Kapal Selam: Najib Razak Disoal Agensi Anti-Rasuah Malaysia
2018.11.20
Kuala Lumpur, Malaysia

Bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak sekali lagi menjadi tumpuan pihak berkuasa apabila dipanggil oleh agensi anti-rasuah Malaysia untuk disoal siasat berhubung perjanjian pembelian kapal selam Scorpene pada tahun 2002 melibatkan beliau yang pada ketika itu merupakan menteri pertahanan.
Najib, 65, hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada kira-kira pukul 9.30 pagi Isnin bagi membantu agensi tersebut dalam siasatan mereka.
"Najib telah dipanggil pada pagi Isnin untuk membantu siasatan berhubung pembelian kapal selam itu,” kata sumber tertinggi SPRM yang tidak boleh dinamakan kepada BeritaBenar pada Isnin.
Menurut sumber itu lagi, bekas penasihat Najib iaitu Abdul Razak Baginda yang pernah dikaitkan dengan kes pembunuhan jurubahasa warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu turut berkemungkinan akan dipanggil untuk membantu siasatan dalam masa terdekat. Altantuya dilaporkan menjadi perempuan simpanan Abdul Razak.
Sementara itu, seorang lagi sumber SPRM semasa ditanya adakah benar Najib dipanggil ke pejabat suruhanjaya itu untuk disiasat mengenai pembelian kapal selam Scorpene memberitahu BeritaBenar pada Selasa, “Siasatan mengenai pembelian kapal selam itu bukanlah siasatan baru, dan kami mengambil kenyataan Najib berkiatan dengan pembelian kapal selam. Kes itu telah disiasat sejak lama dahulu.”
Perjanjian yang meragukan itu dikatakan berlaku pada 2002 apabila Abdul Razak, yang merupakan orang kepercayaan bekas menteri pertahanan itu menasihatkannya untuk membeli dua kapal selam daripada syarikat gergasi pembinaan kapal Perancis DCNI.
Najib pada ketika itu merupakan menteri pertahanan yang bertugas dibawah pentadbiran Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi iaitu dari tahun 2000 hingga 2008.
Perjanjian itu turut melibatkan Altantuya Shaaribuu yang kemudiannya dibunuh pada 2006 oleh dua anggota polis Malaysia di luar Kuala Lumpur.
Kedua-dua anggota tersebut pada masa itu berkhidmat sebagai pegawai keselamatan peribadi Najib dan telah didapati bersalah serta dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah Malaysia. Salah seorang daripadanya, walaubagaimanapun berjaya meloloskan diri ke luar negara ketika proses rayuan dijalankan. Beliau kini ditahan di pusat tahanan Imigresen Australia sejak Januari 2015.
Najib yang turut dikaitkan dengan pembunuhan itu menafikan sebarang kaitan dalam kes itu dan turut menyangkal dakwaan rasuah berkaitan pembelian kapal-kapal selam tersebut.
Kedua-dua kapal selam itu yang dinamakan KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak, tiba di Malaysia pada September 2009 dan Julai 2010.
Pada Mei lalu, selepas kejayaan Pakatan Harapan merampas Putrajaya dari Barisan Nasional, bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram telah mendesak pihak berkuasa untuk meneliti semula siasatan ke atas perjanjian Scorpene.
“Ini termasuklah pemberian beg berisi wang tunai ditambah dengan perbelanjaan mewah di Paris dan juga pembunuhan kejam Altantuya.
“Orang ramaai mungkin tertanya-tanya mengapa bekas peguam negara Abdul Gani Patail tidak menangkap dan menahan kedua anggota polis semasa pihak pendakwaraya membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan,” kata Ram kepada media sebelum ini.
Rosmah beri keterangan
Dalam kes yang berbeza, isteri Najib, Rosmah Mansor turut telah dipanggil oleh polis untuk siasatan pada Isnin.
Wanita berumur 66 tahun itu hadir di ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman pada hari dan waktu yang sama bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh Unit Anti-Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“Rosmah hadir di ibu pejabat JSJK pada pukul 9.30 pagi. Beliau dipanggil berhubung dengan barang kemas yang dirampas dari salah sebuah unit yang diperiksa polis pada bulan Mei lalu,” kata sumber polis tanpa penerangan lanjut.
Sebelum ini dilaporkan bahawa polis diberi sehingga 2019 untuk mengesahkan sama ada 44 barang kemas yang bernilai US$14.79 juta(lebih RM60 juta) didakwa dihantar kepada Rosmah oleh firma barangan kemas Lebanon telah dirampas.
Di dalam afidavit mahkamah polis mengatakan bahawa mereka tidak boleh memberikan kenyataan bersumpah tentang barang kemas yang dirampas dari Najib dan Rosmah.
Najib sekarang ini berdepan dengan lebih daripada 30 pendakwaan rasuah dan salah guna kuasa berkaitan dengan 1MDB.
Isteri beliau pula berdepan dengan 19 pendakwaan rasuah dan juga penyalahgunaan kuasa.
Kedua mereka mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan minta dibicarakan.