Najib mohon Mahkamah Persekutuan batalkan sabitan SRC, benarkan perbicaraan semula
2022.08.15
Putrajaya

Peguambela bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak pada Isnin meminta Mahkamah Persekutuan supaya mengadakan perbicaraan semula kes rasuah yang berkait dengan skandal 1MDB kerana mempunyai bukti baharu, satu langkah yang akan melewatkan pendengaran rayuan akhir terhadap ahli politik itu yang berdepan hukuman penjara 12 tahun dan perlu dijalani sekiranya kalah kes berkenaan.
Pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan bersalah serta hukuman penjara itu dijadualkan bermula pada Isnin, tetapi pasukan peguamnya membuat permohonan untuk memasukkan bukti baharu dengan harapan mendapat perbicaraan semula kes penyelewengan dana SRC International, yang merupakan anak syarikat dana pelaburan negara 1MDB.
Pasukan pendakwaan pula berhujah untuk tidak membenarkan permohonan memasukkan bukti baharu itu sambil menggelarnya sebagai satu "taktik" untuk melambatkan kes dan meminta mahkamah meneruskan pendengaran rayuan akhir Najib seperti yang telah dirancang.
"Responden dengan rendah hati menggesa supaya mahkamah yang mulia menolak permohonan oleh pemohon untuk memasukkan bukti tambahan yang jelas adalah tidak relevan terhadap rayuan yang hendak didengar mahkamah ini," kata ketua pasukan pendakwaan V. Sithambaram kepada mahkamah.
Pada Selasa, pasukan peguambela Najib akan mendapat peluang untuk melawan hujah pasukan pendakwaan, sebelum hakim membuat keputusan sama ada untuk membenarkan bukti baharu atau tidak.
Sekiranya permohonan itu dibenarkan, keputusan dibuat mahkamah lebih rendah sebelum ini dalam kes tersebut akan menjadi terbatal dan perlu dibicarakan semula. Sekiranya tidak dibenarkan pula, rayuan Najib yang kini memasuki proses terakhir untuk mengubah sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda sebanyak RM210 juta akan bermula seperti dijadualkan.
Peguam Najib berhujah bahawa hakim perbicaraan yang menyelia perbicaraan SRC International, Mohamad Nazlan Mohamad Ghazali, mempunyai konflik kepentingan kerana beliau dikaitkan dengan sebuah bank yang menjalankan perniagaan dengan 1Malaysia Development Berhad, menurut maklumat berikutan pendakwaan itu.
“Ini tidak pernah disampaikan oleh pihak pendakwaan semasa perbicaraan SRC... dan hanya ditemui pada Mei 2022,” kata peguam Hisyam Teh Poh Teik, menurut laporan langsung pendengaran yang disiarkan di laman sesawang akhbar The Edge.
"Adalah paling perlu untuk mendapatkan bukti tambahan," tambah Hisyam lagi.
Najib telah melantik peguam jenayah terkenal Hisyam Teh Poh Teik sebagai ketua pasukan pembelaan dan firma guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners' (ZIST), Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam, sebagai peguam baharunya, 21 hari sebelum pendengaran rayuan akhirnya itu.
Sebelum ini, Najib diwakili oleh firma Shafee & Co yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah. Shafee telah mewakili beliau dalam kes SRC sejak hari pertama beliau dituduh di mahkamah empat tahun lepas.
Pada 26 Julai, pasukan guaman baharu Najib telah memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk menunda pendengaran rayuan itu kerana mereka baru saja mengambil alih kes, tetapi permohonan itu ditolak mahkamah.
Permohonan pada hari permulaan pendengaran akhir selama lapan hari itu sekaligus memberi peluang kepada Hisyam untuk membuat kesnya bagi perbicaraan baharu pada Selasa sebelum panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan untuk membenarkannya atau meneruskan pendengaran rayuan.
Panel lima hakim diketuai Tengku Maimun itu adalah bersama Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan, dan Mohamad Zabidin Mohd Diah bagaiamanapun telah menangguhkan sesi pada Isnin itu sekitar jam 3.45 petang selepas mendengar hujahan kedua belah pihak.
Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah menetapkan tarikh pendengaran selama sembilan hari bermula Isnin untuk mendengar rayuan bekas Perdana Menteri itu bagi menukar keputusan bersalah dan hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Nazlan Ghazali dua tahun lalu.
Bekas perdana menteri itu telah didakwa di mahkamah pada 4 Julai 2018, dan kesnya itu adalah kes pertama seumpamanya dalam sejarah kehakiman Malaysia.
