Bekas PM Najib, Didakwa Berkaitan Skandal Rasuah 1MDB

N.Nantha, Hadi Azmi, Alfian Z.M. Tahir & Hariz Lee
2018.07.04
Kuala Lumpur, Malaysia
180703_MY_NAJIB_arrive_620.jpg Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak tiba di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur, 4 Julai 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

KEMASKINI pada 2.30 pm waktu tempatan pada 2018-07-04

Pihak pendakwaan Malaysia telah mengemukakan empat pertuduhan rasuah terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak pada Rabu berhubung skandal 1MDB.

Peguam Negara Tommy Thomas mengemukakan pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ketika penyokong baju merah yang berada di luar mahkamah melaungkan sokongan mereka terhadap pemimpin tersingkir itu, berpakaian sut biru dan bertali leher merah gelap, selepas bermalam di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

“Bahawa kamu, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012 … sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan kamu untuk meminta suapan RM42 juta (US$10.4 juta) bagi diri kamu apabila kamu terlibat atau mengambil bahagian dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk  memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd,” demikian menurut kertas pertuduhan pertama yang dikemukakan mengikut akta pengubahan wang haram negara.

SRC International merupakan bekas anak syarikat dana negara 1Malaysia Development Berhad.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah amanah jenayah dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Jika didapati bersalah atas keempat-empat pertuduhan, Najib berdepan hukuman penjara maksimum berjumlah 80 tahun.

Selepas pendengaran di Mahkamah Sesyen, kes itu segera dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, di mana Najib mengaku tidak bersalah dan Hakim Sofian Abdul Razak (tiada hubungan kekeluargaan) menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta (US$247,115) dan mengarahkan bekas perdana menteri itu menyerahkan "kedua-dua passport diplomatik."

Hakim Mahkamah Tinggi Sofian Abdul Razak (tiada hubungan kekeluargaan) secara tentative menetapkan Februari atau Mac 2019 sebagai tempoh untuk perbicaraan bermula.

Najib: peluang untuk 'membersihkan nama saya'

Bercakap kepada pemberita semasa meninggalkan kamar mahkamah, Najib berkata beliau telah menjangka akan didakwa “kerana inilah yang dimahukan oleh kerajaan baharu.”

“Jika inilah harga yang saya terpaksa bayar selepas 42 tahun berkhidmat untuk rakyat Malaysia, saya redha. Apa yang saya harapkan ialah proses keadilan adalah satu proses yang benar-benar adil dan mengikut peraturan undang-undang. Saya yakin saya tidak bersalah; ini adalah peluang terbaik saya untuk membersihkan nama saya."

Peguambela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan pemberita bahawa anak guamnya tidak bimbang dengan perbicaraan itu “dengan syarat beliau diberikan satu peluang yang adil pada perbicaraan itu, yang mana kami yakin, melihat kepada hakim yang bersidang hari ini … kami yakin ia akan menjadi satu perbicaraan yang adil."

Hakim itu membenarkan satu perintah larangan terhadap penerbitan lanjut mengenai kes itu yang dipohon peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, yang berhujah bahawa anak guamnya sedang dibicarakan dalam media.

“Orang ramai telah mengeluarkan kenyataan seolah-olah Najib bersalah,” katanya kepada mahkamah. “Tidak sepatutnya ada perbincangan tentang merit perbicaraan ini.”

“Kami membantah sekeras-kerasnya,”kata Peguam Negara Tommy Thomas berhubung permohonan itu. “Orang lain di dunia sedang bercakap mengenainya. Orang lain di dunia akan mengulas mengenai kes ini dan rakyat Malaysia pula akan berdiam diri,” katanya.

Thomas memberitahu pemberita bahawa lebih banyak pertuduhan akan dikemukakan susulan siasatan berhubung isu 1MDB.

“SRC, saya tidak tahu tetapi 1MDB, sememangnya telahpun berjalan. Kesemua perkara ini adalah berkisar tentang 1MDB. Anda boleh menjangkakan SPRM untuk menyiasat 1MDB, dan biar saya nyatakan perkara yang sudah jelas – apabila anda menggunakan perkataan 1MDB – ia merupakan satu kenyataan ringkas untuk menggambarkan apa yang telah terjadi sekitar 4 hingga 5 tahun lalu. Terdapat urus niaga yang berasingan dalam tempoh 4 hingga 5 tahun.”

Pendakwaan terpilih

Isteri Najib, Rosmah Mansor, turut hadir ketika sesi mahkamah pada Rabu, begitu juga dua anak pasangan itu, Nooryana Najwa Najib dan Mohd Norashman Najib.

Berpuluh-puluh penyokong bekas perdana menteri itu melaungkan “Viva Najib!” di luar mahkamah selepas beliau tiba sejurus pukul 8 pagi waktu tempatan.

