Mahkamah Tolak Permohonan Kerajaan Ketepi Saman Kewarganegaraan Anak
2021.05.06
Kuala Lumpur

KEMASKINI pada 10.00 pagi waktu tempatan ETS - 2021-05-07
Mahkamah Malaysia pada Khamis membuat keputusan untuk mendengar kes saman oleh sekumpulan enam wanita tempatan berhubung dakwaan diskriminasi terhadap status kerakyataan anak yang dilahirkan hasil perkahwinan dengan lelaki asing di luar negara, dengan hakim menolak permohonan kerajaan untuk mengenepikan saman tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Akhtar Tahir dalam penghakimannya berkata kerajaan perlu memberikan penjelasan mengapa anak hasil perkahwinan lelaki Malaysia dengan wanita asing boleh diberikan kerakyatan tetapi layanan sama tidak terpakai untuk anak wanita Malaysia.
Akhtar mengetepikan permohonan yang difailkan Jabatan Peguam Negara yang memohon membatalkan tuntutan tersebut dan turut menolak hujah kerajaan bahawa kes berkenaan adalah satu kes yang remeh, sebaliknya meminta Putrajaya menjelaskan mengenai wujudnya diskriminasi dalam undang-undang kewarganegaraan Malaysia melalui saman tersebut.
“Dalam kes ini, wujud diskriminasi yang jelas terhadap ibu dan bapa anak berkenaan, namun tidak ada justifikasi untuk diskriminasi itu. Ketiadaan justifikasi tersebut semakin ketara jika kita lihat peruntukan lain dalam perkara berhubung kewarganegaraan (dalam Perlembagaan Persekutuan).
“Kes ini bukan sesuatu yang remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah. Justeru, saya menolak permohonan pembatalan ini,” kata Akhtar seperti dilaporkan agensi berita nasional Malaysia, Bernama pada Khamis.
Kumpulan enam wanita tempatan bersama Presiden Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers), Suriani Kempe telah memfailkan tindakan undang-undang di mahkamah memohon satu deklarasi bahawa wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing turut berhak mendapatkan kerakyatan secara automatik bagi anak mereka yang dilahirkan di luar negara, pada 18 Disember tahun lepas.
Empat daripada enam wanita tersebut adalah Myra Eliza Mohd Danil, Adlyn Adam Teoh, Choong Wai Li dan Ng Mei Mei, manakala dua lagi memilih untuk nama mereka tidak disiarkan.
Saman pemula difailkan mereka yang mahukan satu deklarasi bahawa peruntukan Perkara 14(1)(b) dalam Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan Jadual Kedua, Bahagian II, Seksyen 1(b) dan 1(c) adalah bersifat diskriminasi dan melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan mengenai kesamarataan.
Mereka menuntut enam perintah mahkamah khusus termasuk perisytiharan pada beberapa Seksyen dalam Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan ibu-ibu Malaysia sebagai syarat bagi anak-anak yang lahir di luar negara diberi kewarganegaraan Malaysia secara automatik.
Kumpulan itu juga memohon perintah mahkamah supaya semua agensi kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, dan pejabat kedutaan Malaysia mengeluarkan dokumen yang berkaitan kewarganegaraan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia bersama pasangan warga asing.
Pada 27 April lepas, kerajaan telah memfailkan permohonan membatalkan saman kumpulan wanita tempatan itu dengan memberi alasan saman yang difailkan secara saman pemula adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Akhtar sebaliknya dalam penghakiman pada Khamis mahu kerajaan menjelaskan mengapa anak hasil perkahwinan lelaki Malaysia dengan wanita asing boleh diberikan kerakyatan tetapi layanan sama tidak terpakai untuk anak wanita Malaysia.
Berdasarkan peruntukan, lelaki Malaysia yang berkahwin secara sah dengan pasangan bukan warganegara di luar negara layak mendapatkan kewarganegaraan Malaysia bagi anak mereka secara automatik, tetapi perlembagaan itu tidak menyebut mengenai hak wanita berhubung keistimewaan yang sama bagi anak mereka hasil perkahwinan dengan lelaki warga asing di luar Malaysia.
Justifikasi
Sementara itu Peguam Joshua Andran yang mewakili kumpulan itu memberitahu Hakim mendapati bahawa kes dibawa plaintif mengutarakan isu yang penting dan tidak bersifat 'frivolous' seperti didakwa kerajaan.
