Bekas PM Malaysia Najib Razak Ditahan Berkaitan Siasatan Kes Rasuah 1MDB
2018.07.03
Kuala Lumpur, Malaysia

KEMASKINI pada 6.30 pm waktu tempatan pada 2018-07-03
Pegawai agensi pencegahan rasuah pada Selasa telah menahan bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak sebagai sebahagian daripada satu siasatan kes rasuah yang mempunyai kaitan dengan skandal kewangan besar-besaran, umum pihak berkuasa, dalam satu perkembangan menakjubkan selepas kekalahan beliau dalam pilihan raya umum lapan minggu lalu.
Najib, 64, telah ditahan di kediamannya di Kuala Lumpur pada sebelah petang dan akan didakwa di sebuah mahkamah di ibu negara Malaysia pada pagi Rabu, kata pegawai pasukan petugas khas yang dilantik oleh kerajaan baharu Malaysia untuk menyiasat skandal membabitkan dana negara 1MDB.
Pegawai-Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba pada sebelah petang di kediaman Najib di Kuala Lumpur dan membawanya ke ibu pejabat agensi itu di Putrajaya, di mana beliau dijangka ditahan semalaman, seorang pegawai atasan memaklumkan BeritaBenar.
“Pasukan petugas khas 1MDB hari ini mengesahkan bahawa bekas perdana menteri, Najib Razak, telah ditahan pada pukul 2.35 petang berkaitan siasatan kes SRC International Sdn Bhd,” menurut kenyataan pasukan petugas khas itu, merujuk kepada sebuah firma tenaga yang merupakan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), satu dana yang ditubuhkan oleh Najib pada 2009 bagi membantu pembangunan ekonomi dalam negara beliau.
Najib dijangka didakwa mengikut Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan atas dakwaan terlibat dalam kes tipu SRC International, kata sumber yang merupakan pegawai atasan kerajaan kepada BeritaBenar. Agensi berita rasmi Bernama telah memetik kenyataan satu sumber bahawa Najib akan berdepan lebih 10 pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah.
Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak memasuki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya untuk memberi kenyataan dalam kes 1MDB, 22 Mei 2018. [BeritaBenar]
Dalam satu rakaman yang dimuat naik ke halaman rasmi Facebook beliau selepas penahanannya, Najib telah memohon maaf kepada kerajaan baharu Malaysia.
“Diakui terdapat banyak kelemahan,” kata Najib. “Ya saya tidak sempurna, saya hanyalah manusia biasa. Namun percayalah, semua pertuduhan yang dibuat terhadap saya dan keluarga saya tidak semuanya benar.”
“Ya, rumah-rumah kami telah digeledah selama berhari-hari. Ya, saya telah disiasat dan beberapa barang telah dirampas. Tetapi semua ini bukan konklusif. Banyak berita dan gambar hanyalah khabar angin, dengar cakap dan fitnah,” kata Najib.
Beberapa minggu selepas parti gabungan pimpinan beliau, Barisan Nasional, disingkirkan daripada kuasa pada pilihan raya umum 9 Mei, Najib dan isteri telah dilarang oleh pihak berkuasa daripada meninggalkan negara dan telah dua kali dipanggil untuk disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Beliau turut mengundurkan diri sebagai pemimpin blok pemerintah dan parti penerajunya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
SPRM telah menyoal siasat beliau sebanyak dua kali mengenai isu bagaimana wang sebanyak RM2.6 bilion (kira-kira AS$642.6 juta) dan RM42 juta (kira-kira AS$10 juta) dari SRC International berada dalam akaun peribadinya, di mana beratus-ratus juta dolar lagi wang 1MDB didakwa turut berada.
Penahanan itu dibuat beberapa minggu selepas polis menggeledah sebuah bekas pejabat dan beberapa kediaman yang dikaitkan dengan Najib serta merampas beratus-ratus kotak beg tangan mewah dan berpuluh-puluh bagasi yang mengandungi wang tunai, barangan kemas serta barangan mewah. Polis berkata serbuan itu merupakan sebahagian daripada penyiasatan berhubung kes 1MDB.
Minggu lepas, polis Malaysia mengumumkan bahawa mereka telah mengira terdapat hampir AS$29 juta wang tunai yang ditemui dalam bagasi terbabit. Minggu lepas, polis berkata barangan kemas, wang tunai dan barangan mewah lain yang dirampas itu telah dinilai dan dianggarkan berjumlah AS$273 juta secara keseluruhannya.
