Mahkamah Tolak Permohonan Perintah Larangan, Tetapkan Tarikh Perbicaraan Kes Najib
2018.08.10
Kuala Lumpur, Malaysia

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak akan dibicarakan mulai 12 Feb 2019 bagi pertuduhan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram, demikian diputuskan hakim Mahkamah Tinggi sambil menolak permohonan bekas pemimpin itu untuk mendapatkan perintah larangan terhadap media.
Negara itu mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk memastikan bahawa "perbicaraan oleh media" tidak berlaku, kata Hakim Mohamad Nazlan Mohamad Ghazali ketika beliau membuat keputusannya terhadap petisyen untuk membantah wartawan daripada melaporkan merit pertuduhan terhadap Najib.
"Dalam penghakiman saya bagi kes ini, kebebasan bersuara yang menjadi keutamaan," katanya selepas mendengar hujah daripada peguam dan pendakwa Najib. "Perintah larangan itu tidak wajar kerana ia tidak diperlukan."
Najib, 65, dan isterinya Rosmah telah dihalang daripada meninggalkan negara dan beberapa kediaman yang dikaitkan dengan mereka telah diserbu pihak berkuasa sejak kekalahan teruk parti gabungan Najib, Barisan Nasional, pada Mei lalu. Dalam serbuan itu, polis merampas barang kemas, wang tunai dan beg tangan mewah dengan anggaran nilai sehingga AS $273 juta.
Pertuduhan terhadap Najib berpunca daripada skandal rasuah berbilion dolar yang menbelenggui 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebuah dana pelaburan negara yang ditubuhkan untuk memacu pembangunan ekonomi.
Najib, yang bebas dengan jaminan, menghadapi tujuh pertuduhan selepas pendakwa raya mendakwanya dengan pertuduhan pengubahan wang haram pada Rabu. Setakat ini, kesemua pertuduhan itu melibatkan pemindahan masuk sebanyak RM42 juta (AS$10.3 juta) secara haram ke dalam akaun bank peribadinya dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Amaun dalam pertuduhan itu adalah lebih kecil berbanding dengan AS$4.5 bilion yang didakwa pendakwa raya AS dicuri daripada 1MDB dan dialihkan menerusi pengambilalihan hartanah, karya seni dan kediaman mewah oleh Najib dan sekutunya.
Najib menafikan kesemua pertuduhan itu. Beliau boleh dipenjarakan banyak tahun jika didapati bersalah.
Hakim Mohamad Nazlan menetapkan kes pertuduhan Najib dibicarakan selama 33 hari mulai 12 hingga 28 Feb dan mulai 4 hingga 29 Mac.