Najib sebelum ini telah menghantar petisyen rayuan kepada mahkamah dengan menyenaraikan 94 hujah mengapa beliau patut dibebaskan daripada semua pertuduhan.
Bergantung kepada rayuan
Penganalisis berkata karier politik Najib akan bergantung kepada keputusan rayuan tersebut.
Tunku Mohar Mokhtar, penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, menyatakan bahawa Najib telah diberi semua peluang yang wujud untuk membuktikan dirinya tidak bersalah dan institusi kehakiman telah pergi sejauh yang mungkin untuk memastikan keadilan terlaksana dalam kes tersebut.
"Sekiranya rayuan ini memihak kepadanya, maka Najib sudah tentu akan membuat penampilan semula dalam politik. Dan melihat kepada popularitinya, Najib mungkin akan menjadi calon perdana menteri semula untuk Barisan Nasional. Bagaimanapun, beliau masih mempunyai beberapa kes lain di mahkamah dan mempunyai proses yang panjang untuk dilalui," kata Tunku Mohar kepada BenarNews.
Sekiranya mahkamah memutuskan untuk mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib, kata Tunku Mohar, ahli politik itu tidak akan dapat bertanding sekurang-kurangnya dalam tiga pilihanrya umum lagi memandangkan beliau perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun serta dilarang untuk menyertai pilihanraya selama lima tahun selepas selesai hukuman.
"Sekiranya ini berlaku, ia mungkin akan menamatkan karier politik beliau," kata Tunku Mohar.
James Chin, penganalisis politik dari Universiti Tasmania, turut menyokong pandangan itu.
"Semuanya bergantung kepada rayuan ini. Saya rasa ini sebab utama mengapa beliau melawan bersungguh-sungguh," kata Chin.
Najib, 69, tiba di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya sambil ditemani anaknya Mohd Nizar dan penyokong beliau.
Najib yang bergiat aktif dalam politik sejak di usia lewat 20an, pernah mencatatkan kejayaan pertama dalam menyandang jawatan besar kerajaan pada 1982 apabila dipilih menjadi Menteri Besar Pahang pada usia 29 tahun, beliau kemudiannya memegang beberapa jawatan dalam kabinet sebelum akhirnya dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-6.
Beliau memegang tampuk pemerintahan negara itu di antara tahun 2009 dan 2018, sebelum kerajaan pimpinannya kalah mengejut pada Pilihanraya Umum 2018 disebabkan oleh skandal 1MDB, antara lain.
Pada 21 Julai lepas, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan peguam Inggeris, Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan terakhirnya itu dengan bekas perdana menteri itu mahu mendapatkan khidmat Laidlaw kerana peguam itu dikatakan mempunyai 'kepakaran' tertentu, tetapi mahkamah mendapati beliau telah gagal untuk membuktikan bahawa tidak ada peguam Malaysia yang mempunyai kepakaran dan kebolehan yang setanding untuk mewakili Najib.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mohamad Nazlan mendapati Najib bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan dihadapinya berkaitan syarikat SRC.
Ia termasuk satu pertuduhan salah guna kuasa dalam meluluskan pinjaman sebanyak RM4 bilion oleh Kumpulan Wang Amanah Persaraan kepad SRC di antara 2011 dan 2012, serta tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM42 juta daripada dana SRC.
Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan peringkat pertama Najib sebelum ini telah mengekalkan sabitan itu serta hukuman yang dijatuhkan Hakim Mohamad Nazlan itu. Dalam keputusan penghakiman yang panjang lebar, Mahkaman Rayuan juga telah membuat kenyataan keras mengenai skandal tersebut dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang memalukan negara.
Najib masih bebas dengan jaminan sebanyak RM2 juta sementara menunggu proses rayuannya selesai.
Mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa, seorang penganalisis politik berkata masa depan Najib dalam politik sebagai pemimpin kanan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) - parti yang telah mendominasi kerajaan Malaysia selama beberapa dekad - berada dalam bahaya.
“Kita boleh menyamakan perbicaraan akhir ini dengan pertempuran maut mengejut antara perbicaraan akhir dan masa depan kerjaya politik Najib Razak,” kata Awang Azman Awang Pawi, seorang penganalisis politik dan profesor madya di Universiti Malaya, kepada BenarNews.
"Ia semakin kritikal sekarang kerana belaiu berdepan kemungkinan mendapat keputusan yang paling teruk."
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.