"Hakim memutuskan bahawa kerajaan mesti memberikan justifikasi atau sebab mengapa adanya diskriminasi seperti itu, dan menetapkan 30 Jun 2021 sebagai tarikh pendengaran untuk kesemua pihak berhujah mengenai merit kes dibawa plaintif," kata Andran kepada BenarNews sambil menambah isu diskriminasi itu telah menyebabkan sejumlah besar kanak-kanak dinafikan hak kewarganegaraan Malaysia.
Peguam itu juga memaklumkan yang Hakim Akhtar memberi masa selama tiga minggu untuk menyediakan justifikasi tersebut yang perlu dibuat melalui afidavit dengan disokong fakta semasa perbicaraan, dan bukan hujah yang bersifat khayalan.
Untuk rekod, kumpulan plaintif memfailkan cabaran mereka di mahkamah sehari selepas seorang Timbalan Menteri mempertahankan polisi kerajaan berhubung masalah tersebut dengan menyatakan keputusan kerajaan itu dibuat demi keselamatan negara.
Pada 3 Disember lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Ismail Mohamed Said semasa memberitahu Dewan Rakyat bahawa anak kepada wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak semestinya mendapat kewarganegaraan secara automatik, walaupun perkahwinan mereka teratur dan diiktiraf.
Beliau berkata demikian ketika menjawab satu soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail, yang mempersoalkan mengapa diskriminasi masih berlaku terhadap wanita Malaysia di dalam hal memberikan kewarganegaraan anak.
Kes mahkamah dinantikan
Sementara itu, Family Frontiers berkata isu berkenaan hak kewarganegaraan melibatkan anak wanita Malaysia hasil perkahwinan dengan lelaki asing telah memberikan kesan mendalam kepada wanita tempatan yang merupakan separuh daripada populasi negara.
“Sudah tiba masanya Malaysia mempunyai undang-undang yang menyentuh keperluan moden dalam era globalisasi.. dan Family Frontiers amat gembira dengan keputusan mahkamah pada hari ini serta sangat teruja yang suara wanita tempatan dalam isu ini akan didengar oleh mahkamah. Kami tidak sabar menunggu tibanya hari bagi mahkamah untuk mendengar merit dalam kes yang penting ini.
"Mengiktiraf dan membuat pembetulan terhadap diskriminasi dalam undang-undang kerakyatan Malaysia adalah satu langkah ke arah yang betul, dalam mengalu-alukan kepulangan wanita Malaysia ke tanahair tanpa perlu berasa risau akan nasib anak mereka yang terpaksa menghadapi kerenah birokrasi dan pelanggaran hak, termasuk risiko keganasan berasaskan jantina dan ketanpa-negaraan (statelessness)," kata Suriani dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Myra Eliza, 30, salah seorang plaintif, menyuarakan kegembiraannya terhadap keputusan hakim menolak permohonan kerajaan untuk mengenepikan kes mereka.
"Ia adalah hari yang amat menggembirakan buat kami. Sejujurnya, saya tidak menjangkakan keputusan ini.
"Saya terus menitiskan air mata apabila mendengar keputusan hakim,. Tangisan gembira dan juga pada masa yang sama sedih mengenangkan apa yang telah dilalui anak saya," kata beliau kepada BenarNews.
Myra berkata beliau mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan dengan suaminya warga Zambia. Mereka bertemu ketika belajar di universiti di Malaysia, sebelum berkahwin di dalam negara.
Anak pertama mereka adalah perempuan dan tidak mendapat kerakyatan Malaysia kerana dilahirkan di Zambia pada 2014, apabila pasangan itu ke sana untuk mengadakan majlis perkahwinan mereka di sebelah suami. Manakala anak kedua mereka adalah lelaki dan mendapat kerakyatan Malaysia kerana dilahirkan di dalam negara.
"Anak perempuan saya berhak menjadi rakyat Malaysia. Dia kini dianggap separuh Malaysia hanya kerana dilahirkan di luar negara.
"Saya tahu kadang kala anak perempuan saya berasa sedih kerana dia tinggal dalam satu rumah dengan adik lelakinya tetapi dia tidak dapat menjadi rakyat Malaysia. Kami juga penat dilayan seperti orang asing," kata Myra.
Beliau menambah bahawa status anak perempuannya itu telah menyebabkan mereka berdepan pelbagai kesukaran, termasuk dalam menguruskan persekolahannya.