Polis Tahan Ketua Geng Punya Kaitan Bos Sindiket China
2022.04.11
Kuala Lumpur

KEMASKINI pada 8.30 malam waktu tempatan ETS - 2022-04-11
Polis Malaysia mengumumkan penahanan seorang lelaki yang disyaki mengetuai satu sindiket jenayah terancang di negara itu dan dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan sindiket haram di negara China, apabila suspek sendiri telah menyerah diri kepada pihak berkuasa pagi Isnin selepas lebih setahun hidup dalam buruan.
Nicky Liow Soon Hee, yang berdepan dengan 26 pertuduhan pengubahan wang haram, menjadi individu dikehendaki sejak Mac 2021 apabila pihak berkuasa menjalankan operasi besar-besaran bagi membanteras sindiket diketuainya dan menahan lebih 60 orang termasuk beberapa anggota agensi penguatkuasaan undang-undang Malaysia, menurut polis.
Lelaki tersebut dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Wan Kuok Koi atau juga dikenali sebagai Broken Tooth, ketua kumpulan kongsi gelap 14K Triad dan merupakan salah sebuah kumpulan jenayah terancang berasal dari China yang terbesar di dunia.
"[Nicky] Liow Soon Hee atau dikenali sebagai Nicky Liow telah ditangkap pada kira-kira jam 11 pagi 11 April 2022 di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia di Jalan Tun Razak setelah menyerah diri secara sukarela kepada polis," kata Pengarah Jabatan itu Kamarudin Md Din dalam satu kenyataan media dikeluarkan Ibupejabat Polis Malaysia, Bukit Aman.
"Liow akan dihadapkan ke mahkamah untuk menghadapi 26 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001," tambah beliau, merujuk kepada Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Menurut polis, Liow dijadualkan dibawa ke Mahkamah Shah Alam di negeri Selangor pada Selasa. Di bawah undang-undang mengenai kesalahan pengubahan wang haram tersebut, dan berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta (AS$1.18 juta) atau penjara tidak melebihi 15 tahun, atau kedua-duanya sekali, bagi setiap pertuduhan.
Kamarudin berkata polis telah mendapatkan waran tangkap ke atas Liow selepas Jabatan Siasatan Jenayah Komersil memfailkan pertuduhan pengubahan wang haram terhadap suspek di Mahkamah Shah Alam, atas arahan Jabatan Peguam Negara.
supaya menyerahkan wang dalam jumlah yang besar. Aktiviti tersebut membolehkan kumpulan jenayah berkenaan mengaut kekayaan jutaan ringgit, kata polis.
Selain itu, sindiket sama juga mensasarkan pelabur dari China dengan menjanjikan pulangan keuntungan tinggi melalui pelaburan matawang kripto, hartanah dan bursa saham.
Dalam beberapa siri serbuan yang dijalankan oleh polis bagi melumpuhkan kegiatan Geng Nicky, polis telah menahan lebih 50 individu dan merampas sejumlah RM773,000 (AS$187,500), selain 35 buah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM8.86 juta (AS$2.14 juta) di bawah peruntukan AMLTFAPUAA 2001.
Antara mereka yang telah ditahan termasuk dua adik-beradik Liow iaitu Liow Wei Kin dan Liow Wei Loon. Dua beradik itu bagaimanapun telah dibebaskan selepas pendakwaraya menarik balik pertuduhan terhadap mereka.
Ayob Khan Mydin Pitchay yang mengetuai Polis Johor ketika operasi terhadap Geng Nicky dijalankan memberitahu BenarNews pada April tahun lepas bahawa beberapa siri sekatan yang dikenakan Jabatan Perbendaharaan AS terhadap raja jenayah Macau, Wan Kuok Koi, telah membolehkan pasukan itu mengenalpasti hubungkait antara dua kumpulan tersebut.
"Ia adalah maklumat yang penting berdasarkan sekelumit kecil maklumat yang diperoleh. Kami dapat mengkaji betapa seriusnya dan meluasnya operasi sindiket jenayah tempatan, yang mempunyai hubungan antarabangsa,” kata Ayob Khan kepada BenarNews. "Ini adalah amat serius dan kami sangat bimbang dengan apa yang boleh berlaku sekiranya kami gagal bertindak balas dan menyekat operasi mereka."
Beliau berkata siasatan menunjukkan bahawa Liow berhubung rapat dengan Wan Kuok Koi.
"Hubungan Liow dan Broken Tooth adalah amat rapat seperti saudara kandung," kata Ayob.
"Mereka saling mengenali sejak 2018 dan Broken Tooth... sejak itu, memberikan perlindungan dan jaminan keselamatan kepada Liow di bawah Triad 14K yang diketuainya."
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.