Najib Selesaikan Bayaran Ikat Jamin Tambahan RM1 Juta Selepas Sabitan Kes 1MDB
2020.07.29
Kuala Lumpur , Malaysia

Sehari selepas disabitkan dengan tujuh pertuduhan berkaitan rasuah dalam skandal kewangan 1MDB, bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu bersama-sama dengan anak lelakinya untuk menyelesaikan bayaran ikat jamin tambahan sebanyak RM1 juta (AS$235,690).
Pemimpin parti yang dianggotai Najib dan kini menyertai kerajaan gabungan baru Malaysia pula menzahirkan simpati kepada Najib serta membayangkan bakal membuat satu "keputusan politik".
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Malaysia mendedahkan dalam satu temu bual pada Rabu bahawa pembiaya kewangan dalam buruan, Jho Low – orang yang menjadi tumpuan dalam skandal yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Najib, dan lebih dikenali sebagai Low Taek Jho – kini bersembunyi di Macau.
Najib, 67, membayar ikat jamin tambahan itu selepas tiba di kompleks mahkamah berkenaan pada awal pagi dan memasuk premis itu melalui pintu belakang, berdasarkan gambar-gambar yang ditunjukkan dalam saluran berita televisyen tempatan. Bekas perdana menteri itu, yang menyandang jawatan tersebut dari 2008 hingga 2018, tidak memberikan sebarang komen semasa wartawan bertanyakan soalan kepadanya selepas menyelesaikan bayaran ikat jaminnya itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nazlan Ghazali menetapkan Rabu sebagai tarikh akhir pembayaran semasa memerintahkan Najib membayar wang ikat jamin itu sebagai syarat penangguhan hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan terhadap bekas pemimpin itu selepas mensabitkannya bagi tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan berbilion-bilion dolar dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu dana pelaburan negara.
Dalam keputusan yang dibuatnya pada Selasa, hakim itu turut mendenda Najib sebanyak RM210 juta (AS$49.3 juta), yang menyaksikan buat pertama kalinya bekas ketua kerajaan di Malaysia disabitkan dengan kesalahan jenayah. Ini berlaku selepas kemarahan masyarakat terhadap skandal 1MDB yang menyebabkan kerajaan pimpinan Najib disingkirkan melalui pilihan raya umum pada Mei 2018.
Nazlan mendapati Najib bersalah bagi semua tujuh pertuduhan yang berpunca daripada RM42 juta (hampir AS$10 juta) yang diterimanya secara tidak sah daripada SRC International, anak syarikat 1MDB. Najib disabitkan kesalahan bagi satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.
Nazlan membenarkan penangguhan hukuman penjara dan denda itu sementara menunggu rayuan yang akan dibuat oleh bekas perdana menteri tersebut bagi perbicaraan rasuah pertamanya yang dikaitkan dengan 1MDB.
Bayaran RM1 juta yang diselesaikan Najib pada Rabu adalah tambahan daripada ikat jamin sebanyak RM6 juta (AS$1.41 juta) yang telah dibayarnya bagi 42 pertuduhan yang dihadapinya bagi pelbagai kes 1MDB.
"Sudah pasti ini bukan pengakhirannya kerana ada proses rayuan dan berharap kami akan berjaya di sana nanti," kata Najib kepada wartawan di kompleks mahkamah itu pada Selasa malam.
Reaksi UMNO, pembangkang
Ahmad Zahid Hamidi, presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) – parti yang dianggotai Najib - yang duduk di sebelah bekas perdana menteri itu semasa penghakiman kes berkenaan disampaikan pada Selasa, memberitahu wartawan selepas itu "sudah pasti, kita akan membuat satu keputusan politik yang besar berikutan hasil daripada penghakiman hari ini."
Zahid, bekas timbalan perdana menteri Najib, juga memuat naik catatan di laman Facebook beliau yang menyatakan bahawa "kami akur dengan keputusan mahkamah."
Zahid menyatakan beliau turut bersedih dengan keputusan itu, dan berkata bahawa beliau yakin "Najib adalah orang yang cekal dan tabah."
"Saya menyeru semua pucuk pimpinan parti di semua peringkat dan ahli-ahli parti serta penyokong supaya bertenang. Kita percaya Najib masih ada ruang untuk mendapatkan keadilan melalui proses perundangan negara,” kata Zahid dalam catatan Facebook.
