Najib Razak Akan Bertemu Trump Minggu Depan Walaupun Dibelenggui Skandal Rasuah
2017.09.08
Washington DC

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak akan bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bagi mengadakan perbincangan dua hala minggu depan, di tengah-tengah kritikan bahawa White House akan menjadi tuan rumah kepada pemimpin yang dibelenggui skandal rasuah membabitkan berjuta-juta dolar yang sedang disiasat di Washington dan enam negara lain.
Lawatan itu adalah bersempena ulang tahun ke-60 perhubungan dua hala AS-Malaysia yang akan turut membincangkan mengenai langkah "mengukuhkan dan memperluaskan lagi” hubungan serta meningkatkan kerjasama serantau dengan satu daripada rakan paling rapat AS di Asia Tenggara, kata White House menjelang pertemuan 12 Sept itu.
Sementara itu, Najib berkata bahawa perdagangan dan keselamatan adalah antara topik perbincangan pada lawatan pertamanya ke White House sejak menyandang jawatan perdana menteri pada 2009, dan memberitahu bahawa kedua-dua negara, yang merupakan sekutu utama dalam memerangi keganasan, sedang meneliti perjanjian perdagangan dua hala.
"Saya berharap Amerika Syarikat akan menganggap Malaysia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam soal perdagangan, pelaburan, perkongsian keselamatan dan memerangi keganasan," katanya kepada media Malaysia pada Jumaat.
Namun, pertemuan Najib dan Trump, itu telah didominasi oleh kritikan kumpulan-kumpulan di Malaysia dan Amerika Syarikat terhadap White House kerana menjadi tuan rumah kepada Najib, yang kedudukannya di persada antarabangsa telah terjejas berikutan dakwaan mengenai peranannya dalam skandal berbilion dolar membabitkan dana pembangunan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat adalah antara agensi mencegah jenayah di enam negara, termasuk Singapura dan Switzerland, yang menyiasat skandal 1MDB di mana lebih daripada $4.5 bilion didakwa diselewengkan.
Najib didakwa telah menerima hampir $700 juta, yang asalnya daripada 1MDB, berdasarkan saman undang-undang yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman AS, yang pada bulan lalu menyatakan bahawa ia telah melancarkan siasatan jenayah berhubung isu itu.
Tahun lepas, jabatan itu memfailkan lebih dua belas saman dalam usaha untuk mendapatkan semula asset-aset yang didakwa dicuri oleh ahli-ahli perniagaan yang berkaitan dengan 1MDB. Aset-aset tersebut termasuklah kalung berlian untuk isteri Najib, Rosmah Mansor.
Wall Street Journal yang berpejabat di AS, dalam rencana pengarangnya yang menyengat, telah mempersoalkan keputusan White House untuk mengadakan pertemuan dengan Najib, yang memenjarakan pemimpin pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim dan "merupakan suspek dalam skandal rasuah yang melingkari dunia."
Ia turut meminta White House untuk mencari "alasan diplomatik" bagi membatalkan lawatan itu. "Adalah lebih baik untuk berasa malu sekarang daripada memberi peluang bergambar kepada pemimpin yang dibelenggui skandal itu,” kata akhbar berkenaan.
Pembangkang: Terbitkan laporan ketua audit negara
Di Malaysia, pemimpin pembangkang pada Jumaat menggesa kerajaan supaya mendedahkan laporan ketua audit negara mengenai skandal 1MDB sebelum Najib berlepas ke Amerika Syarikat.
"Pelbagai spekulasi berlegar di fikiran rakyat Malaysia mengenai mengapa pertemuan itu diadakan sekarang, termasuk sama ada ia adalah cubaan untuk menutup kes Jabatan Kehakiman AS," kata Wan Azizah Wan Ismail, ketua pembangkang di Parlimen yang juga isteri Anwar.
"Jika laporan berkenaan tidak diterbitkan, mesyuarat itu ... boleh dilihat sebagai percubaan untuk 'membersihkan' nama Najib," katanya dalam satu kenyataan.
Seorang ahli parlimen pembangkang dipenjarakan selama 18 bulan kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan satu muka surat daripada laporan ketua audit negara mengenai isu 1MDB.
Human Rights Watch yang berpejabat di AS berkata, kerajaan Najib menggunakan undang-undang seperti OSA dan Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) untuk menahan orang yang mengkritiknya berhubung hal ehwal 1MDB itu.
Namun, Trump mungkin berpendapat pertemuan tersebut sebagai sesuatu yang memanfaatkan kerana beliau boleh membincangkan isu-isu yang kritikal bagi Amerika Syarikat seperti Korea Utara dan memerangi keganasan dengan Najib, kata beberapa penganalisis.
"Ya, tidak syak lagi, Korea Utara akan menjadi satu daripada agenda perbincangan itu," kata Azmi Hassan, seorang profesor geopolitik di Universiti Teknologi Malaysia, di tengah-tengah laporan bahawa Trump sedang memujuk pemimpin-pemimpin Asia Tenggara supaya mengetatkan sekatan terhadap Pyongyang berikutan program senjata nuklearnya yang tidak sah.
Malaysia adalah antara negara di Asia Tenggara yang mengekalkan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Korea Utara.
Ia telah mengurangkan hubungannya dengan Pyongyang selepas beberapa suspek pengintip Korea Utara membunuh Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, di sebuah lapangan terbang Kuala Lumpur pada Februari lalu.
Hata Wahari di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.