Video ‘Like A Dog’: Namewee Ditahan Polis

Staf BeritaBenar
2018.02.22
Kuala Lumpur
180222-MY-Namewee1000.jpg Penyanyi Malaysia, Namewee tiba untuk menghadiri Anugerah Golden Melody ke-28 di Taipei, Taiwan, 24 Jun, 2017.
AFP

Pemuzik kontroversi Malaysia, Namewee, telah ditahan kerana "menghina agama" dalam satu video satira yang dikeluarkan sempena Tahun Baru Cina yang menampilkan para pelakon memakai topeng anjing sambil beraksi di kawasan yang terletak di berhadapan dengan pejabat Perdana Menteri Najib Razak di Putrajaya.

Penahanan Namewee oleh pihak berkuasa Malaysia telah dimaklumkan melalui satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis DiRaja Malaysia [PDRM] Wan Ahmad Najmuddin Mohd pada Khamis.

“Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee ditahan berhubung dengan sebuah klip video berunsur hinaan terhadap agama yang boleh membawa implikasi negatif terhadap perpaduan dan keharmonian kaum,” kata Wan Ahmad Najmuddin.

Katanya, sebanyak empat laporan polis diterima berhubung klip video oleh pemuzik itu yang kini ditahan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Namewee, 34, ditahan selepas dipanggil untuk beri keterangan kepada pihak polis di Bukit Aman pada petang Khamis.

Video terbaru berdurasi lebih 3 minit yang bertajuk “Like A Dog” mula disiarkan di laman Youtube oleh Namewee sendiri pada 10 Febuari lalu.

Ia memaparkan individu memakai topeng anjing, haiwan yang dianggap sebagai pantang larang dalam negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, dengan tarian lucah berlatarbelakangkan bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Selain itu, video itu, turut mempersendakan perbuatan rasuah dengan liriknya berkisar tentang salakan anjing di beberapa negara lain termasuk Malaysia, "Mari Mari Wang Wang" atau "mari kita dapatkan wang."

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Muhamad Fuzi Harun berkata, pihak polis telah membuka kertas siasatan berhubung klip video berkenaan.

Video penjelasan

Namewee pada 16 Feb lepas turut menyiarkan video penjelasan tentang lagu ‘Like A Dog” beliau dengan memberi lima sebab mempertahankan tindakan beliau membuat rakaman itu.

“Saya mengeluarkan video lagu Tahun Baru Cina yang bertemakan binatang dan lagu lain yang berunsur lucu untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina dan sama sekali tidak ada niat untuk menghina mana-mana agama ataupun bangsa,” katanya dalam rakaman penjelasan disiarkan di laman Youtube.

Beliau berkata, rakaman itu dibuat di kawasan lapang di Putrajaya dan bukannya di Masjid, dan bangunan yang terletak di belakang adalah lebih satu kilometer dari pejabat perdana menteri.

“Tenguk betul-betul, kami tidak menyentuh mana-mana bahagian kawasan ibadah dalam muzik video, jadi saya minta semua pihak yang berkenaan tidak salah faham dan marah kerana laporan berita yang tidak tepat,” sambil menyalahkan media Malaysia kerana membuat laporan kurang tepat mengenai videonya itu.

Pada Ogos 2016, Namewee telah ditahan selama empat hari bagi membantu siasatan kes klip video “Oh My God” yang dirakam di sebuah masjid di Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang didakwa menghina Islam.

Klip video sepanjang 4.05 minit yang diarah dan diterbitkan oleh Namewee dengan tiga orang ahli kumpulan band dari Taiwan, Nine-One-One telah dirakam di beberapa tempat ibadat di sekitar Pulau Pinang.

Klip tersebut memaparkan rakaman empat lelaki termasuk Namewee yang menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin yang menggunakan beberapa terma agama seperti “Allah” dan “Hallelujah” serta “Namo Amitabha”.

Klip awal video yang dikeluarkan, sebulan sebelum beliau ditangkap, juga memperlihatkan empat individu berkenaan menyanyi dan berjoget dihadapan kuil Buddha, kuil Tao, gereja dan masjid.

Namun, muatan naik terkini video klip berkenaan ke laman YouTube pada Ogos, tidak lagi mengandungi klip di depan masjid itu.

Video klip itu telah  menjadi viral dan menimbulkan kemarahan orang ramai kerana didakwa menghina Islam sehingga menyebabkan  kira-kira 20 NGO membuat laporan polis terhadap Namewee.

Pada 2007, pemuzik kontroversial itu telah menimbulkan kekecohan apabila menghasilkan video rap, yang diubah suai dari lirik lagu Negaraku. Video tersebut dikatakan menghina negara, polis, orang Melayu serta agama Islam.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.