Pada Rabu pula, Zahid memuat naik catatan baru yang menyatakan bahawa UMNO dan rakan-rakan lain dalam Barisan Nasional akan bekerjasama dengan sekutu mereka dalam kerajaan Perikatan Nasional bagi menangani keputusan perbicaraan itu.
"UMNO dan BN akan menangani keputusan penghakiman ini dengan cara yang terbaik di samping mempertahankan kesetiakawan bersama-sama sekutu dalam BN, Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional," katanya.
"Kejujuran, keikhlasan dalam perkongsian kuasa serta persahabatan tetap menjadi prinsip utama dan akan dipertahankan," katanya.
Sebaliknya dalam kem pembangkang, pemimpinnya Anwar Ibrahim menyambut baik keputusan kes itu.
"Selama lebih daripada satu dekad, skandal 1MDB telah merosakkan reputasi negara kita dan menjadi punca bagi banyak kesengsaraan rakyat Malaysia," kata Anwar dalam catatan media sosial beliau.
"Wang yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan dan membantu orang miskin telah dialihkan kepada perolehan haram yang menguntungkan seorang bekas perdana menteri dan rakan-rakannya."
Anwar, pemimpin Parti Keadilan Rakyat, telah membantu menerajui Pakatan Harapan untuk menjatuhkan kerajaan Najib pada pilihan raya umum 2018 dengan janji kempen untuk menolak kerajaan rasuah. Namun, kerajaan Pakatan tumbang pada Februari berikutan pertelingkahan dalaman dan digantikan dengan kerajaan yang bukan dipilih rakyat yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin.
Pada Rabu, Anwar memberitahu CNBC bahawa keputusan itu memberikan "harapan baru bagi rakyat Malaysia yang secara umumnya kecewa dengan perkembangan politik baru-baru ini."
Jho Low di Macau
Sementara itu, Ketua Polis Negara Malaysia Abdul Hamid Bador berkata bahawa Jho Low, dalang yang dikatakan merancang penyelewengan berbilion-bilion daripada 1MDB, kini berada di Macau, wilayah separa autonomi di China, menurut laporan Agence France-Presse.
"Dia ada di sana [di Macau] dengan semua wang kotornya," kata Ketua Polis itu kepada AFP.
Semasa agensi perkhidmatan berita itu bertanya kepadanya mengapa beliau mendedahkan lokasi Jho Low sekarang, Abdul Hamid berkata ini kerana ada tuduhan dibuat kononnya para pegawainya "sengaja melambatkan usaha untuk membawa lelaki itu ke muka pengadilan."
Ini adalah kali pertama bagi Ketua Polis Malaysia untuk mendedahkan keberadaan pembiaya kewangan yang menjadi buruan itu. Laporan spekulatif sebelum ini menyatakan bahawa Jho Low berada di negara lain termasuk di China dan Emiriah Arab Bersatu.
Menurut laporan berita Malaysia pada Rabu, Ketua Polis Negara itu berkata Kuala Lumpur tidak mendapat bantuan pihak berkuasa China dalam usaha mengekstradisi Jho Low.
"Usaha untuk membawa pulang Jho Low sudah lama dilakukan. Namun, sehingga sekarang, belum ada maklum balas yang menyakinkan daripada [Republik] Rakyat itu, ” lapor Malay Mail yang memetik Abdul Hamid sebagai memberitahu Utusan Malaysia, sebuah akhbar berbahasa Melayu.
Tetapi, Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur menolak dakwaan Ketua Polis Negara itu.
Jurucakap kedutaan negara itu, Tang Tang berkata pihak berkuasa China telah memeriksa semua petunjuk yang diberikan oleh polis Malaysia berhubung lokasi Jho Low tetapi tidak dapat mengesannya.
"Polis China telah mengikuti dan menyiasat dengan teliti setiap petunjuk relevan yang kami terima daripada polis Malaysia, dengan iklas dan bertanggungjawab," kata Tang.
"Malangnya, tidak ada individu relevan yang ditemukan dan pihak Malaysia telah diberitahu mengenainya. Dakwaan yang dibuat itu adalah tidak berasas dan tidak boleh diterima."