Mahkamah Malaysia Benarkan Rayuan Najib, Tangguh Perbicaraan
2019.02.11
Kuala Lumpur, Malaysia

Mahkamah Rayuan pada Isnin menangguhkan perbicaraan permulaan kes skandal rasuah terhadap bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak, keputusan yang memihak kepada pasukan pembelaan yang memohon penangguhan itu.
Tiada tarikh baharu ditetapkan untuk memulakan perbicaraan tujuh daripada 42 pertuduhan terhadap Najib, yang sebelum ini dijadualkan bermula pada Selasa dengan sembilan saksi disediakan oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan, menurut laporan.
"Pada pandangan kami jika suatu penangguhan tidak diberikan dan perbicaraan diteruskan, ia akan menyebabkan pembatalan yang akan menyebabkan pembaziran masa dan wang awam," putus panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Malaysia pada Isnin.
Najib memfailkan permohonan pada Jumaat lepas untuk menangguhkan perbicaraan kes itu selepas Peguam Negara Tommy Thomas mengemukakan petisyen sehari sebelumnya untuk memindahkan semula tujuh pertuduhan dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Sesyen.
Thomas berkata prosedur yang digunakan pada Ogos 2018 untuk memindahkan pertuduhan terbabit ke Mahkamah Tinggi dari mahkamah rendah boleh dicabar secara perundangan, oleh itu beliau kini mengulangi prosedur itu untuk memastikan perkara tersebut tidak berlaku.
"Langkah-langkah prosedural ini adalah perlu untuk mengelak sebarang penangguhan yang tidak perlu dalam perbicaraan itu," tulis Thomas dalam petisyennya pada Khamis, menyatakan bahawa pasukannya bersedia untuk memulakan perbicaraan pada 12 Feb.
Najib berdepan perbicaraan membabitkan tujuh pertuduhan berkaitan dakwaan bahawa sejumlah RM42 juta (kira-kira AS$10.3 juta) telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi beliau secara tidak sah daripada SRC International, anak syarikat dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pertuduhan itu membabitkan tiga dakwaan pecah amanah jenayah, tiga pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa.
Bekas perdana menteri itu, yang mengasaskan 1MDB padaa 2009, dijangka berdepan perbicaraan tambahan membabitkan sejumlah 42 pertuduhan berkaitan kerugian berbilion dolar yang dialami oleh dana itu.
Jabatan Kehakiman AS, yang turut memfailkan kes jenayah berkaitan skandal 1MDB, menyifatkannya sebagai “skandal kleptokrasi paling buruk dalam sejarah ketika ini.”
Tommy Thomas, yang juga ketua pendakwaan, berhujah bahawa perbicaraan tidak boleh ditangguhkan kerana ia adalah sebuah kes berkepentingan awam.
Beliau berkata permohonan untuk menangguhkan kes itu adalah satu taktik untuk melengah-lengahkan perbicaraan.
Hakim Mahkamah Rayuan Ahmadi Asnawi bersetuju dengan Thomas bahawa kes itu adalah kes yang mempunyai kepentingan awam namun tidak bersetuju dengan hujahnya untuk meneruskan kes itu.
“Kami berpendapat bahawa kami tidak melihat sebarang bukti berkaitan taktik perundangan untuk melengah-lengahkan perbicaraan,” kata Ahmadi.
Kes yang rumit
Najib berdepan 27pertuduhan pengubahan wang haram, sembilan pecah amanah jenayah, lima penyalahgunaan kuasa dan satu mengganggu audit.
Sejak beliau didakwa pada Julai 2018 berhubung skandal itu, Najib tidak mengaku bersalah dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah mencuri wang rakyat Malaysia.
Pada Isnin, orang awam berkata mereka memahami kerumitan kes yang dihadapi Najib dan tidak terkejut dengan penangguhan itu.
Pakar keselamatan Khen Han Ming berkata pihak pendakwaan dan pembelaan perlu diberikan masa secukupnya untuk menyediakan hujah mereka.
“Ini adalah satu kes yang rumit. Berikan mereka masa. Jika pihak pembelaan mempunyai alasan untuk penangguhan, biarkan. Pada peringkat ini, kita tidak harus membenarkan perbicaraan dilakukan oleh media,” katanya.
Seorang lagi rakyat Malaysia, Najma, 35, bersetuju.
“Setiap orang berhak mendapat satu perbicaraan yang adil,” katannya sambil menambah, “apa pun ini adalah kali pertama kes ini ditangguhkan.”