Mahkamah Malaysia Beku Aset Najib Razak, Letak Had Pengeluaran
2022.02.09
Kuala Lumpur

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa mengeluarkan perintah membekukan aset-aset milik bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang dikaitkan dengan skandal penyelewengan dana berbilion dolar dari syarikat dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perintah mahkamah itu meliputi semua aset yang berada dalam lingkungan nilai AS$681 juta (RM2.84 bilion), iaitu amaun yang kini sedang menjadi subjek tuntutan saman oleh 1MDB di mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan bahawa Najib hanya dibenarkan untuk membuat pengeluaran wang maksima RM100,000 (AS$23,900) setiap bulan bagi tujuan perbelanjaannya.
Perintah itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Atan Mustaffa Yussof Ahmad, selepas 1MDB dan empat anak syarikatnya memfailkan permohonan injunksi bagi menghalang pelupusan dan pengalihan aset milik Najib serta tujuh individu lain sebelum proses tuntutan mereka diselesaikan.
Hakim Atan Mustaffa turut memerintahkan Najib atau sesiapa yang dilantik olehnya tidak boleh mengalihkan atau mengurangkan nilai aset dikawal bekas Perdana Menteri itu mencecah nilai AS$681 juta, sehingga kes tuntutan yang dibuat oleh 1MDB selesai di mahkamah. Keputusan itu dibuat setelah mahkamah mendengar permohonan secara sebelah pihak (ex-parte) oleh 1MDB.
"Bahawa Defendan Pertama (Najib), sama ada melalui dirinya sendiri, atau melalui agennya atau pegawainya atau kakitangannya atau pekerjanya, tidak boleh, dengan apa-apa cara sekalipun, mengalihkan dari Malaysia, atau melupuskan, atau mengendalikan atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di dalam Malaysia sehingga pada nilai AS$681,000,000 sementara menunggu penentuan atau penetapan terakhir kepada tindakan yang dibawa oleh Plaintif Pertama dan Plaintif Kelima," kata Atan Mustaffa dalam dokumen penghakiman yang dilihat BenarNews.
Perintah yang sama turut dikenakan terhadap semua aset Najib yang berada di luar negara, selagi mana ia berada dalam lingkungan nilai yang menjadi subjek tuntutan di mahkamah.
Plaintif pertama merujuk kepada 1MDB manakala Plaintif Kelima adalah syarikat Global Diversified Investment Company Limited, yang dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited.
Pada Mei tahun lepas, 1MDB dan anak syarikatnya telah memfailkan saman terhadap Najib dan tujuh lagi individu, termasuk bekas pengarah dan ahli lembaga penasihat syarikat tersebut, yang menuntut supaya sejumlah AS$681 juta yang didakwa telah digelapkan daripada 1MDB dipulangkan semula.
Dana pelaburan negara itu mendakwa bahawa wang yang digelapkan tersebut telah dimasukkan ke akaun Najib.
Walaupun perintah injunksi difailkan terhadap lapan individu, mahkamah Kuala Lumpur itu hanya mengeluarkan arahan pembekuan aset terhadap Najib, Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh sejak 2009 sehingga kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pimpinannya semasa Pilihan Raya Umum Malaysia ke-14 pada 2018.
Perbelanjaan bulanan
Atan Mustaffa, yang bertindak sebagai hakim dalam pendengaran permohonan injunksi tersebut, turut memerintahkan supaya Najib menyenaraikan semua aset beliau yang berada di dalam dan di luar Malaysia sehingga pada nilai AS$681 juta kepada 1MDB.
Ia meliputi aset-aset sama ada yang berada di bawah namanya sendiri atau tidak, aset yang dimiliki bersama dengan individu lain, serta yang berada di bawah nama orang lain yang memegang aset tersebut bagi pihak Najib.
Najib juga mesti "memberikan nilai, lokasi dan segala maklumat berkenaan dengan aset-aset dan maklumat tersebut hendaklah disahkan melalui suatu afidavit dan hendaklah disampaikan kepada Peguamcara Plaintif Pertama dan Plaintif Kelima dalam masa 14 hari" selepas perintah tersebut disampaikan kepadanya.
Menurut mahkamah, Najib tidak boleh melupus, mengendali, atau mengalihkan aset beliau sekiranya keseluruhan nilai tanpa beban asetnya adalah tidak melebihi AS$681 juta.
