Malaysia Pertahan Pertemuan Dutanya Dengan Kerajaan Tentera Myanmar
2021.04.08
Kuala Lumpur

Malaysia pada Khamis mempertahankan pertemuan Duta Besar dengan seorang menteri kerajaan junta yang membunuh ratusan penunjuk perasaan pro-demokrasi pasca rampasan kuasa, selepas sebuah rakaman video tersebar luas dalam talian yang mendapat kritikan hebat dari pelbagai pihak.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra, nama lain bagi Kementerian Luar Negeri Malaysia, telah mengesahkan bahawa pertemuan antara Duta Besar Malaysia Zahairi Baharim telah berlangsung di Kementerian Elektrik dan Tenaga Myanmar (MOEE) pada Rabu tetapi tidak menyebut nama Aung Than Oo, menteri yang bertemu dengan duta tersebut.
Pertemuan antara duta dan menteri itu dapat dilihat dalam satu rakaman video dan gambar yang telah menjadi tular di media sosial sehingga menimbulkan tuduhan yang Malaysia mengiktiraf rejim tentera Myanmar, yang telah menggulingkan pemerintah dipilih secara demokratik dua bulan lalu.
"Mesyuarat itu tidak bermaksud pengiktirafan atau sebaliknya terhadap Majlis Pentadbiran Negara (Myanmar)," kata Wisma Putra yang merujuk kepada pentadbiran junta dengan nama rasminya.
Sehingga Khamis, sekurang-kurangnya 614 penunjuk perasaan telah dibunuh oleh tentera dan pasukan keselamatan kerajaan di seluruh Myanmar sejak rampasan kuasa itu terjadi pada 1 Februari lalu, menurut maklumat yang dikumpulkan oleh Persatuan Bantuan bagi Tahanan Politik, sebuah badan bukan kerajaan Thailand.
“Pendirian Malaysia terhadap Myanmar jelas dan konsisten,” kata kenyataan Wisma Putra.
Kami sentiasa mendesak dihentikan segera keganasan, pembebasan segera tanpa syarat tahanan politik, dan penerusan dialog inklusif membabitkan semua pihak untuk transisi politik dan penyelesaian aman terhadap krisis berterusan di Mynmar serta rakyatnya," tambahan kenyataan itu lagi.
Pertemuaan itu diadakan bagi menyampaikan keputusan anak syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas), syarikat minyak negara Malaysia, untuk menangguhkan projek gas di Myanmar, kata kenyataan itu.
“Keputusan dibuat susulan cabaran yang dihadapi bagi kebolehhantaran telaga yang menyebabkan kadar pengeluaran merosot di bawah ambang teknikal loji pemprosesan gas luar pesisir,” kata Petronas dalam satu kenyataan bertarikh 2 April.
Kenyataan Wisma Putra pada Khamis itu selari dengan ketegasan ucapan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin pada 19 Mac, semasa beliau meminta para pemimpin tentera Myanmar untuk mengubah arah.
"Sekali lagi, Malaysia mengulangi saranan konsisten kami untuk semua pihak berkepentingan supaya bekerjasama ke arah menyelesaikan krisis ini secara aman. Kami akan terus mendukung dialog inklusif untuk peralihan politik dan mendesak semua pihak supaya kembali ke meja rundingan, memulihkan krisis dan menghindari peningkatan ketegangan," kata Muhyiddin pada masa itu.
“Saya terkejut dengan penggunaan kekerasan secara berterusan terhadap orang awam yang tidak bersenjata sehingga menyebabkan sejumlah besar kematian, cedera dan menderita di seluruh negara itu. Penggunaan peluru hidup ke atas penunjuk perasan secara aman tidak boleh diterima. Keadaan yang amat dikesali ini perlu dihentikan segera,” tambahnya.
Muhyiddin juga menggesa pembebasan segera tanpa syarat pemimpin politik Myanmar, termasuk Kaunselor negara itu, Aung San Suu Kyi, Presiden, U Win Myint dan beberapa pemimpin politik lain yang ditahan sejak rampasan kuasa itu berlaku.
Kerajaan junta telah mengisytiharkan darurat selama setahun setelah menggulingkan pemerintahan Suu Kyi, yang dipilih secara demokratik pada November lalu.
Malaysia bersama negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) senada dengan para pemimpin dunia meminta supaya keamanan dikembalikan di Myanmar dan pembebasan Suu Kyi serta pemimpin lain dibuat tanpa sebarang syarat.
Awal minggu ini, Brunei yang kini adalah pengerusi ASEAN bersama Malaysia telah mengumumkan bahawa satu pertemuan khas para pemimpin tertinggi dari seluruh blok wilayah untuk membincangkan krisis Myanmar, akan diadakan di Indonesia, tetapi tarikhnya masih belum ditentukan.
Myanmar merupakan antara 10 buah negara anggota ASEAN
Video tular
Video pertemuan duta Malaysia dan Menteri Myanmar pada Rabu ini telah menjadi tular di media sosial di Malaysia.
"Adakah Malaysia mengiktiraf Pengganas SAC sebagai pemerintah yang sah? @MuhyiddinYassin,” menurut satu hantaran yang disiarkan di Twitter yang ditujukan kepada perdana menteri.
Anggota gabungan Pakatan Harapan pembangkang juga mengkritik pertemuan itu.
“Pertemuan Duta Besar Malaysia dengan junta Myanmar, telah menimbulkan persepsi Malaysia mengiktiraf kerajaan Myanmar. Ini tidak membantu usaha mengembalikan demokrasi di Myanmar,” kata kenyataan bersama Pakatan Harapan yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Negara dan Parti Tindakan Demokratik.
Washington umum sekatan baharu
Sementara itu pada Khamis, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony J. Blinken mengumumkan sekatan keatas Myanma Gems Enterprise, sebuah syarikat permata milik kementerian perlombongan Myanmar, semasa pemimpin berkenaan meminta tentera dan pasukan keselamatan negara itu menghentikan semua keganasan terhadap penunjuk perasaan secara aman.
"Dengan mengenakan sekatan yang disasarkan terhadap entiti ini, kami mengirimkan isyarat yang jelas kepada tentera bahawa Amerika Syarikat akan terus meningkatkan tekanan kepada aliran pendapatan rejim sehingga menghentikan keganasannya, membebaskan semua orang yang ditahan secara tidak adil, menggugurkan undang-undang darurat di seluruh negara, menarik balik sekatan telekomunikasi, dan mengembalikan Burma ke jalan demokrasi,” kata Blinken dalam satu kenyataan.