Najib, yang juga bekas menteri kewangan, telah mengasaskan 1MDB sebagai sebuah dana kekayaan negara bagi mendapatkan projek yang bermanfaat kepada rakyat Malaysia. Bagaimanapun, menurut dokumen mahkamah yang dikemukakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, dana itu sebaliknya telah digunakan untuk memenuhi gaya hidup mewah mereka yang menguasainya, antara 2009 dan 2014.
Apabila pendakwa Amerika Syarikat memfailkan kes saman bagi melucutkan hak sivil berkaitan dengan 1MDB pada Julai 2016, mereka menyifatkan berlakunya tahap penipuan yang amat besar yang mana lebih AS$730 juta daripada apa yang dianggap sebagai wang 1MDB telah dialihkan dalam siri transaksi penuh rumit sebelum akhirnya dimasukkan ke dalam akaun peribadi “Pegawai Malaysia 1,” yang merupakan rujukan kepada Najib.
Jabatan Kehakiman AS menyifatkan kes 1MDB sebagai “skandal kleptokraso paling buruk sejak sekian lama,” dengan mendakwa bahawa berbilion-bilion dolar wang dana negara itu telah diseleweng dan digubah melalui pemerolehan hartanah dan aset lain.
“Amat malang dan begitu menyedihkan serta sesuatu yang tragik apabila sejumlah pegawai 1MDB yang korup telah menganggap dan memperlakukan dana awam ini seperti akaun bank peribadi,” kata Peguam Negara AS Loretta E. Lynch pada sidang akhbar pada 2016.
Najib, yang telah menafikan sebarang salah laku, berkata wang yang dimasukkan ke dalam akaun banknya adalah derma daripada seorang putera Arab Saudi.
Penahanan bekas perdana menteri itu dibuat selepas kerajaan baharu mempertingkat siasatannya ke atas skandal 1MDB.
Pada Isnin, SPRM berkata ia telah membekukan sejumlah 408 akaun bank yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana 1MDB dan menyoal siasat bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaannya pada 2015 bahawa beliau telah bertemu dengan wakil keluarga diraja Arab Saudi yang telah menyalurkan sumbangan ke akaun bank Najib.
Akaun-Akaun yang telah dibekukan membabitkan jumlah hampir AS$370 juta serta mempunyai kaitan dengan 81 individu dan 55 syarikat, kata agensi itu.
Zahid, 65, hadir ke SPRM pada Isnin berhubung isu 1MDB, dua hari selepas beliau dipilih sebagai presiden UMNO, sebuah parti pemerintah yang dahulunya berkuasa dan menerajui gabungan Barisan Nasional serta dipimpin oleh Najib sebelum ini.
Gabungan Pakatan Harapan, yang dipimpin oleh perdana menteri baharu Malaysia, Mahathir Mohamad, telah memenangi pilihan raya umum selepas berikrar untuk membersihkan rasuah dalam kerajaan dan menyiasat skandal 1MDB sehingga ke akar umbi.
Kenyataan Zahid kepada suruhanjaya itu dbuat seminggu selepas agensi tersebut menahan reman Amhari Efendi Nazaruddin, seorang bekas pembantu Najib, dan mengambil kenyataannya sebagai sebahagian daripada siasatan kes 1MDB.
Pada Selasa, SPRM turut menyoal siasat anak tiri Najib, Riza Aziz.
Red Granite Pictures, sebuah syarikat yang diasaskan bersama oleh Riza, telah bersetuju pada Mac tahun ini untuk membayar sejumlah AS$60 juta kepada kerajaan Amerika Syarikat bagi menyelesaikan satu saman yang mendakwa bahawa filem-filem keluarannya, termasuk “The Wolf of Wall Street,” telah dihasilkan menggunakan dana yang telah diseleweng daripada 1MDB, menurut dokumen mahkamah.
Sementara itu, kira-kira 50 orang telah berkumpul di luar ibu pejabat SPRM pada malam Selasa sebagai tanda sokongan kepada bekas pemimpin itu.
Sambil melaungkan “Hidup Najib,” kumpulan itu telah menyalakan lilin di luar bangunan agensi pencegahan rasuah dan menyoal keperluan mengambil tindakan untuk menyumbat Najib ke dalam tahanan semalaman sebelum didakwa pada Rabu.
“Apa tujuan beliau ditangkap?” kata Lokman Noor Adam, ketua kumpulan itu, kepada penyokongnya.
“Ia bertujuan untuk mematahkan semangat beliau dan menyebabkan beliau berputus asa.”