Bagi tujuan perbelanjaan sara hidup dan perbelanjaan guaman, Ahli Parlimen Pekan itu hanya dibenar untuk mengeluarkan sejumlah RM100,000 sebulan dengan syarat beliau dikehendaki memaklumkannya kepada peguam yang mewakili 1MDB dan anak-anak syarikatnya yang memfailkan permohonan injunksi tersebut.
"Sekiranya Defendan Pertama memerlukan lebih daripada RM100,000 sebulan, beliau hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguamcara Plaintif Pertama dan Plaintif Kelima.
Sekiranya tiada kebenaran bertulis diberikan, Defendan Pertama boleh memohon dan mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah untuk sejumlah wang melebihi RM100,000 sebulan dibenarkan untuk digunakan bagi perbelanjaannya," kata Atan Mustaffa dalam keputusan penghakiman secara bertulis.
Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan Najib atau individu bagi pihak beliau berkaitan perkara ini.
Menurut muatnaik di laman media sosial beliau, Najib kini berada di Johor bagi membantu jentera pilihanraya UMNO dalam kempen memenangi kerusi DUN negeri itu.
Najib menubuhkan 1MDB pada 2009 sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Abdullah Ahmad Badawi, bertujuan mempromosi pembangunan ekonomi di Malaysia menerusi perkongsian global dan pelaburan langsung asing. Dana tersebut bertujuan untuk digunakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.
1MDB sebaliknya menanggung kerugian berbilion dolar dan pada 2016, Jabatan Kehakiman AS menuduh “Pegawai Nombor 1 Malaysia” – kemudian dikenal pasti sebagai Najib – dan sekutunya didapati menyeleweng serta mengubah lebih AS$4.5 bilion daripada wang yang dikaitkan dengan 1MDB antara 2009 dan 2014.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib setelah mensabitkan beliau dengan tujuh pertuduhan - termasuk penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram – yang menyaksikan berbilion dollar telah diseleweng daripada 1MDB, yang ditubuhkannya itu.
Reaksi bercampur
Sementara itu, seorang penganalisis politik berkata keputusan mahkamah untuk membekukan aset Najib itu akan memberikan kesan terhadap beliau, dan dijangka akan membawa impak politik terutama ketika Barisan Nasional akan berhadapan Pilihan Raya Negeri Johor yang dijadualkan pada 12 Mac.
Mazlan Ali, seorang pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia, memberitahu BenarNews bahawa saman yang difailkan 1MDB terhadap Najib juga memberi persepsi bahawa beliau benar-benar terlibat dalam skandal salah guna kuasa.
"Keputusan mahkamah tinggi yang menghalang Najib daripada melupuskan hartanya lebih kurang RM600 juta dan hanya boleh keluarkan RM100,000 sebulan telah beri satu imej tidak baik kepada Najib kerana permohonan oleh 1MDB berikutan saman terhadap Najib ini memberi persepsi kepada rakyat seolah-olah beliau ada masalah dengan 1MDB dan persepsi bahawa Najib memang benar-benar terlibat dalam salah guna kuasa dalam isu 1MDB.
"Jadi imej ini akan terpantul dalam aspek pilihanraya negeri dan politik kerana pembangkang mesti gunakan isu ini dalam Pilihanraya Negeri Johor dengan mengatakan bahawa Najib ada hubungan dengan skandal 1MDB itu," kata beliau.
Seorang lagi penganalisis politik pula berpandangan sebaliknya, menyatakan bahawa perintah pembekuan aset itu mungkin akan mendatangkan simpati terhadap Najib dan memberikan kekuatan kepada kempen Pilihan Raya Barisan Nasional.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata arahan tersebut adalah sebahagian daripada proses mahkamah dan proses itu masih belum berakhir.
"Kalau dilihat Pilihanraya Negeri Melaka baru-baru ini dengan pelbagai kempen memburukkan Najib didapati tidak beri kesan buruk, malah Najib sebagai antara penggerak kempen dan jentera tidak lumpuh.
"Sebaliknya ia boleh mendatangkan simpati malah dilihat sebagai 'overkill' oleh penyokong tegar Najib dan UMNO, dan akan memberi kekuatan kepada Najib dan jentera parti untuk lebih bekerja keras bagi membuktikan Najib dan UMNO masih relevan dalam arus politik perdana," kata Awang Azman kepada BenarNews.
Suganya Lingan di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.