Najib Bayar Baki Wang Jaminan Guna Sumbangan Penyokong

Alfian Z.M. Tahir
2018.07.09
Kuala Lumpur, Malaysia
180709-my-najibcourt1000.jpg Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak melambai kepada penyokongnya semasa tiba di perkarangan Komplek Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 9 Julai 2018
[S. MahfuZ/BeritaBenar]

Bekas perdana menteri Najib Razak pada Isnin membayar baki tertunggak wang jaminan sebanyak RM500 ribu kepada Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menggunakan sumbangan daripada penyokongnya selepas pihak berkuasa Malaysia membeku semua akaun bank milik beliau dan keluarga.

Rabu lalu, Najib dibebaskan dengan ikat jaminan RM1 juta (AS$247,115) selepas mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah amanah jenayah dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Hakim Sofian Abdul Razak (tidak ada hubungan) yang menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta bagaimanapun membenarkan bayaran dibuat separuh terlebih dahulu sebelum bekas perdana menteri itu boleh dibebaskan, dan turut mengarahkan Najib menyerahkan "kedua-dua pasport diplomatiknya."  

Dua orang anak Najib, iaitu Nooryana Najwa dan Noorashman menjadi penjamin kepada bapa mereka.

Pada Isnin, Nooryana Najwa yang ditemani suaminya, Daniyar Kessikbayev dan Noorashman tiba di bangunan komplek mahkamah kira-kira jam 10.40 pagi, untuk menyelesaikan jumlah yang tertunggak itu dengan Najib serta isterinya Rosmah Mansor, tiba sejam selepas itu.

Najib hadir untuk menandatangani beberapa dokumen yang berkaitan dengan ikat jamin tersebut dan kemudiannya bertemu pihak media serta penyokongnya yang sabar menunggu sejak jam 8.30 pagi.

Pihak pendakwaan Malaysia pada Rabu lepas telah memfailkan empat pertuduhan jenayah pecah amanah terhadap Najib serta penyalahgunaan kuasa dengan menggunakan jawatannya untuk meminta suapan sebanyak RM42 juta [AS$10.4 juta] daripada SRC International yang berakhir di dalam akaun bank peribadinya

SRC International adalah bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad, yang ditubuhkan oleh Najib pada 2009 sebagai dana negara untuk membangunkan projek yang bermanfaat untuk rakyat Malaysia.

Jika didapati bersalah atas keempat-empat pertuduhan, bekas perdana menteri itu berdepan hukuman penjara maksimum selama 80 tahun.

Hakim Sofian pada Rabu lepas juga, secara tentatif menetapkan Februari atau Mac 2019 sebagai tempoh untuk perbicaraan bermula.

Najib semasa bercakap kepada media berkata beliau bersyukur dan menghargai usaha yang dilakukan oleh penyokong untuk membantunya menyelesaikan tunggakan wang jaminan.

"Ini [sumbangan] adalah tanda anggota Umno dan rakyat biasa menunjukkan rasa cinta kepada pemimpin… diharapkan dengan doa dan berkat mereka, keluarga saya dan saya dapat berjaya mengatasi cabaran utama ini," tambah Najib.

Najib meninggalkan bangunan mahkamah pada kira-kira pukul 12 tengahari bertemu dengan penyokongnya yang datang secara sukarela.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO], Lokman Adam semasa bercakap kepada BeritaBenar berkata, walaupun wang jaminan telah dibayar, sumbangan akan terus diterima kerana Najib tidak mempunyai wang apabila  akaun bank peribadin dan keluarganya telah dibekukan oleh pihak berkuasa Malaysia .

"Derma akan berterusan. Ketua Bahagian UMNO di seluruh Malaysia telah menyumbang dan kami berjaya mengumpulkan setengah juta ringgit. Bagi bekas ketua bahagian, jumlah yang dikumpulkan juga adalah RM500 ribu dan sayap wanita memperoleh RM300 ribu. "

Bagaimanapun katanya, ia tidak mencukupi kerana yuran pasukan peguamnya mencecah RM2.4 juta [AS$596 ribu].

Najib tidak akan dapat simpati rakyat biasa


Penganalisis politik terkenal Malaysia, Chandra Muzaffar memberitahu BeritaBenar bahawa walaupun Najib menerima sokongan daripada banyak ahli UMNO, sebaliknya pemimpin itu tidak akan memperoleh simpati daripada majoriti rakyat Malaysia.

"Pendakwaan terhadap beliau terlalu besar. Ia melibatkan pecah amanah, kleptokrasi, pengubahan wang haram dan rasuah. Dari sudut pandangan itu, saya tidak fikir beliau akan mendapat simpati tetapi sudah tentu Najib akan mendapatkannya daripada penyokongnya" Chandra menjelaskan secara ringkas.

Menurut dokumen mahkamah yang dikemukakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, dana itu sebaliknya telah digunakan untuk memenuhi gaya hidup mewah mereka yang menguasainya, antara 2009 dan 2014.

Siasatan 1MDB, yang berjalan secara bebas dan turut dilakukan di Switzerland, Perancis dan Amerika Syarikat, berkisar kepada dakwaan bahawa sekutu-sekutu Najib telah menggelapkan serta menggubah hampir US$4.5 bilion dari dana negara itu menerusi pemerolehan hartanah dan aset-aset lain.

Apabila pendakwa Amerika Syarikat memfailkan kes saman bagi melucutkan hak sivil berkaitan dengan 1MDB pada Julai 2016, mereka menyifatkan berlakunya tahap penipuan yang amat besar yang mana lebih US$730 juta daripada apa yang dianggap sebagai wang 1MDB telah dialihkan dalam siri transaksi penuh rumit sebelum akhirnya dimasukkan ke dalam akaun peribadi “Pegawai Malaysia 1.”

Peguam Negara Amerika Syarikat Jeff Sessions pada Disember tahun lepas menyifatkan tindakan tersebut sebagai “kleptokrasi paling buruk.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.