Pedofilia British Dihukum Dera Kanak-kanak Malaysia
2016.06.06
Kuala Lumpur

Rakyat Britain yang mendera secara seksual bayi dan kanak-kanak Malaysia semasa bersukarela di dalam komuniti miskin Kristian di Kuala Lumpur, selama lebih lapan tahun, pada Isnin dikenakan hukuman di London selama 22 tahun serentak dengan penjara seumur hidup, kata laporan.
Hakim Peter Rook dari Mahkamah Jenayah Pusat memerintah Richard Huckle menjalani hukuman sekurang-kurangnya 25 tahun, selepas lelaki itu, mengaku bersalah terhadap 71 pertuduhan penderaan seksual kanak-kanak melibatkan mangsa berusia antara 6 bulan dan 12 tahun, Agence France-Presse (AFP) melaporkan.
Huckle, 30, dipercayai telah mendera sehingga 200 kanak-kanak, mengaku bersalah terhadap 71 pertuduhan mendera 23 kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki dari tahun 2006-2014, kata AFP.
Hukuman tehadap Huckle terlalu ringan, kata Malek Ahmad, seorang pegawai badan bukan kerajaan [NGO] Malaysia, Yayasan Amir.
"Saya berasa ia tidak setimpal dengan apa yang telah dilakukan lelaki itu terhadap kanak-kanak miskin," katanya kepada BeritaBenar.
"Tetapi ini adalah satu pengajaran kepada semua badan bukan kerajaan dan agensi-agensi lain yang berkaitan di Malaysia. Kita perlu segera membuat beberapa garis panduan bagi pekerja sosial yang mengendali kanak-kanak. "
Huckle mengambil kesempatan daripada kekurangan perlindungan yang sepatutnya di Malaysia, dan akibatnya "23 kanak-kanak di Malaysia dan Kemboja berada dalam ketakutan untuk selamanya," kata Malek.
Adakah Huckle melakukan jenayah lain?
Menurut seorang pegawai Malaysia, sebahagian besar daripada 22 mangsa Huckle adalah dari masyarakat miskin Kristian di Kuala Lumpur, di mana beliau bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris dan pekerja kebajikan Kristian, dan mangsa ke-23 adalah kanak-kanak Kemboja.
Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh berkata, pegawai polis telah mengenal pasti dua lokasi di ibu negara Malaysia yang sering dikunjungi Huckle semasa berada di negara itu antara 2005 hingga 2014.
Huckle ditahan polis British di Lapangan Terbang Gatwick London pada Disember 2014, selepas beliau pulang dari Asia Tenggara untuk meraikan Krismas bersama keluarganya.
"Kenyataan daripada penduduk tempatan di kawasan itu, telah diambil. Kami juga sedang berusaha mengesan mereka yang mengenali Huckle dan mempunyai maklumat mengenai aktiviti lelaki berkenaan dalam mencari mangsa-mangsanya, " kata Amar memberitahu BeritaBenar.
Polis juga sedang menyiasat sama ada Huckle turut melakukan jenayah lain terhadap kanak-kanak di bawah umur di negeri-negeri lain yang beliau lawati semasa berada di Malaysia, termasuk Negeri Sembilan dan Perak, kata Amar.
Ong Chin Lan, Penolong Ketua Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Polis Diraja Malaysia yang menyiasat mengenai jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan wanita, pada Jumaat memberitahu agensi Berita Nasional Malaysia [Bernama] bahawa polis telah meminta maklumat mengenai Huckle dari Agensi Jenayah Kebangsaan Britain (NCA).
Setakat ini mangsa belum dikenal pasti dan pihak NCA cuma memaklumkan mengenai kejadian, kira-kira sebulan lepas,” kata beliau sambil menambah bahawa tiada maklumat mengenai mangsa telah dikeluarkan kerana kes berkenaan tidak pernah dibicarakan di Malaysia.
“Kita telah meminta maklumat berulang kali dan akan terus menekan mereka untuk memberi maklumat lanjut bagi tindakan susulan," katanya.
Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat minggu lalu telah menubuhkan talian terus bagi rakyat Malaysia melaporkan maklumat mengenai Huckle.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pula menggesa supaya tindakan segera untuk meluluskan undang-undang negara yang lebih mantap khusus dalam melindungi kanak-kanak daripada segala bentuk keganasan seksual, menurut Bernama.
'Amat menyesal'
Hukuman terhadap Huckle sepatutnya dibuat pada Jumaat tetapi hakim di Mahkamah Old Bailey London menangguhkannya pada Isnin untuk mempertimbangkan faktor-faktor mitigasi yang dikemukakan oleh peguamnya.
Pada hari tersebut mereka membaca kenyataan Huckle di mana beliau mengaku melakukan jenayah terhadap mangsa di kalangan masyarakat Malaysia.
"Saya berharap untuk melarikan diri dari kehidupan duniawi dan bersendiri di UK, tetapi sangat terharu dengan perhatian yang saya terima di Malaysia. Saya benar-benar bersalah mengadili perasaan mesra yang saya terima daripada kanak-kanak ini. Rasa rendah diri dan kurang keyakinan saya dengan wanita bukan alasan bagi saya untuk menggunakan kanak-kanak sebagai jalan keluar, " kata kenyataan Huckle yang dibacakan, menurut laporan berita.
"Saya amat kesal dan menyesal dengan apa yang telah berlaku dan akan melakukan semua yang saya boleh secara proaktif ke arah memulihkan diri saya ini," tambah Huckle.
Penyiasat British menunjukkan satu buku panduan 60-halaman yang ditulis oleh Huckle yang berjudul "Pedofilia dan Kemiskinan: Panduan Penggemar Kanak-kanak". Buku panduan itu menjelaskan bagaimana memilih kanak-kanak dan mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa.
Penyiasat mendapati dokumen sulit di dalam komputer riba Huckle dan berkata bahawa dia telah merancang untuk menyiarkannya dalam talian.
Komputer riba itu juga mengandungi permainan yang beliau reka sendiri, di mana beliau memberi dirinya mata bagi 15 tahap berbeza setiap kali beliau merosakkan akhlak kanak-kanak.
Pihak berkuasa Australia menghubungi NCA selepas mereka mengesan seorang lelaki menjalankan sebuah laman web pedofilia dimana Huckle telah menyiarkan bahannya di situ. Selepas penangkapan Huckle, penyiasat menemui lebih daripada 20,000 imej lucah kanak-kanak lelaki dan perempuan yang diambil semasa lawatan beliau ke negara-negara Asia Tenggara semasa bekerja sebagai seorang guru Bahasa Inggeris dan pekerja kebajikan Kristian, kata laporan berita daripada Britain.