"Kami percaya ini adalah pendakwaan terpilih dan semua pertuduhan terhadap beliau adalah rekaan. Kami di sini untuk menyokong Najib sebagai seorang bekas presiden parti dan bekas perdana menteri Malaysia," kata Noor Hariri Mohd Noor, seorang pemimpin belia dari parti UMNO yang pernah dipimpin Najib, yang berada di luar mahkamah.

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak tiba di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur, 4 Julai 2018. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

‘Khabar angin, dengar cakap dan fitnah’

Bekas titan politik Malaysia itu didakwa genap lapan minggu selepas gabungan parti pemerintah pimpinan beliau kecundang pada pilihan raya umum Malaysia yang lalu.

Parti gabungan Barisan Nasional pimpinan beliau dan parti penerajunya, UMNO, tidak pernah tewas pada pilihan raya umum dalam sejarah negara selama 60 tahun.

Pada hari-hari berikutnya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri baharu Mahathir Mohamad telah melarang bekas pasangan pertama itu meninggalkan negara, menggeledah kediaman mereka dan menyoal siasat Najib berhubung isu bagaimana wang sebanyak RM42 juta (kira-kira US$10 juta) daripada SRC International telah berada dalam akaun bank peribadi beliau.

Najib telah dua kali dipanggil untuk disoal siasat oleh agensi pencegahan rasuah itu pada Mei manakala isterinya, Rosmah Mansor, turut dipanggil sekali untuk memberi keterangan kepada suruhanjaya tersebut.

Kali kedua beliau hadir ke SPRM ialah beberapa hari selepas polis merampas beratus-ratus kotak beg tangan mewah dan 72 bagasi mengandungi wang tunai, barangan kemas serta barangan mewah lain daripada hartanah yang dikaitkan dengannya, sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung kes wang yang dicuri daripada 1MDB. Minggu lepas, polis berkata barangan yang dirampas itu dianggarkan bernilai US$273 juta.

Selepas sesi pendengaran selama sejam di Mahkamah Sesyen berakhir, kes itu segera dipindahkan ke Mahkamah Tinggi yang terletak di kompleks mahkamah yang sama, di mana para peguam Najib dijangka membuat pengakuan bagi pihaknya.

Bagaimanapun, Najib, yang berulang kali menafikan sebarang salah laku berhubung isu 1MDB, berkata dalam satu temu bual dengan Reuters bulan lepas bahawa beliau tidak tahu jika beratus-ratus juta dolar yang berada dalam akaun bank peribadinya adalah daripada 1MDB.

Dalam satu rakaman yang dimuat naik di halaman rasmi Facebook beliau selepas penahanannya, Najib berkata beliau “tidak sempurna.”

“Saya hanya seorang manusia biasa,” katanya. “Namun percayalah, semua tuduhan yang dibuat terhadap saya dan keluarga saya, tidak semuanya adalah benar.”

Beliau berkata dakwaan berhubung isu 1MDB hanyalah “khabar angin, dengar cakap dan fitnah.”

Dalam komen terdahulu beliau di Facebook, Najib turut menafikan sebarang salah laku, dengan berkata barangan mewah yang dirampas dalam serbuan polis adalah hadiah kepada keluarganya daripada pemimpin-pemimpin negara asing.

Najib, 64, yang berdepan pelbagai kontroversi sepanjang tempoh sembilan tahun beliau menjadi pemimpin Malaysia, telah mengasaskan 1MDB pada 2009 sebagai satu dana kekayaan negara bagi mendapatkan projek-projek yang bermanfaat kepada rakyat Malaysia.

Pemimpin belia UMNO Noor Hariri Mohd Noor (berbaju biru) bergambar bersama sekumpulan lelaki dari negeri Kelantan yang tiba di kompleks mahkamah pada pukul 5.30 pagi untuk menunjukkan sokongan kepada bekas perdana menteri berkenaan. [N. Nantha/BeritaBenar]

Menurut dokumen mahkamah yang dikemukakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, dana itu sebaliknya telah digunakan untuk memenuhi gaya hidup mewah mereka yang menguasainya, antara 2009 dan 2014.

Siasatan 1MDB, yang berjalan secara bebas dan turut dilakukan di Switzerland, Perancis dan Amerika Syarikat, berkisar tentang dakwaan bahawa sekutu-sekutu Najib telah menggelapkan serta menggubah hampir US$4.5 bilion dari dana negara itu menerusi pemerolehan hartanah dan aset-aset lain.

Apabila pendakwa Amerika Syarikat memfailkan kes saman bagi melucutkan hak sivil berkaitan dengan 1MDB pada Julai 2016, mereka menyifatkan berlakunya tahap penipuan yang amat besar yang mana lebih US$730 juta daripada apa yang dianggap sebagai wang 1MDB telah dialihkan dalam siri transaksi penuh rumit sebelum akhirnya dimasukkan ke dalam akaun peribadi “Pegawai Malaysia 1.”

Peguam Negara Amerika Syarikat Jeff Sessions pada Disember tahun lepas menyifatkan ia sebagai “kleptokrasi paling buruk.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.