Sultan Nazrin: Tun Razak Pasti Kecewa Lihat Situasi Negara

Hata Wahari
2017.08.29
Kuala Lumpur
170829-my-nazrin100.jpg Naib Canselor Universiti Malaya Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (Kanan) menyampaikan gelaran Doktor Persuratan kepada Raja Salman bin Abdulaziz (Kiri) di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 27 Februari, 2017.
AFP

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah bertitah sekiranya Perdana Menteri Kedua, Abdul Razak Hussein masih hidup pastinya beliau kecewa dengan keadaan yang melanda Malaysia pada ketika ini, dengan turut menyenaraikan empat senario yang akan membawa kepada kekecewaan itu.

Sultan Nazrin yang juga merupakan Sultan Perak, pada satu majlis di Kuala Lumpur bertitah, kekecewaan itu yang dikaitkan dengan empat senario negara pada masa kini adalah mengenai  perpaduan negara, kegagalan perlaksanaan dasar pelajaran, gelinciran dasar ekonomi serta budaya rasuah yang melanda negara.

“Tun Abdul Razak, andai kata masih bernafas, pastinya pada hari ini akan kecewa dan ralat melihat empat senario yang sedang berlaku di dalam negara,” titah baginda semasa melancarkan buku ` Fulfiling A Legacy – Tun Razak Foundation ` pada Selasa.

Abdul Razak Hussein merupakan Perdana Menteri Kedua Malaysia yang meninggal dunia pada 14 Januari 1976 ketika berusia 53 tahun di London kerana penyakit kanser.

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak yang diselubungi dengan pelbagai tuduhan berkaitan dengan dana pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan anak sulung kepada Abdul Razak.

Najib yang merupakan Perdana Menteri ke-enam yang mengilhamkan dan mempengerusikan lembaga penasihat dana pelaburan itu telah menafikan sebarang salah laku sejak Wall Street Journal melaporkan mengenainya pada Julai 2015. Kes tersebut kini disiasat di sekurang-kurangnya enam buah negara.

Sultan Nazrin sering bertitah di majlis-majlis rasmi mengenai kegiatan rasuah, pecah amanah serta perpaduan yang dilihat kian goyang di Malaysia.

Pada majlis itu Sultan Perak bertitah, Abdul Razak adalah seorang pemimpin yang mementingkan perpaduan rakyat dengan memetik dari satu halaman buku berkenaan yang mencatatkan wawasan perpaduan Abdul Razak iaitu “Masa depan negara kita bergantung kepada satu perkara yang penting, iaitu perpaduan rakyat kita dari pelbagai kaum.”

“Sedangkan dalam keghairahan mahu mendapat sokongan, parti-parti politik pada masa ini, semakin cenderung memilih untuk menyalakan pelbagai bara sensasi isu agama dan isu kaum,” titah baginda.

Luluh hati

Bagi senario kedua, baginda bertitah, kaedah perlaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan semakin gagal memenuhi matlamat dan peranan sebagai taman asuhan menyatu padukan generasi muda daripada pelbagai kaum serta tidak mempunyai peluang berinteraksi dan mengenali sesama lain.

Senario ketiga titah baginda, berlaku pelbagai gelinciran daripada landasan sebenar Dasar Ekonomi Baru, terutama penyalahgunaan peluang pembahagian kekayaan, hingga mengakibatkan berlaku ketirisan pegangan ekonomi bumiputera secara besar-besaran.

“Keempat, berkaitan dengan rasuah dan integriti.  Akan luluhlah hati Abdul Razak, mengikuti pendedahan demi pendedahan, tangkapan demi tangkapan kerana perbuatan rasuah yang berlaku secara besar-besaran, melibatkan penjawat tinggi dan individu terpelajar, dengan jumlah yang banyak, yang mencalar nama baik negara bangsa,”  titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah agar wawasan dan semangat pengorbanan Abdul Razak tidak akan padam daripada minda dan hati rakyat Malaysia.

“Semoga wawasan dan nilai-nilai murni Tun Abdul Razak dihayati, dihidupkan dan disemarakkan dalam minda dan jiwa setiap warga Malaysia,”.

Tidak tamak kepada kuasa

Sultan Nazrin bertitah Abdul Razak juga memberi penekanan terhadap dua elemen yang mencerminkan nilai-nilai keinsanan dan kerohanian Islam yang amat wajib diselami dan dihayati oleh pemimpin dan rakyat Malaysia.

“Pertama, sifat tidak tamak kepada kuasa, terbukti dengan kesediaan mengembalikan kuasa kepada rakyat serta kesediaan mahu menyerahkan kuasa secepat mungkin kepada barisan pengganti dengan memberikan amanah, tanggungjawab dan kepercayaan kepada tenaga muda dan barisan pelapis baik di dalam parti, di dalam kerajaan dan di dalam pentadbiran,” titahnya.

Yang kedua, menurut titah Sultan Nazrin, adalah sifat amanah dan jujur dalam bekerja, menguruskan perbelanjaan negara

“Kedua,  sifat-sifat amanah dan jujur, perlu dijelmakan dengan amalan pentadbiran yang telus dan berintegriti; sangat berhati-hati membelanjakan wang negara, teliti memastikan wang negara tidak disalah belanjakan untuk diri dan keluarga; bertegas membayar balik setiap sen wang negara walaupun harga sebotol minyak rambut atau sebatang berus gigi keperluan peribadi, yang mungkin kakitangan terlepas pandang, telah tersalah guna wang pejabat untuk membelinya semasa bertugas di luar negara,” titah Sultan Nazrin.

Hampir AS$700 juta [RM2.6 bilion] wang 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Najib menjelang pilihanraya umum Malaysia pada 2013.

Najib yang didesak untuk meletak jawatan telah berulang kali menafikan sebarang salah laku, dan 1MDB, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia, juga telah menafikan sebarang kesalahan.

Bagaimanapun di Malaysia masih tiada pendakwaan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam skandal dana negara itu, yang turut menjadi tumpuan pihak berkuasa beberapa buah negara lain seperti Singapura, Switzerland dan juga Amerika Syarikat.

Pada bulan lepas pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) telah mempergiatkan usaha bagi menyita beberapa aset, termasuk seutas kalung berlian milik isteri Perdana Menteri yang didakwa telah dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada dana milik negara Malaysia.

Peguam Negara Malaysia Apandi Ali sebelum ini telah menyatakan bahawa dana yang disalurkan ke dalam akaun Najib adalah satu sumbangan politik dari Arab Saudi dan kebanyakan wang tersebut telahpun dikembalikan.

Beliau tampil mempertahankan Najib dan menyatakan bahawa Jabatan Keadilan AS telah menghina perdana menteri.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.