Najib Ditahan, Dijangka Hadapi Pertuduhan Baru Berkaitan 1MDB
2018.09.19
Kuala Lumpur, Malaysia

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, ditahan oleh agensi anti-rasuah negara pada Rabu dan dijangka berada dalam tahanan sementara menunggu pihak berkuasa membuat persediaan untuk mendakwanya pada Khamis dengan pertuduhan berkaitan salah guna kuasa, kata para pegawai.
Bekas presiden UMNO itu ditahan pada 4.13 petang Rabu semasa beliau ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, menurut pegawai berkenaan.
"SPRM akan bertemu dengan Polis DiRaja Malaysia untuk merakam percakapan Najib sebelum beliau dibawa ke mahkamah esok bagi membantu siasatan polis mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001," kata para pegawai dalam satu kenyataan.
Beliau dijangka menghadapi beberapa pertuduhan salah guna kuasa berkaitan RM2.6 bilion (AS$628 juta) yang ditemukan di dalam akaun bank peribadinya. Pihak berkuasa mendakwa wang itu adalah daripada dana negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang diasaskannya pada 2009 dengan tujuan mendapatkan projek-projek yang memanfaatkan rakyat Malaysia.
Para pegawai SPRM berkata, Jabatan Peguam Negara telah memberi kebenaran supaya memfailkan pertuduhan terbaru itu.
Najib tetap dengan kenyataannya bahawa beliau menerima "hadiah" daripada sumber-sumber dari Arab Saudi dan menafikan mengambil wang demi kepentingan peribadinya.
Dalam catatan Facebook beliau minggu lalu, Najib mengemukakan surat-surat daripada seorang putera Arab Saudi yang menjanjikan "hadiah" berjuta-juta dolar bagi menggalakkan beliau untuk terus mengembangkan syiar Islam di dunia. Najib mendakwa Arab Saudi memberinya RM2.6 bilion pada Mac 2013, tetapi beliau kemudian mengembalikan wang itu kerana ia tidak diperlukan untuk pilihan raya umum tahun itu.
Kehadirannya di mahkamah pada Khamis merupakan yang ketiga baginya dalam berdepan pertuduhan.
Najib, yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan-pertuduhan yang didakwa terhadapnya semasa dua kali dihadapkan di mahkamah sebelum ini, dijangka dibicarakan pada Februari 2019 bagi tujuh pertuduhan termasuk pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Pertuduhan berkenaan adalah berkaitan dengan dakwaan menerima RM42 juta ($ 10.3 juta) yang dimasukkan ke akaun bank peribadinya secara haram oleh SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Selain itu, peguamnya Shafee Abdullah turut didakwa minggu lepas dengan pertuduhan pengubahan wang haram dan penipuan cukai melibatkan RM9.5 juta ($2.3 juta) yang diterimanya daripada Najib. Shafee menganggap dakwaan itu sebagai tuduhan politik dan tidak berasas.
Penyokong bersuara
Lokman Noor Adam, presiden NGO Pemantau Malaysia Baru, memberitahu BeritaBenar bahawa kumpulannya akan berkumpul di hadapan ibu pejabat SPRM pada Rabu dan di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis bagi menunjukkan solidariti kepada Najib.
"Kami mengutuk tindakan SPRM, yang kami percaya adalah sebahagian daripada agenda untuk melunturkan semangat ahli-ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)," katanya.
Dua anak Najib, Ashman dan Nooryana Najwa, turut menyuarakan perasaan mereka berhubung penahanannya dalam catatan masing-masing di Instagram.
Nooryana berkata, beliau menghantar gambar bersama-sama anak lelakinya dengan ucapan semoga bapanya melakukan yang terbaik. Menurutnya beliau berasa sedih kerana tidak berada di Malaysia untuk bersama-sama bapanya.
"Berdoa untukmu dan undang-undang negara kita, ayah," kata beliau.
Ashman pula menyiarkan sekeping foto Najib dan komen ringkas di bahagian bawahnya dengan menyatakan tentang apa membimbangkannya.
"Saya tidak dapat bayangkan kesengsaraan yang ayah hadapi di sana. Berdoa agar ayah dilayani dengan adil, "katanya.
Siasatan terhadap 1MDB dibuka semula selepas kerajaan baru pimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad mengambil alih tampuk pemerintahan pada Mei lalu selepas mengalahkan gabungan parti Barisan Nasional yang diketuai Najib dalam pilihan raya umum. Bekas Peguam Negara, Apandi Ali, yang berkhidmat semasa pimpinan Najib, telah membersihkan beliau daripada kes itu.
Para pendakwa raya Amerika Syarikat telah memfailkan beberapa saman undang-undang dengan mendakwa sekurang-kurangnya $4.5 bilion (RM18.6 bilion) dicuri daripada 1MDB dan dialihkan menerusi pembelian hartanah, karya seni dan hartanah mewah oleh Najib dan rakan-rakannya. Switzerland dan Perancis turut menyiasat 1MDB.