McDonald, Panasonic Jawab Dakwaan Penyelewengan Tempat Kerja di Malaysia
2016.12.08
Kuala Lumpur

Syarikat sekutu Malaysia bagi firma multinasional McDonald dan Panasonic berkata, mereka sedang berusaha untuk menangani dakwaan eksploitasi pekerja asing seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar British baru-baru ini.
Jurucakap cawangan tempatan bagi kedua-dua rangkaian hamburger dan syarikat gergasi elektronik itu memberitahu BeritaBenar bahawa mereka telah mengambil tindakan terhadap syarikat yang membekalkan tenaga kerja, untuk memastikan bahawa pekerja asing tidak dieksploitasi di tempat kerja mereka.
Pengarah Urusan Golden Arches Restaurants Sdn Berhad, sekutu gabungan McDonald Malaysia berkata bahawa mereka telah menghentikan kontrak dengan firma pengambilan pekerja yang telah dinamakan dalam salah satu artikel yang disiarkan bulan lepas oleh The Guardian.
"Selepas beberapa percubaan untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan HR Human Connection gagal, McDonald mengambil keputusan untuk menamatkan urusannya dengan syarikat yang membekalkan tenaga kerja beberapa bulan lalu," Azmir Jaafar memberitahu BeritaBenar, sambil menambah bahawa Golden Arches akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang menyiasat penyalahgunaan tenaga buruh seperti didakwa .
Salah satu artikel dalam akhbar The Guardian mendakwa pendatang Nepal yang bekerja untuk cawangan McDonald di Malaysia telah dibayar serendah AS$0.75 sen sejam dan telah "ditipu dengan gaji bulanan." Usaha BeritaBenar untuk menghubungi wakil HR Human Connection dan firma pekerjaan lain tidak berjaya.
Jumlah sebenar yang dicatatkan oleh firma tenaga kerja Malaysia, mendapati terdapatnya kira-kira dua juta pekerja tanpa izin di negara itu yang berasal dari Bangladesh, Indonesia, Nepal dan negara-negara lain.
Antaranya, kira-kira 700 ribu adalah pekerja asing dari Nepal yang kebanyakannya bekerja di ladang dan kilang dengan menghantar pulang sejumlah RM5 bilion (AS$ 1.1 bilion) dalam bentuk kiriman wang setiap tahun - kira-kira 40 peratus daripada sektor penghantaran wang keseluruhan Nepal - menurut seorang pegawai di pejabat Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur.
Dakwaan yang sama terhadap penyalahgunaan dalam rangkaian bekalan bagi sekutu Panasonic dan Samsung Malaysia yang telah dibuat oleh pendatang Nepal dalam artikel Guardian, yang secara berasingan telah mendakwa terdapatnya penyalahgunaan tenaga buruh dalam industri elektronik Malaysia - sektor yang besar dalam ekonomi negara. Sumber itu berkata di dalam artikel pada 20 Nov lepas, bahawa mereka bekerja selama 14 jam sehari, dan telah ditipu mengenai pembayaran gaji dengan pasport mereka dirampas.
"Pada masa tertentu kami bercakap dengan syarikat-syarikat yang terlibat, tetapi masalah tetap berlaku. Kami mahu kerajaan Malaysia untuk campur tangan dalam menghentikan penyelewengan ini, pegawai di Kedutaan Nepal memberitahu BeritaBenar. "Kerajaan perlu segera meminta penjelasan daripada firma-firma yang dinamakan dalam laporan itu."
Samsung tidak menjawab pertanyaan daripada BeritaBenar, tetapi jurucakap Panasonic berkata ia sedang menyiasat dakwaan tersebut dan telah mendapati bahawa salah satu kontraktor buruh yang membekalkan tenaga kerja kepada firma itu, telah melanggar peraturan dan sejak itu, Panasonic telah mengarahkan kontraktor berkenaan untuk mengambil tindakan dengan serta-merta, kata jurucakap itu.
"Kami menghendaki semua pembekal kami dengan mematuhi dasar dan deklarasi CSR [Tanggungjawab Sosial Korporat]. Peraturan ini digariskan dalam terma kontrak dan syarat-syarat yang telah ditetapkan dengan setiap pembekal Panasonic. Kami tidak akan bertolak ansur dengan pelanggaran syarat-syarat ini, "kata jurucakap itu kepada BeritaBenar melalui e-mel.
‘Berleluasa'
Menurut Pengerusi jawatankuasa yang berurusan dengan isu pekerja asing dan imigresen bagi Majlis Peguam Malaysia, negara itu tidak mempunyai sumber tenaga yang tegas untuk menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang buruh bagi melindungi hak pekerja asing.
"Terdapat juga rasuah berleluasa berkenaan dengan keseluruhan pengambilan dan penggajian pekerja asing di semua peringkat, " pengerusi jawatankuasa M. Ramachelvam memberitahu BeritaBenar.
"Terdapat keperluan untuk menjalankan pemeriksaan buruh secara mengejut di tapak tempat kerja bagi memastikan pekerja tidak ditipu - dari segi gaji dan penginapan mereka," Adrian Pereira, Pengarah Eksekutif Utara Selatan Initiative (ISN), sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak dan keadilan sosial tempatan memberitahu BeritaBenar.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata ia telah menggesa Kementerian Sumber Manusia menyiasat dakwaan eksploitasi pekerja asing itu.
“Ini berlaku secara berleluasa tetapi tidak diserlahkan kerana pekerja tidak mengetahui [cara] bagaimana untuk [mengadu] dan tidak ada tempat khusus untuk mereka (mengadu)," Setiausaha Agung MTUC J. Solomon memberitahu BeritaBenar.
Seorang pegawai kanan Kementerian Sumber Manusia berkata beliau telah menghantar pertanyaan kepada Jabatan Buruh mengenai dakwaan tersebut dan sedang menunggu maklum balas sebelum boleh bertindak terhadap dakwaan-dakwaan berkenaan.