Najib Razak Tarik Balik Saman Terhadap Tiga Individu Siasat 1MDB

Alfian ZM Tahir
2018.07.16
Kuala Lumpur, Malaysia
180716-MY-Najib-1000.jpg Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak memberi isyarat senyap semasa meninggalkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, 24 Mei 2018.
AP

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MBD) pada Isnin menarik balik saman terhadap tiga penyiasat kanan yang mengendalikan siasatan berhubung penyelewengan dana berbilion ringgit dalam syarikat pelaburan strategik milik negara itu.

Bercakap kepada BeritaBenar, peguam Badrul Hisham Abdullah berkata tindakan tersebut diambil setelah mendapat persetujuan daripada Najib sendiri selepas satu perbincangan bersama barisan peguam dan keputusan berkenaan dicapai beberapa hari yang lalu.

"Penarikan saman itu adalah perkara yang terbaik. Kami akan berbincang lagi memandangkan senario kini sudah berubah," kata Badrul.

Najib telah memulakan memfail saman secara berasingan terhadap tiga individu iaitu Peguam Negara, Tommy Thomas; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Shukri Abdull; dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Amar Singh Ishar Singh pada 30 Jun lalu.

"Oleh kerana saman itu dikeluarkan sebelum Najib didakwa, kami perlu bergerak mengikut masa dan ketika yang sesuai. Oleh itu, kami menarik balik saman tersebut untuk memastikan kami mampu melakar gerak langkah yang baru bersama barisan peguam yang lain," tambah peguam bekas perdana menteri berkenaan.

Badrul turut mengesahkan bahawa pasukannya akan mengemukakan saman baru selepas selesai berbincang dengan anak guamnya.

Walaubagaimanapun, Najib ketika ditanya sewaktu upacara mengangkat sumpah di parlimen hari ini, tidak memberi maklum balas kepada wartawan mengenai penarikan saman tersebut.

Dalam saman pemula yang dikemukakan dua minggu lepas, Najib memohon pengisytiharan dan perintah bahawa ketiga-tiga responden merupakan pihak berkepentingan dalam penyiasatan kes 1MDB dan bertindak secara prejudis terhadapnya (Najib), oleh itu pembabitan mereka dalam mengendalikan kes berkenaan adalah tidak sah.

Laporan berita tempatan berkata bahawa didalam afidavit sokongannya, Najib mendakwa, Thomas dengan jelas menulis artikel yang merumuskan bahawa wang 1MDB dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau, sebelum dilantik mengetuai Pejabat Peguam Negara lagi.

Najib berkata, Thomas menulis artikel berhubung kait 1MDB bertajuk 'Grand Lacerny In 1MDB' itu pada Julai 2016.

Katanya, Thomas di dalam satu artikel jelas menunjukkan tidak menyukainya, dan bekas perdana menteri itu juga melahirkan kebimbangan yang Thomas  akan tetap mencari jalan untuk mengenakan satu pertuduhan terhadap beliau.

Sementara itu, Najib berkata, Mohd Shukri yang baru dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sudah merumuskan bahawa beliau antara penerima wang sebanyak RM42 juta dan RM2.6 bilion dalam satu sidang media berhubung SRC International Sdn Bhd sambil menegaskan yang sidang media itu dibuat sebelum beliau [Najib] dipanggil untuk  memberikan keterangan kepada SPRM.

Beliau selaku plaintif berkata, kenyataan media itu bersifat emosional dan berunsur dendam, malah lebih malang lagi menggambarkannya sebagai seorang pesalah.

Sementara itu, Najib berkata, Amar Singh pula bertanggungjawab mengetuai serbuan ke atas premisnya, termasuk yang didiami anak-anaknya di Pavilion Residence dan yang dipinjam daripada seorang rakan untuk menempatkan barang-barang dipindahkan dari kediaman rasmi di Seri Perdana.

Beliau berkata, serbuan oleh responden dan pasukan itu tidak mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) dan laporan polis sudah dibuat mengenainya.

Sementara itu, Shukri ketika dihubungi BeritaBenar enggan mengulas panjang penarikan saman tersebut tetapi beliau mengucapkan terima kasih kepada Najib yang juga bekas presiden Umno.

"Terima kasih Datuk Seri Najib, itu sahaja komen saya," Shukri berkata.

Sejak disingkir daripada tampuk kuasa pada pilihan raya umum Mei lepas, Najib dan isterinya, Rosmah Mansor, telah dipanggil untuk disoal siasat oleh SPRM berkaitan 1MDB.

Pihak berkuasa Malaysia telah menggeledah rumah dan hartanah lain yang dikaitkan dengan pasangan itu berjumlah RM117 juta (AS$29 juta) termasuk wang tunai, barang kemas dan barangan mewah lain yang membawa kepada jumlah kesemuanya antara RM900 juta (AS$225 juta) dan RM1.1 bilion (AS$273 juta). Kerajaan mengambil langkah untuk membekukan akaun bank Najib berikutan serbuan tersebut.

Setelah dituduh di mahkamah minggu lalu, Najib dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta - separuh daripadanya dibayar pada hari itu manakala separuh lagi dibayar pada Isnin lalu.

Kerana akaun banknya dibekukan, bekas pemimpin UMNO itu berkata bahawa beliau terpaksa bergantung kepada derma daripada anggota parti untuk membayar pelbagai bil.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.