semula pada 6 September depan.

Seorang penganalisis politik memaklumkan sekiranya undi percaya itu dilaksanakan, ia bakal muncul sebagai pertama kali dalam sejarah Malaysia seorang perdana menteri mengadakan undi percaya di Dewan Rakyat.

Muhyiddin yakin beliau akan menang dalam undian.

“Saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli- Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini… Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit.”

UMNO kekal berpecah

Semasa perutusan khas itu, sembilan menteri kabinet termasuk timbalan perdana menteri dari parti UMNO, Ismail Sabri Yaakob, turut hadir bersama Muhyiddin.

UMNO berpecah, sama ada untuk terus menyokong Muhyiddin, tetapi desakan untuk Perdana Menteri yang tidak dipilih melalui proses pilihan raya itu, semakin memuncak sejak Mac dan April.

Rakyat Malaysia yang kecewa mendakwa perintah darurat yang dilaksanakan atas nasihat Perdana Menteri, telah gagal membendung penularan jangkitan baharu COVID-19.

Sebaliknya, kes-kes baharu telah melonjak lapan kali ganda sejak perintah darurat dikuatkuasakan bermula 12 Januari, dengan negara itu mencatatkan rekod tertinggi 19,819 kes baharu dan 257 kematian berkaitan virus tersebut pada Rabu.

Yang di-Pertuan Agong pada 29 Julai telah menegur kerajaan kerana didakwa mengelirukan Ahli Parlimen berhubung status ordinan-ordinan darurat.

Berikutan itu, lebih 100 Ahli Parlimen mendesak Perdana Menteri tersebut meletak jawatan kerana tidak menghormati institusi diraja dan bertindak di luar ruang lingkup perlembagaan.

Tamparan paling besar berlaku apabila pemimpin UMNO Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa mengumumkan yang sejumlah Ahli Parlimen dari parti itu telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

Semasa perutusan khasnya pada tengahari Selasa, Muhyiddin mendakwa pertikaian mengenai keabsahan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak senang dengan keengganan kerajaannya untuk mencampuri urusan perbicaraan kes-kes rasuah melibatkan mereka di mahkamah.

“Mustahil bagi Muhyiddin”

Para pemimpin pembangkang dan badan pemantau pilihan raya berkata berikutan kekeliruan siapa yang menyokong dan tidak menyokong Muhyiddin di dalam UMNO, Perdana Menteri itu sepatutnya segera memanggil sidang khas Parlimen dan bukannya menunggu sehingga bulan depan.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) berkata penangguhan itu berisiko membawa kepada tawaran-tawaran dan perjanjian pintu belakang – atau lebih buruk, sekiranya jentera negara digunakan untuk kepentingan politik.

“Penangguhan hanya akan memanjangkan lagi ketidakstabilan politik dengan parti-parti politik cuba memancing sokongan daripada para Ahli Parlimen menerusi pelbagai janji untuk diberikan jawatan dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan mahupun jawatan dalam Jemaah Menteri, ataupun dengan menggunakan agensi penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat dan mendakwa mereka yang tidak menyokong kerajaan,” ujar BERSIH dalam satu kenyataan.

Jeniri Amir, fellow kanan Majlis Professor Negara, berkata lebih cepat undi percaya itu dilaksanakan adalah lebih baik.

“Saya berharap selepas ini [undi percaya] kita semua dapat bergerak ke hadapan kerana kita semua telah letih dengan polemik ketidakstabilan politik,” ujarnya kepada BenarNews. “Apa yang penting sekarang adalah memberi fokus kepada usaha mengeluarkan negara ini daripada kemelut krisis kesihatan dan menjaga kebajikan rakyat.”

Ahmad Zahid dan gabungan Pakatan Harapan berkata tidak perlu dipersoalkan lagi yang Muhyiddin telahpun kehilangan sokongan majoriti.

Parlimen Malaysia mempunyai 222 kerusi, dua daripadanya kosong berikutan kematian dua Ahli Parlimen. Muhyiddin memerlukan majoriti mudah - 112 penggubal undang-undang – untuk kekal berkuasa.

Muhyiddin mendakwa parti pemerintah yang diketuainya mendapat 114 sokongan sebelum beberapa Ahli Parlimen UMNO – dengan Ahmad Zahid mendakwa 12, manakala Perdana Menteri pula berkata Yang diPertuan Agung telah memaklumkannya lapan Ahli Parlimen yang telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

“Adalah mustahil bagi Muhyiddin untuk masih mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat selepas penarikan balik sokongan di kalangan Ahli Parlimen UMNO pada Selasa,” kata Pakatan Harapan dalam dalam satu kenyataan pada Rabu yang ditandatangani oleh pemimpin-pemimpin kanan parti pembangkang serta Ahli Parlimen Bebas.

“Kami mendesak supaya Muhyiddin and seluruh Kabinetnya meletakkan jawatan.”

S. Adie Suri di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.